Bila ditanya siapakah yang lebih garang antara ayahanda dan bonda,Ini Jawapan Tengku Hasanal

Bila ditanya siapakah yang lebih garang antara ayahanda dan bonda,Ini Jawapan Tengku Hasanal

Bila ditanya siapakah yang lebih garang antara ayahanda dan bonda,Ini Jawapan Tengku Hasanal



KUALA LUMPUR, 29 Julai (Bernama) -- “Biar kita jadi seperti resmi padi, makin berisi makin menunduk dan jangan lupa diri,” itu antara pesanan yang tersemat kukuh dalam jiwa Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah yang kini menggalas tanggungjawab untuk menjaga negeri ketiga terbesar di Malaysia itu.

Pesanan itu dititipkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah semasa 'menyerahkan' pentadbiran kerajaan negeri itu untuk dijaga oleh Tengku Hassanal sebaik baginda dimasyhurkan ke jawatan itu, Januari lalu.

Berkongsi cerita, Tengku Hassanal bertitah ayahanda dan bonda Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut menitikberatkan pendidikan agama selain sentiasa menerapkan sifat rendah diri dalam kalangan putera dan puteri baginda sejak dari kecil lagi.

“Ayahanda dan bonda sering mengingatkan supaya selalu bersopan-santun dengan rakyat, tidak kisah dari mana sekalipun orang berkenaan dan tidak boleh sombong.

“Kita perlu (berkelakuan begitu) kerana kita semua adalah makhluk ciptaan Allah,” titah baginda pada sesi wawancara khas bersama Bernama dan Kosmo sempena pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16 esok.

Sesi wawancara berkenaan turut disertai oleh Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah, Tengku Puteri Ilisha Ameera dan Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah.

Walaupun merupakan putera raja sulung dan cahaya mata yang ditunggu-tunggu sebelum ini oleh Sultan Abdullah serta Tunku Azizah setelah lebih 10 tahun mendirikan rumahtangga, Tengku Hassanal mengakui baginda telah diajar berdikari dan mendekati rakyat sejak kecil termasuk kepada adik beradik baginda yang lain.

“Sejak dari saya umur 10 tahun saya telah dihantar ke luar negara untuk sekolah (Caldiccot Preparation School, United Kingdom), saya hanya bersama ayahanda dan bonda bila musim cuti. Apabila saya dan adik saya balik Malaysia, kami selalu mengiringi Tuanku ke majlis rasmi dan menziarah ke kampung-kampung.

“Tuanku ayahanda menghantar semua adik beradik saya ke England, bukan untuk nak tunjuk kita ada kelebihan daripada orang lain yang di dalam negara ini, tetapi nak kita merendahkan diri.

“Ayahanda tak nak kita besar kepala tetapi mahu kita jadi rendah diri. (Pengalaman) Di United Kingdom telah mengajar kita untuk jadi berdikari dan bagaimana untuk menjadi orang biasa,” titah baginda.

Mengimbau kenangan paling tidak dapat dilupakan ketika itu, titah Tengku Hassanal ialah apabila Sultan Abdullah dan Tunku Azizah menangis kerana sedih ingin melepaskan dirinya seorang diri di perantauan dalam usia yang masih muda.


“Sebelum nak tinggalkan saya, ayahanda dan bonda dah menangis, saya tak suka tengok mereka menangis saya kata babah jangan la menangis, lepas tu lagi teruk mereka nangis,” katanya yang meminati sukan polo dan lebih selesa untuk tidak terlalu mengikut protokol semasa berjumpa rakyat, sama seperti Sultan Abdullah.

Disebabkan tidak mahu orang mengetahui tentang kedudukannya sebagai anak raja, Tengku Hasssanal bertitah baginda menggunakan panggilan nama Shah sahaja, namun semasa mengikuti latihan ketenteraan di Akademi Tentera Diraja Sandhurst di United Kingdom, statusnya telah diketahui umum apabila ramai yang membuat carian di internet.

Bagaimanapun, titah baginda, latihan yang diterima tetap sama dan ia membantu baginda membentuk keperibadian menerusi latihan ketenteraan yang lasak serta berdisiplin tinggi.

Apabila ditanya siapakah yang lebih garang antara ayahanda dan bondanya, sambil tergelak kecil Tengku Hassanal bertitah Tunku Azizah yang dipanggil dengan panggilan ‘mama’ lebih garang dan amat menitikberatkan soal penampilan.

“Biasanya bonda seorang pembawa mesej, ayahanda jika nak nasihat sesuatu biasanya melalui bonda, ayahanda tak suka garang tapi suka manjakan anak-anaknya. Bonda yang garang dengan kita.

“Macam sapu tangan ini (sambil menunjukkan sapu tangan di poket kot persalinan baginda), bonda saya selalu marah saya kenapa tak bawa sapu tangan dan dia selalu ingatkan saya bahawa bila keluar perlu bawa sapu tangan,” titah baginda.

Menyedari tugas yang menantinya di Pahang selepas istiadat pertabalan ayahanda esok bertambah berat, baginda yakin mampu menggalas tanggungjawab yang diamanahkan itu dengan baik hasil asuhan ayahanda dan bonda serta Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Musta’in Billah yang lebih mesra dipanggil dengan gelaran ‘tok bok’.

“Saya selalu mengiring apabila baginda pergi rumah terbakar, banyak hubungan dengan orang dan rutin ini jadi hobi untuk berkhidmat kepada rakyat.

“...Ia satu legasi (raja dan rakyat berpisah tiada) yang akan saya teruskan dan saya percaya bukan saya seorang sahaja tetapi anak saya dan cucu saya akan teruskan legasi ini sampai bila-bila,” titah baginda.



Ketahui 5 Perkara Mengenai Tengku Mahkota Pahang Berusia 2 5 Tahun Ini





Hari ini merupakan hari bersejarah buat Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah setelah dimasyurkan sebagai Tengku Mahkota Pahang DAN Pemangku Raja Pahang.

Seperti yang dilaporkan oleh rakan media di Astro Awani, istiadat pelantikan dan pemasyuran di Balairung Seri, Istana Abu Bakar di Kuantan itu juga mencatat sejarah dalam Kesultanan Pahang moden apabila proses pemasyuran kedua-dua jawatan utama kerabat Diraja Pahang itu dilakukan serentak ke atas seorang ahli kerabat.
Berbanding beberapa ahli kerabat kesultanan negeri lain yang lebih – hhm – menonjol di khalayak ramai, Tengku Hassanal nyata lebih selesa dengan sikap low profile.
Walaupun tak banyak info yang rakyat ketahui mengenai Baginda, ini adalah 5 perkara yang menarik mengenai Tengku Hassanal.

01

Diputerakan pada 17 September 1995 di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Baginda merupakan anakanda sulung kepada Al-Sultan Abdullah Ibni Sultan Ahmad Shah  dan Tengku Puan Pahang Tungku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar.

02

Baginda mempunyai dua orang adinda lelaki dan dua orang adinda perempuan. Mereka terdiri daripada Tengku Muhammad Iskandar Riayatuddin Shah, Tengku Ahmad Ismail Muad’zam Shah, Tengku Puteri Afzan Aminah Hafizatullah dan Tengku Puteri Jihan Azizah Athiyatullah.
Tengku Hassanal juga merupakan sepupu kepada Tunku Mahkota Johor (TMJ) iaitu Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

03

Baginda Sultan mengakui akan kekurangan pengalaman yang dimiliki oleh Tengku Hassanal.
“Namun, Beta percaya Tengku Hassanal telah dilatih dengan baik untuk memegang kepercayaan dan menjalankan tugas. Beta yakin dia boleh menjadi seorang pemimpin yang baik untuk negeri dan rakyat Pahang,” kata Baginda semasa mesyuarat Majlis Raja-Raja pada minggu lalu.

04

Baginda mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah St. Thomas Kuantan sebelum menyambung pengajian di Caldicott Preparatory School dan di Sherborne School, kesemuanya terletak di Great Britain.
Pada tahun lalu, Baginda memperoleh ijazah sarjana muda dalam jurusan Perhubungan Antarabangsa daripada Fakulti Diplomasi Geneva di Switzerland. Sekaligus, baginda merupakan anakanda ketiga yang menerima ijazah selepas YM Tengku Amir Nasser dan YM Tengku Iman Afzan.
Buat masa ini, Tengku Hassanal sedang menjalani latihan di Royal Military Academy Sandhurst di Great Britain, lokasi sama yang disertai oleh Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin dan DYTM Tengku Amir Shah. Namun setelah perlatikan dan pemasyuran ini, status pendidikan Baginda itu masih belum dapat dipastikan.

05

Pada usia 23 tahun, Tengku Hassanal mewarisi sikap ibunya yang cukup mesra rakyat semasa mencemar duli pada aktiviti kemasyarakatan di sekitar negeri Pahang terutamanya semasa rakyat negeri ditimpa musibah.

Post a Comment

0 Comments