PETALING JAYA: Sebut saja main kahwin-kahwin pasti ramai diantara kita yang pernah cuba permainan ini ketika zaman kanak-kanak.
Posisi yang menjadi rebutan sudah tentu pasangan pengantin dan juga pengapit, betul tak?.
Ada juga mungkin tersengih-sengih saat terkenangkan persandingan olok-olok itu apabila bertemu semula dengan kawan yang jadi teman 'sanding' tersebut.
Malah ada juga yang sampai bertemu jodoh dengan teman 'sanding' lama.
Itulah yang dilalui sepasang suami isteri, Amru Abdullah dan Nur Fazira Abd Rahaman.
Daripada teman bersanding olok-olok kira-kira 18 tahun, kedua-duanya yang juga sepupu akhirnya bergelar suami isteri yang sah pada 1 Disember lalu.
Amru yang juga seorang guru berkata, dia tidak menduga hubungannya dengan isteri akan berakhir hingga ke jenjang pelamin.
"Saya memang tak sangka gambar main kahwin-kahwin yang diambil sewaktu majlis perkahwinan saudara kami 18 tahun lalu di Shah Alam, Selangor betul-betul terjadi kepada kami.
"Itulah orang kata kalau dah jodoh takkan ke mana. Kami akhirnya disatukan sebagai suami isteri yang sah. Semoga hubungan ini berkekalan sehingga hujung nyawa," katanya kepada mStar Online.
Jejaka berusia 25 tahun itu memberitahu saudara mara mereka turut terkejut dengan hubungan mereka.
"Ramai tak sangka kami akan kahwin. Ya lah masa tu kami masih budak-budak lagi. Waktu tu tak silap saya di Tahun Satu.
"Saya pun tak kenal sangat isteri masa tu sebab kami jarang jumpa. Saya tinggal di Kuala Lumpur manakala isteri di Terengganu. Lagipun kami sekeluarga jarang balik kampung di Terengganu," katanya.
Amru dan Nur Fazira selamat diijab kabul pada 1 Disember lalu. - Foto ihsan Amru Abdullah.
Jelas guru yang bertugas di sebuah sekolah menengah di Miri, Sarawak itu, hubungan mereka kembali bertaut lima tahun lalu.
"Sebenarnya lepas ambil gambar tu sampai besar kami tak jumpa sehinggalah isteri hubungi ibu bapa saya lima tahun lalu.
"Dia bertanyakan kepada ibu bapa saya "ada kan anak yang masuk maktab perguruan" sebab kebetulan dia dapat temu duga untuk kemasukan ke maktab tersebut.
"Sejak dari itu, kami sering berhubung melalui mesej dan mula rapat," katanya.
Namun Amru berkata, dia hanya bertentang mata dengan Nur Fazira tiga bulan selepas berhubung melalui mesej, kira-kira lima tahun lalu.
"Kami berjumpa betul-betul tengok muka pada majlis kahwin sepupu kami di Kuala Terengganu.
"Itulah pertemuan pertama selepas beberapa bulan berhubung hanya melalui mesej. Waktu tu WhatsApp pun tak ada lagi. Jadi bila jumpa tu masing-masing malu, nak bercakap pun segan," katanya.
Anak kelima daripada enam beradik itu berkata, dia tertarik dengan sifat lemah-lembut dan periang isterinya.
"Dia miliki semua ciri-ciri wanita idaman saya... lemah-lembut, periang dan juga cantik orangnya.
"Saya pernah beritahu mak saya yang saya nak 'try' dia. Tapi mak beritahu dia takkan suka saya dan tak disangka-sangka dia suka saya," kata Amru.
0 Comments