Nurul Izzah Merajuk

Nurul Izzah Merajuk

 Nurul Izzah Merajuk

Maju dan mundur orang Melayu tiada kena mengena dengan jatuh bangun Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi atau bubar-utuhnya Umno Sabah.

Mungkin Tan Sri Rais Yatim sudah melupakan tarian kepak sumazau Datuk Seri Salleh Keruak. Melayu tidak maju atau mundur jika Rafizi Ramli, Khairy Jamaluddin apatah lagi Nurul Izzah makan tengahari bersama lebih kerap dan saling memuji sesama sendiri (dalam bahasa Inggeris) di Twitter.

Jika Nurul Izzah merajuk dan meletak jawatan, kita tidak perlu memujuk. Melayu atau Malaysia malahan, tidak akan menjadi maju dengan Tan Sri Rahim Thamby Chik menyertai PPBM. Sejuta kali Datuk Seri Anwar Ibrahim meratib dan meratap memuja Tayyip Erdogan tidak akan menjadikan Melayu pewaris Uthmaniyyah.

Apakah mereka yang disebutkan di atas dapat merubah nasib Melayu, dan bagaimana?
Melayu di kampung Lekir, Perak; dan Melayu di Simpang Ampat, Alor Gajah tetap mengeruk poket selepas mudik di hulu, atau menjual getah (entah berapa harganya sekarang?).

Untuk menjadi maju kita juga tidak perlukan kereta nasional ke-3, atau kaviar Rusia menggantikan ikan tongkol Kubang Kerian sebagai ganti sarapan. Kita sudah pasti tidak memerlukan tas tangan Datin Seri Rosmah Mansor, hatta biola Tun Dr Siti Hasmah.

Melayu tidak perlukan khutbah Datuk Seri Kazim Elias atau Datuk Asri Zainal Abidin; seribu kali pencetus ummah sekalipun Melayu tak akan tercetus maju.

Melayu pernah mendapat peluang sekali. Dan peluang menjadi maju itu dirosakkan anasir luar dan anasir dalam.

Profesor Syed Hussein Alatas dalam tahun 1972 menulis sebuah buku “Siapa yang salah: Sekitar revolusi mental dan peribadi Melayu” bagi menjawab dan mengkritik buku “Revolusi mental” susunan Senu Abdul Rahman.

Alatas menyatakan terdapat 8 sebab luar dan dalam yang saling bertaut mengakibatkan bangsa Melayu tidak maju; Ia semacam sumpahan. Kita tidak dapat keluar dari sumpahan ini.

Sepuluh juta orang keluar ke jalan raya (mengenakan baju putih yang sudah dinila) untuk menista Konvensyen Antarabangsa Menghapuskan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) sekalipun tak akan dapat memecahkan sumpahan ini.

Alatas menyalahkan, pertamanya kepimpinan orang Melayu sehingga kita Melayu tidak dapat menjadi maju. Alatas menyatakan, di dalam buku di atas; “pimpinan masyarakat Melayu yang lebih dari 500 tahun tidak memberi contoh atau mengubah masyarakat Melayu sebagai terjadi dalam masyarakat Jepun di kurun 18 hingga 19”.

Ini anasir dalaman. Daripada Melayu sendiri.

Apakah contoh yang pemimpin Melayu berikan kepada umat bukan Melayu? Ulama kaki ponteng Parlimen atau ulama Melayu yang galak gedik duduk sekali dengan perasuah seraya berarak beramai-ramai terpekik terlolong?

Nah itu ulama, pewaris Nabi. Yang patut memimpin, tapi mereka bukannya mewaris Rasulullah tetapi mewaris penguasa rasuah. Sedih bukan?

Kedua, Melayu sudah ditimpa nasib buruk kerana menurut Alatas, pengaruh penjajahan Portugis, Belanda dan Inggeris di Semenanjung Tanah Melayu yang menghapuskan golongan dagang dan golongan pertukangan Melayu. Penjajahan demi penjajahan menghempuk Melayu sehingga tidak berkesempatan untuk mencipta.
Ini anasir luaran. Kolonialisme.

Ia dihodohkan dengan sebab musabab ketiga yakni; “campur tangannya golongan raja-raja dan bangsawan pada masa lampau dalam perdagangan dan perindustrian hingga golongan dagang dan industri tidak dapat timbul dan usaha itu lambat laun lenyap. Hal ini berlaku setelah penjajahan Portugis”.

Menurut Alatas, ada raja yang mengutip hasil dagang, ada juga yang langsung berdagang. Dan yang terakhir, mereka menghalang timbulnya golongan dagang demi menjuarai persaingan.

Maka, rakyat biasa tidak pernah diberi peluang untuk berpotensi apatah lagi digilap. Jadi keuntungan dagang berlegar di dalam kelas itu-itu sahaja. Melayu murbawan kekal menoreh dan meraih di pasar. Kita boleh membacanya di dalam “Pelayaran Munshi Abdullah”.

Jadi 2 anasir luar dan dalam bersatu tenaga untuk menyulitkan Melayu.
Keempat, Alatas menegaskan tidak berubahnya cara produksi pertanian Melayu oleh kerana suasana penjajahan yang membekukan keadaan turut menyumbang kepada kemunduran Melayu.

Siapakah yang mendengar teriak hiba petani di desa sebagai misalnya? Revolusi industri kita di tahun 80-an sebagai ganti sawah padi memperkenalkan kita kepada generasi Melayu kilang: Minah Karan.
Selebihnya apa?
Alatas kemudian menekankan, kelima; faktor pendidikan yang kesasar turut menghunjam Melayu ke kancah kemunduran.
Kata Alatas, “kurang didikan tepat bagi masyarakat Melayu oleh kerana penjajahan dan cuainya pimpinan masyarakat Melayu yang kurang peduli tentang nasib rakyat” adalah salah satu sebab musabab Melayu tidak mampu menjadi bangsa yang besar, iaitu bangsa maju.

Keenam, bila kita membangkitkan sebab-sebab di atas, Melayu akan segera menolak atau menidakkannya yakni “kurang kesedaran umum terhadap persoalan-persoalan sedemikian”. Jadi kita, Melayu kekal dalam penafian.

Punyalah Melayu “in denial”, ada antara mereka kekal mendambakan Anwar atau lebih pilu, Datuk Seri Hadi Awang untuk mengeluarkan mereka dari kegelapan. Tidak pernah sekali mereka dapat berfikir di luar kotak.

Ketujuh, yang paling mendukacitakan ialah “tidak adanya golongan ahli fikir Melayu yang kuat dan berpengaruh”.
Semua (agaknya semua) adalah kaki menjilat, kaki bakar, kaki dansa, kaki tipu, kaki songlap, kaki tonggang siswa dan kaki kepada kaki iblis.

Pengarang sastera Melayu yang berhimpun bulan lalu mereka semua ahli fikir, sudah lebih 30 hari berlalu; apakah yang sudah dimajukan?

Kelapan, seperti yang selalu disebutkan Alatas adalah berlakunya “rasuah dalam kalangan pembesar-pembesar yang menyentuh kepentingan masyarakat”.
Namun demikian, seperti terlihat hari ini, rasuah sudah menjadi hal lumrah dan mengalami proses normalisasi yang mencengangkan.

Dalam buku tersebut, Alatas melihat orang Melayu banyak dibentuk oleh aspek “sociogenic” atau faktor sekeliling: “Yang dimaksudkan dengan sekeliling adalah pengaruh masyarakat, keadaan alam, kebudayaan dan peristiwa yang terjadi”.

Justeru Melayu dengan mudah melenting dan dijolok dengan naratif palsu. Maskara yang difoto di hadapan pintu Kaabah segera termuat di instastory akan mendapat jualan tinggi sebagai misalan.

Sekali lagi Alatas menekankan perihal “environment” atau faktor sekeliling ini dan bukannya “heredity”: “Kemunduran masyarakat Melayu dalam berbagai bidang disebabkan oleh keadaan sekeliling, bukan oleh sifat semulajadi.

“Berbagai kemunduran masyarakat sebagai kurang pendapatan dalam kalangan penduduk luar bandar, kurang pelajaran, kurang perusahaan besar, ini semua disebabkan oleh keadaan sekeliling”.

Ini bermakna Melayu terperuk dalam kancah yang sama. Mereka misalnya boleh dibodohkan dengan riwayat bohong mengenai ICERD.
Ini sekali-kali tidak bermaksud Melayu mundur itu (ya Melayu pernah gemilang, kita tidak nafikan) terjadi kerana ada nilai mundur dalam kebudayaan Melayu.

Alatas menjelaskan: “Kebudayaan Melayu berdasarkan atas nilai-nilai yang beradab dan bersifat kemajuan. Keburukan yang terjadi adalah penyelewengan semata-mata yang terdapat di seluruh masyarakat di dunia.

Umpamanya jika terdapat seorang Melayu malas, ini tidak bererti kebudayaan Melayu mengutamakan unsur malas. Yang terang ialah kebudayaan Melayu menganjurkan unsur rajin.

Demikian juga jika ada beberapa orang Melayu yang terganggu fikirannya, mengamuk, membunuh beberapa orang mata gelap, ini tidak bererti sifat mengamuk itu merupakan bahagian utama (basic part) daripada watak Melayu”.

Dalam bacaan lain, jika ada Melayu yang korup dan ada pula pelakon yang bersorak sorai meraikannya itu tidak bermakna ia memang intipati kebudayaan Melayu. Tentu sahaja kebudayaan dan adab, serta akal budi Melayu menolak akan korupsi.

Tetapi apa boleh buat jika ada Melayu korup, dan ada pula Melayu masih mendukungnya.
Zahid, Salleh, Mohamad Sabu, Nurul Izzah, Rahim Thamby Chik, Anwar dan isteri, Rosmah, Siti Hasmah, yang “feeling Melayu” (2-3 Cina masuk Islam), atau mufti kejap progresif kejap rasis semuanya tidak dapat menggilap Melayu menjadi maju.

Kita sudah disumpah, kita pernah dijajah, kita tidak dapat keluar dari cengkaman feudalisme.

Dua musuh yang memusnahkan Melayu, yang Alatas jejerkan sebagai anasir luar dan dalam. Akibatnya kita menjadi bangsa yang tidak kreatif dan gagal berfikir waras. Padahal kreativiti dan kewarasan adalah petunjuk kepada kemajuan.
Memang, kita boleh berhujah: “Hei ada banyak bukti kejayaan dan peradaban Melayu”.
Oh ya.

Tetapi, mengapa ia tidak lestari?
penulis

Post a Comment

0 Comments