Asnida Saip, 22, teman wanita kepada pemandu Grab, Mohammad Hanafiee Jaafar, 27, yang mati dibunuh dua lelaki penumpang terakhirnya, memaklumkan mereka merancang bertunang selepas hari raya ini.
Pada awalnya, Asnida ada cuba menghubungi bakal tunangnya itu pada jam 11 malam Khamis lalu untuk mengucapkan selamat malam, tetapi Mohammad Hanafiee tidak dapat dihubungi.
Sebelum itu, Hanafiee ada memberitahunya yang dia baru pulang dari menghantar penumpang di Penampang dan hendak makan.
"Masa itu saya mengucapkan selamat malam sebelum memintanya supaya berhati-hati ketika kerja.
"Selepas itu pada jam 2.30 petang, Sabtu lalu, saya menghubungi Hanafiee untuk bangunkan dia, untuk kerja. Tetapi telefon bimbitnya gagal dihubungi," katanya.
Asnida juga ada menghantar mesej melalui WhatsApp, tetapi tidak menerima sebarang respon dan dia masih cuba berfikiran positif, mungkin Hanafiee sedang tidur.
Sehinggalah jam 4 petang, Asnida masih tidak dapat menghubungi Hanafiee lalu terus pergi ke rumahnya di Kingfisher. Namun, dia tiada di rumah.
"Saya dan rakan Hanafiee meminta tolong melalui WhatsApp group jika ada menemui atau terserempak dengan Hanafiee. Sehingga jam 12 tengah malam Ahad lalu, salah seorang daripada ahli group WhatsApp memaklumkan ternampak keretanya di parkir di kawasan bazar di Indah Permai.
"Saya bersama rakan Hanafiee bergegas ke lokasi dan menemui kereta milik Hanafiee yang juga mendapati ada beberapa kesan darah," katanya.
Tidak berapa selepas itu, polis dimaklumkan mengenai penemuan mayat seorang lelaki di kawasan semak di Kampung Shahbandar, Tuaran. Keluarga Hanafiee turut bergegas ke lokasi untuk melihat fizikal dan pakaian mayat itu adalah pakaian Hanafiee.
"Saat ini saya merindui segalanya berkenaan Hanafiee kerana arwah bukan sahaja amat baik, tidak pernah bertindak kasar dan tidak sombong," katanya.
Sementara itu, adik Hanafiee, Nur Ain Jaffar, berkata, abangnya sempat menghulurkan sejumlah wang kepada ibunya untuk disedekahkan kepada surau.
Sehari sebelum kejadian itu, Hanafiee juga ada memaklumkan mahu pulang ke kampung pada 25 Mei, tetapi ditangguhkan kerana dia masih mahu bekerja, mungkin mahu mengumpul wang untuk persiapan Aidilfitri.
0 Comments