Kuala Lumpur: Mereka mengucap dua kalimah syahadah sama seperti umat Islam lain, namun solat hanya sekali sebulan selain imam saja yang akan berpuasa tiga hari pada bulan Ramadan bagi mewakili semua.
Itu antara ajaran Islam ‘songsang’ di Phan Rang, sebuah daerah di selatan Vietnam dipercayai berusia lebih 200 tahun dan dianuti lebih 13,000 orang di negara itu.
Bimbang mereka terus tergelincir daripada ajaran Islam sebenar, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) mengambil inisiatif membantu saudara seagama menerusi Ziarah Ukhuwah Indo China dengan memberi bimbingan sebagai pengenalan kepada Islam.
Dalam program yang diadakan baru-baru ini, rombongan diketuai Naib Presiden MAPIM Ahmad Tarmizi Sulaiman dibawa ke sebuah kampung yang mengamalkan ajaran itu, yang disifatkan penganutnya sebagai Islam sebenar.
Ahmad Tarmizi berkata, dia juga sempat mengadakan pertemuan dengan imam masjid di situ, Mahmud, 70-an, yang menceritakan bagaimana mereka mengamalkan ajaran agama.
“Saya terkejut dengan pengakuan imam itu yang mengatakan mereka Islam, tetapi tidak solat, puasa dan menunaikan haji. Amalan mereka selama ini hanyalah berdasarkan apa yang dilakukan nenek moyang mereka ratusan tahun dulu.
“Mereka juga berpandukan kepada sebuah kitab perukunan lama yang di dalamnya mengandungi Juzuk Amma dan amalan lain seperti sembahyang jenazah,” katanya
Menurutnya, kawasan itu adalah kota lama pusat pemerintahan kerajaan Islam Champa dan umat Islam itu terbahagi kepada dua disebabkan mereka keliru dengan ajaran sebenar dibawa Nabi Muhammad SAW.
Katanya, mereka menganggap Kaabah sudah runtuh dan tidak perlu melakukan ibadat haji, memadai dengan apa yang diamalkan sejak bertahun-tahun lalu.
“Mereka hilang panduan dan pedoman syariat sejak sekian lama akibat tiada guru dan ulama yang mengajar mereka kerukunan Islam sebenar.
“Rujukan mereka hanya al-Quran tulisan tangan lama dan kitab doa lama yang mereka sendiri tidak tahu membaca nya,” katanya.
Ahmad Tarmizi berkata, MAPIM akan mendapatkan pandangan beberapa pihak termasuk pakar agama bagi membantu mereka kembali ke jalan yang benar.
Katanya, memandangkan jumlah mereka yang ramai, tidak mustahil ajaran berkenaan menular ke negara ini menerusi tenaga kerja Vietnam yang mencari rezeki di sini.
“Jumlah mereka melebihi 13,000 orang. Masjid mereka berjumlah tujuh buah dan malangnya mereka yang mewakili secara rasmi perhubungan komuniti Muslim dengan kerajaan Vietnam,” katanya.
Katanya, kelompok kedua di kawasan itu ialah umat Islam Ahli Sunnah Wal Jamaah yang bertapak di situ sejak 50 tahun lalu.
“Mereka masih minoriti dan sedang imarahkan empat buah masjid. Namun mereka sangat cekal dan tabah untuk terus beristiqamah dengan akidah dan syariat Islam sebenar.
“Insya-Allah, jika tiada halangan kita akan teruskan dengan Ziarah Mahabbah Indochina-MAPIM 2016 di daerah ini pada Aidiladha nanti,” katanya.
0 Comments