PELAKON dan bekas anggota kumpulan Elite iaitu Abby Abadi meluahkan rasa syukur dikurniakan Muhammad Faizal Zakaria yang mampu menjalankan tanggungjawab sebagai seorang suami dan ayah dengan baik.
Malah Abby berkata, suaminya itu turut menjaga kedua-dua ibu dan bapanya yang kini berhadapan masalah kesihatan.
"Syukur dapat bantu suami hari ini mandikan ayah saya. Ayah saya tapi suami yang tiap-tiap hari mandikan. Saya dapat mandikan sekali sekala sahaja.
"Sebab apa macam tu, sebab suami pagi-pagi nak cepat akan naik motor untuk hantar anak ke sekolah dan lepas itu dia terus ke rumah mak ayah saya untuk hantar sarapan dan mandikan ayah," tulisnya.
Tambah Abby, dia tidak dapat mengikut suaminya setiap hari berikutan suaminya ingin mengejar masa untuk bekerja.
Abby Abadi syukur suami bantu jaga ibu dan ayahnya.
Abby berkata, suaminya tidak pernah mengira atau mengeluh dengan tanggungjawab yang dilakukan itu sejak mereka berumah tangga.
"Kalau naik kereta sahaja kami dapat ikut kerana suami kata tak perlu ikut sebab dia nak kejar masa ke tempat kerja.
"Syukur suami baik budi tak berkira pun bab macam ni. Semoga tempat tertinggi milikmu di syurga nanti," luahnya.
Abby atau nama sebenarnya Arbaiyah Abd Manan, 40, berkahwin dengan Muhammad Faizal, 43, pada 14 Ogos 2015 iaitu perkahwinan ketiganya.
Sebelum itu dia berkahwin dengan aktor Norman Hakim dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Mohamed Danish Hakim, 12, Marissa Dania Hakim, 10, dan Maria Danisha Hakim yang kini berusia tujuh tahun.
Pasangan itu bercerai pada tahun 2008.
Dia kemudiannya bertemu jodoh dengan Muhammad Noor Farhan Che Bakar, 25, pada 2013 sebelum bercerai selepas 11 bulan berumah tangga.
0 Comments