GOMBAK: "Saya goncang kepala dia dan cakap Abam bangun, ini Angah dengan mak datang, kau kenapa macam ni?"
Itu perkongsian adik kepada Allahyarham Abam, Syed Ali Mubarak Syed Mohd Ridzuan, 31, menceritakan detik ketika beliau cuba mengejutkan abangnya di kediaman Allahyarham di Gombak pada pagi Isnin.
Ali menceritakan pada ketika itu dia masuk ke dalam bilik dan melihat abangnya itu kaku terbaring di atas katil dan dia cuba mengocangkan abangnya namun tiada sebarang respon kata Ali ketika ditemui Astro AWANI.
Dia sebelum itu menerima panggilan dari isteri Allahyarham yang menyatakan bahawa abangnya itu pengsan.
“Isteri dia kata dia (Abam) macam pengsan, saya masuk rumah dia, sebab rumah kami tidak jauh.
"Namun, beliau menyedari abangnya itu telah pergi buat selama-lamanya selepas mendapati tiada reaksi dari Abam.
“Tetapi dia tak menyahut, saya sedar abang saya dah tak ada (meninggal dunia). Tetapi saya kuatkan semangat, saya cakap pada diri saya, dia boleh bangun lagi ini, saya rapatkan muka saya dengan dia tapi memang dia dah pergi tinggalkan kami,” kata Ali yang sebak tidak dapat menahan emosi.
Kata Ali lagi, dia dan abangnya sebelum ini merancang untuk membuat rancangan memasak di laman sosial selepas Hari Raya Aidil Fitri nanti.
Kali terakhir dia bercakap bersama Allahyarham pada malam Ahad menerusi panggilan telefon.
“Malam tadi dia telefon saya, dia tanya mak macam mana, abang tak sihat ni. Tapi tidak apalah, abang makan ubat.
“Saya ingat macam biasa je, rupanya dia nak pergi meninggalkan kita. Saya terkilan sangat tak dapat nak berbual dengan dia lama,” kata Ali lagi.
Allahyarham Abam Bocey menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Gombak pada pagi Isnin.
Jenazah Allahyarham disembahyangkan di Masjid Zakaria, Gombak Utara sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Sg Pusu petang ini.
0 Comments