KUALA LUMPUR 22 Julai - Bekas isteri Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V, Rihana Oksana Petra akan melakukan apa sahaja untuk membesar anaknya, Leon yang kini berusia dua bulan.
Dalam satu perkongsian di Instagram, Rihana berkata, dia berasa bangga dengan darah Malaysia yang mengalir dalam diri anaknya.
Menurutnya, Leon selayaknya membesar dengan dengan penuh kasih sayang hasil daripada sokongan yang mereka terima dari seluruh pelusuk dunia.
Dalam hantaran yang ditulis hari ini, Rihana yang turut berkongsi gambarnya sedang mendukung Leon berkata, dia tidak percaya menerima begitu banyak mesej sokongan.
"Saya sedang menulis dan saya tidak dapat menahan air mata dari mengalir. Dan saya rasa tidak perlu untuk menahannya kerana ia adalah tangisan kegembiraan dan kesyukuran!
" Saya sangat bangga darah Malaysia mengalir dalam anak saya dan saya akan lakukan apa sahaja untuk dia membesar selayaknya dengan kasih anda semua," tulis Rihana.
Bekas Ratu Cantik Moscow itu turut meluahkan perasaan bahawa dalam hidupnya, dia terpaksa menghadapi pelbagai jenis kejahatan, tipu daya dan hasad dengki.
Namun dengan sokongan yang beliau terima, meyakinkan Rihana bahawa masih ada kebaikan di dunia ini.
"Kalaulah saya berpeluang, saya mahu memeluk anda semua dengan kegembiraan. Sokongan dan dorongan anda semua amat berharga bagi saya.
"Mesej masuk tidak henti-henti, saya akan terus berkongsi kisah hidup saya dengan ikhlas dan jujur. Semoga Allah memberkati anda semua kawan-kawanku!
"P.S. Hari ini genap 2 bulan umur Leon. Terus membesar dan bahagia si cilik duniaku," tulis Rihana.
Pada 20 Julai lalu, Peguam kepada Sultan Muhammad V, Koh Tien Hua membuat pengesahan mengenai cerai talak tiga Sultan Kelantan ke atas Rihana.
Baginda telah bercerai talak tiga dengan Rihana pada 22 Jun 2019 mengikut undang-undang Syariah dan Mahkamah Syariah Kelantan telah mengeluarkan Surat Perakuan Perceraian pada 1 Julai 2019 mengikut Enakmen Undang-undang Keluarga Islam.-UTUSAN ONLINE
0 Comments