Telah melewati dua bulan, Acap masih juga belum ditemui. Misteri kehilangan peserta Gopeng Ultra Trail masih belum berjaya dirungkaikan. Ghaib tanpa jejak. Dan kejadian seumpama juga berlaku kepada seorang wanita bernama Fatimah.
Misteri kehilangan Fatimah ini, dikongsikan Zulkarnain Zakaria yang menemuramah suaminya, Haji Osman Abu pada pertengahan tahun 2003. Biar pun sudah lama berlalu, kejadian itu tetap segar dalam kotak ingatannya.
Acap Dan Fatimah : Ghaib
Di mana Acap? Ramadhan sudah hampir seminggu (ketika status ini dimuatnaik). Tiga minggu lagi Syawal. Sudah hampir dua bulan Acap hilang di Gua Tempurung, Perak, semasa menyertai Gopeng Ultra Trail pada 23 Mac lalu. Pasti keluarga Acap sedang bersedih dan mengharapkan kepulangannya.Sesat? Atau, seperti yang didakwa banyak pihak, Acap telah dibawa ke alam lain oleh makhluk yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar? Dia tidak dapat keluar dari alam itu, berkahwin dengan penghuninya dan kini lebih bahagia tinggal di sana?
Wallahua’lam.
Semuanya masih misteri. Kita doakan saja Acap selamat dan suatu hari nanti pulang semula ke pangkuan keluarganya.Saya tidak mahu cerita bab itu sebab anda boleh membacanya di medium lain. Yang saya hendak cerita ialah sebenarnya selain Acap, sudah banyak kisah ghaib berlaku di dalam masyarakat kita. Mereka ini hilang dalam keadaan yang misteri dan terus tidak dijumpai sehingga hari ini.
Mari saya kongsikan satu cerita: Kejadian ini di ceritakan kepada saya oleh Haji Osman Abu, yang saya temui di rumahnya di Kampung Pangkalan Minyak, Ayer Molek, Melaka, pada pertengahan 2003.
Fatimah Cari 2 Budak Di Sebelah Yang Sebenarnya Tiada..
Kata Haji Osman, pada pagi 20 Disember 2000 dia membawa Fatimah minum di warung berdekatan. Sewaktu dia rancak berbual dengan kawan-kawan, Fatimah tertidur di meja. Tidak lama kemudian Fatimah terjaga dan mencari-cari dua orang budak yang tadi duduk di sebelahnya (sebenarnya tiada).Fatimah kemudian mengajak Haji Osman pulang kerana ada orang sedang menantinya di rumah. Benarkah apa yang Fatimah katakan itu? Tidak. Tiada sesiapa yang menanti mereka di rumah.
Cerita Haji Osman, pukul 2.30 petang, dia berbaring di sofa, manakala Fatimah membasuh pinggan di dapur. Tapi tidak lama kemudian, senyap saja. Dia tidak dengar sebarang bunyi lagi. Fatimah pun tidak kembali ke ruang tamu.
Haji Osman cari isterinya itu di dapur, di bilik dan sekeliling rumah. Tidak ada. Mungkin rumah jiran-jirannya, juga tiada.
Di mana Fatimah?
Tiba-tiba Isterinya Ghaib Dari Rumah
Mereka mencari pula di Bukit Busut Licin, di hadapan rumah Osman. Fatimah yang berusia 73 tahun dan mula nyanyuk, sebelum itu sering ke Bukit Busut Licin kerana katanya, di situlah arwah ibunya tinggal. Fatimah selalu bercerita pada Haji Osman bahawa ibunya itu kini hidup dalam sebuah mahligai yang sangat indah. Arwah ibunya juga sering memanggil dan mengajaknya tinggal bersama.Usaha mencari dilakukan dengan bantuan polis. Malangnya hinggalah ketika saya bertemu dengan Haji Osman pada 2003, Fatimah masih tidak dijumpai.Ke mana dia menghilang? Tiada siapa tahu. Dua orang jiran Haji Osman, namanya Misah dan Zaiton memberitahu saya, mereka selalu terhidu haruman bunga kenanga dan minyak atar yang sering dipakai oleh Fatimah.
Selalunya, bau itu akan terhidu di ruang tamu, dapur, halaman dan tepi jalan tempat mereka sering berbual dengan Fatimah. Seolah-olah Fatimah ada di situ, tapi mereka tidak dapat melihatnya.
Bau Minyak Atar & Bunga Kenanga.. Itulah Haruman Fatimah Selalu Guna
Ada juga penduduk yang lalu di hadapan rumah Haji Osman pada waktu malam terhidu bau minyak atar dan bunga kenanga.Zaiton juga memberitahu saya, tidak tahu mengapa, Fatimah selalu muncul dalam mimpinya, memberitahu bahawa dia nampak Zaiton, tetapi Zaiton tidak dapat melihatnya. Seorang kanak-kanak pula pernah ternampak Fatimah di bawah sepohon pokok di kebun milik Haji Osman. Tapi hanya budak itu saja yang nampak.
Percayakah anda bahawa Fatimah sebenarnya masih hidup, tetapi telah berpindah alam?Fatimah tidak dijumpai sehinggalah Haji Osman meninggal dunia beberapa tahun kemudian.
Nanti sambung, saya ceritakan kisah lain pula.
MW : Sayu kisah ini.. sehingga suaminya meninggal, Fatimah masih belum juga ditemui. Al Fatihah untuk Haji Osman, semoga rohnya ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman.
Sumber/Foto : Zulkarnain Zakaria
Makluman : Artikel ini diterbitkan dengan keizinan daripada penulis asal.
0 Comments