Perempuan tanpa kepala di hospital Perak
ANGIN malam menceroboh masuk dari tingkap yang ternganga luas, lalu menghembus ke tubuh Haji Mohd. Yassin Haji Abu Bakar yang terlantar di katil. Kesejukannya menampar kulit, lalu Haji Yassin menarik selimutnya.
Dia memejamkan mata yang masih belum juga mengantuk, walaupun sudah merangkak ke pukul 12.20 pagi. Puas mengiring ke kiri, Haji Yassin kalih ke kanan, namun masih tidak dapat tidur.
Haji Yassin membuka matanya semula, dan…!
“Ehhh…” dia terkejut sebaik terpandang seorang wanita berpakaian serba putih perlahan-lahan masuk dari tingkap yang terbuka luas lalu menghampiri katilnya.
“Jururawat ke?” dia mengagak, “tapi…”
Haji Yassin cuba bangkit, namun tubuhnya seolah-olah telah diikat pada katil. Wanita tersebut terus mara ke arahnya yang masih terpaku, sebelum masuk dari celah tirai yang terbuka, lalu berhenti kira-kira semeter saja dari Haji Yassin.
Suasana sunyi. Kedinginan malam itu menambahkan lagi ketakutan yang telah membalut perasaan Haji Yassin.
Masa seakan terhenti…
erempuan berpakaian serba putih itu semakin mendekati Haji Yassin…
“Aaa… aaa… Assalamualaikum…” Haji Yassin menyapa wanita tersebut.
Tiada jawapan.
“Assalamualaikum,” dia memberi salam sekali lahi selepas sapaan pertama tidak dijawab.
“Tak perlu beri salam, saya bukannya Islam,” jawab wanita itu dengan suara lembut.
Haji Yassin terdiam. Dia memandang wanita yang berpakaian serba putih itu dari atas ke bawah sambil mulut terkumat-kamit membaca ayat-ayat suci al-Quran. Dia ingin bertanya banyak perkara tapi bibirnya tidak mampu dibuka.
Selepas lebih seminit berlalu tapi wanita itu masih tidak berganjak, Haji Yassin menutup matanya semula. Dadanya berdebar. Inikah wanita misteri berpakaian putih yang selalu diceritakan orang, soalnya sendirian.
Haji Yassin pernah mendengar kisah wanita berbaju putih yang kerap berlegar di hospital tersebut. Sejak dibuka beberapa bulan lalu, ada pesakit dan kakitangan hospital menyebarkan cerita mereka diganggu kejadian-kejadian menakutkan. Ada yang mendengar wanita menyanyi dan mendodoi anak. Tidak kurang juga melihat seseorang tanpa kepala merayau-rayau di tempat gelap.
Salah satunya yang dihebohkan ialah mengenai wanita berbaju putih – tanpa kepala dan tubuhnya terawang-awang – yang berdiri di hadapannya itu!
Haji Yassin memejamkan matanya rapat-rapat dan membaca ayat-ayat suci. Kini dia yakin akan kebenaran cerita-cerita yang dihebohkan orang.
Ramai yang telah melihat perempuan berpakaian serba putih tanpa kepala di merayau-rayau di hospital itu…
Selepas lama memejamkan mata, akhirnya keyakinan datang semula. Dengan kalimah bismillah hirrahman nirrahim, Haji Yassin membuka mata.
Dia memandang sekeliling lalu mengurut dada. Wanita tanpa kepala itu sudah ghaib.
“Alhamdulillah,” dia mengucap syukur.
Esoknya awal-awal pagi lagi Haji Yassin sudah berkemas. Dengan hanya berkain sarung Haji Yassin meninggalkan hospital biarpun cuba dihalang oleh pihak hospital kerana penyakit kencing manis dan jantungnya agak kritikal. Tapi Haji Yassin tetap berkeras.
“Duduk wad ni lagi bahaya. Silap-silap saya meninggal terkejutkan benda tu, bukan sebab sakit jantung,” kata Haji Yassin selepas menceritakan apa yang disaksikannya malam itu.
Walaupun kawasan tersebut sudah dipulihkan dan tiada lagi gangguan-gangguan menakutkan tapi Haji Yassin berharap itulah kali terakhir dia bermalam di wad hospital berkenaan.
Di hospital manakah kejadian ini berlaku? Biarlah ia menjadi rahsia , nanti ramai pula yang enggan ke hospital tersebut.
0 Comments