Nurul Najihah Tunang Allahyarham Muhammad Adib Bukan Tunggul

Nurul Najihah Tunang Allahyarham Muhammad Adib Bukan Tunggul

BELIAU BUKAN TUNGGUL...


SAYA terpanggil untuk menulis perihal beliau kerana satu asbab iaitu komentar kejam dari netizen.

Beliau, seorang gadis yang berstatus tunangan orang di mana mengikut perancangan asal, beliau dan tunangannya akan mendirikan rumahtangga pada tanggal 22.12.2018, iaitu hari sabtu ini.

Di antara ajal dan jodoh, ajal terlebih dahulu menjemput tunangannya. Seorang ahli bomba, wira negara yang berkhidmat untuk membantu masyarakat. Pemergian arwah tunangannya dirasai oleh semua rakyat Malaysia.

Malah, saat artikel mengenai arwah berlegar di dada media dan dibaca seantero malaysia, kita semua mengalirkan airmata. Kerana apa? Kerana kita sebak di atas asbab pemergiannya walhal dia bukanlah siapa-siapa pada kita.

TETAPI, saya silap menelaah. Rupanya, bukan semua masyarakat punya rasa simpati dan berbelas ehsan. Beberapa kali, saya scroll ruangan komentar di beberapa artikel, ada yang menurunkan komen;

'Alah.. Tunang je pun, nak nangis beriya bagai..'
'Cukup2lah nak menangis pun, bukan tunang awak je mati..hari2 ada kematian.'
'Sikit-sikit citer dia, dah xda kisah org lain ke? Nak sedih pun nak bgitau orang.meluat!'
'Arwah ni anak yatim ka? Knp duk tunjuk tunang dia je menangis? Ahli keluarga dia yg lain takda ka?'

'Aduhh, meluat plak asyik tgok tunang dia ni je. Tunjuklah mak ayah adib plak.'
ALLAHU....

Sampainya hati kalian... Kenapa? Beliau tidak boleh bersedihkah? Sedangkan majoriti masyarakat malaysia boleh menitiskan airmata di atas pemergian arwah, kenapa tidak beliau? Kalau masyarakat malaysia punya emosi, beliau tidak layak bermosikah? Tunggul kayukah beliau?

Puas saya cari dan belek, saya tidak nampak langsung dari mana-mana gambar atau video yang diambil wartawan media menunjukkan beliau menangis meronta-ronta, memukul-mukul dada atau berguling-guling di atas tanah seperti orang jahiliyah yang meratap kematian seperti yang ditegah agama islam. Reaksinya lebih bersifat spontan.

Beliau hanya terlihat mengalirkan airmata dan mencium baju arwah. Mengusap cincin tunangnya dan menyentuh bucu keranda. Salahkah beliau berkelakuan begitu? Walhal ini perkara biasa yang kita nampak dan mungkin pernah kita atau mana-mana orang lain lalui akibat kesedihan yang melampau. Ibu saya juga begitu ketika dia mendapat khabar tentang pemergian arwah abang saya selepas seminggu ibu saya berada di unit ICU.

Menasihatkan orang lain untuk tidak melayan emosi itu mudah, tetapi kebanyakan dari kita sebenarnya tewas dalam usaha melenturkan emosi sendiri. Saat inilah pentingnya sokongan dan doa. Bukan kata nista dan mengaktifkan komen berunsur bawang dan negatif!

Siapa kata mak ayah dan ahli keluarga arwah tidak bersedih? Ingat mereka itu batu? Tiang letrik? Bersepah artikel yang saya baca, komentar dan cerita dari keluarga arwah yang begitu bersedih; menceritakan detik-detik akhir bersama arwah serta mengharapkan keadilan tertegak buat arwah.

Tetapi, artikel dan cerita perihal beliau lebih mendapat liputan. Sementelah, hari bahagia mereka seperti yang dirancang hampir tiba, maka ia lebih menjentik emosi.

Wajarlah beliau bersedih kerana beliau telah kehilangan orang tersayang. Ada di antara kita yang kematian kucing pun sudah menggugu tangis apatah lagi kehilangan insan. 
Beliau..Sepatutnya dalam tempoh 3 hari lagi, status tunangan yang dipegang akan bertukar kepada status isteri - belahan jiwa kepada seorang suami. Tetapi, semuanya terkubur. Allahu... Berat ujian beliau.

Entah apa janji yang pernah termeterai di antara mereka. Entah apa pengorbanan yang mereka lalui untuk sampai ke tempoh ini. Wallahi, kita tidak tahu, hanya Allah SWT yang Maha Mengetahui.

KITA, tidak berada di tempat mereka. Kita hanya berkongsi kesedihan, tetapi mereka yang melaluinya dari hari malam pertama adib tidak sedarkan diri hinggalah arwah dijemput illahi.
Jika kita tidak mampu memberi sokongan di sebelah beliau dan ahli keluarga arwah, maka kita hantarkan lah doa buat mereka. Mohon kepada Yang Esa agar menitipkan kekuatan dan ketenangan buat mereka. Kita hadiahkanlah ummul kitab buat arwah.

Jika tidak mahu melakukan dua perkara ini, maka berdiamlah dan tahan jari iblis anda dari melakukan dosa percuma dan menyakiti hati orang lain.
Adib...

Semoga lena tidurmu di dunia abadi, dalam dakapan Tuhan Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Semoga syurga buatmu. Amin allahumma amin.
Al-Fatihah.
Kredit : Dee Edot 

Post a Comment

0 Comments