PETALING JAYA: Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan!
Peribahasa itu jelas sesuai dengan kegigihan seorang guru yang sanggup berjalan kaki sejauh 40 kilometer (km) dari rumahnya di Kota Tinggi, Johor menuju ke sebuah tabika perpaduan yang terletak dalam daerah sama.
Bukan itu sahaja, guru berkenaan turut akan menahan kenderaan yang lalu di kawasan tersebut, termasuk lori pasir demi menjalankan tugasnya sebagai seorang pendidik.
Kisah yang dilalui guru berdedikasi berusia lewat 20-an itu dikongsi Mohd Asmawi Ab Rasip yang juga berkhidmat sebagai seorang guru di Bandar Tenggara, Kota Tinggi, Johor di Facebooknya pada Khamis.
Menurut Mohd Asmawi, sejak dua minggu lalu dia selalu terserempak dengan guru wanita tersebut ketika dalam perjalanan ke sekolah tempatnya mengajar pada pukul 7 pagi.
Namun sepanjang tempoh dua minggu itu, guru berusia 33 tahun itu berkata dia hanya berkesempatan menumpangkan guru wanita tersebut sebanyak tiga kali.
"Saya tinggal di Felda Linggiu, Kota Tinggi dan bertugas di Bandar Tenggara. Jarak perjalanan dari rumah ke sekolah dalam 15 hingga 20 kilometer (km).
"Sewaktu hendak keluar simpang dari kampung saya, saya selalu terserempak dengan cikgu tersebut yang sedang berjalan kaki dengan memakai baju sukan sambil bawa beg galas ," katanya kepada mStar Online.
Mohd Asmawi menumpangkan guru wanita tersebut sebanyak tiga kali. - Gambar ihsan Mohd Asmawi.
Bagaimanapun MOhd Asmawi berkata sewaktu pertama kali terserempak dengannya di satu persimpangan jalan dua minggu lalu, dia ragu-ragu untuk menumpangkan guru berkenaan kerana keadaannya yang agak mencurigakan.
"Saya fikir dia sedang lari rumah kerana dia pakai baju sukan dan berbeg galas yang agak besar.
"Agak pelik melihat seseorang berjalan kaki di awal pagi di Jalan Linggiu, Bandar Tenggara, Johor ini.
"Dalam hati kata kesian dan tertanya-tanya dari manakah dia berjalan kaki seorang diri macam tu," katanya.
Pada Ahad lalu, Mohd Asmawi berkata dia sekali lagi terserempak dengan guru tersebut yang hanya dikenali sebagai Sazira sewaktu hendak pergi ke sekolahnya.
"Kali ini dia lambai tangan nak tumpang. Saya berhentikan kereta dan bagi dia naik. Waktu tu saya tak tanya nama dia sebab memang niat nak tumpangkan sahaja sampai ke destinasi.
"Dia beritahu dari rumahnya dia tahan kereta guru lain dari SMK Linggiu dan selepas itu tumpang saya ke Bandar Tenggara. Saya tak turunkan dia sampai depan sekolah kerana saya sendiri pun nak kejar punch card.
"Sebelum turun dekat Bandar Tenggara, saya pesan jika saya jumpa dia, saya akan tumpangkan tetapi saya tak boleh tunggu atau berjanji," katanya.
Mohd Asmawi berkata guru wanita itu sudah berkhidmat sebagai guru tabika perpaduan selama 10 tahun.
"Dia beritahu dah jadi guru tabika 10 tahun. Lapan tahun berkhidmat di Skudai (Johor) dan dua tahun lagi di Bandar Tenggara," katanya.
Posting Mohd Asmawi menjadi tular di media sosial sejak Khamis malam.
Ditanya mengapa guru wanita itu memilih cara sedemikian untuk ke sekolah, Mohd Asmawi berkata dia diberitahu oleh Sazira bahawa dia terpaksa menahan kenderaan yang lalu-lalang dan berjalan kaki kerana keretanya rosak selepas terbabit dalam kemalangan semasa hendak ke tempatnya mengajar dan keretanya itu sedang dibaiki.
"Dia kata tiga minggu terpaksa jalan kaki dan menumpang kenderaan lain ke tempat kerja. Rumahnya pula terletak di Kota Tinggi.
"Menurut ceritanya, semasa saya jumpa dia di kawasan lombong pasir, dia tumpang lori sampai ke situ. Tapi saya tak tanya siapa tumpangkan dia sampai ke tempat kerja," kata guru mata pelajaran Sejarah itu.
Selepas menumpangkan Sazira pada Ahad lalu, Mohd Asmawi berkata dia tercari-cari guru wanita tersebut pada Isnin dan Selasa lalu tetapi kelibatnya tidak kelihatan.
Akhirnya pada Rabu lalu, guru di sebuah sekolah menengah di Bandar Tenggara itu terserempak semula dengan Sariza lalu menumpangkannya.
"Saya tanya dia sebelum saya tumpangkan tu dia naik dengan siapa. Dia kata tumpang pak cik yang hantar cucu ke Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Bandar Tenggara.
"Kebetulan saya kenal pak cik tu sebab dulu dia pernah mengajar saya mengaji... Pak Cik Saat namanya," katanya.
Mohd Asmawi berkata dia kali terakhir menumpangkan Sariza pada Khamis lalu.
"Kali ini dia kata dari rumah dia, dia tumpang seorang guru pendidikan khas SK Linggiu.
"Semasa dalam perjalanan itu dia dapat mesejWhatsApp daripada seorang guru SMK Linggiu bertanyakan mengenai lokasinya kerana mahu menumpangkannya.
"Mujurlah sesi persekolahan hanya bersisa beberapa hari sahaja lagi," katanya.
Mohd Asmawi bersama rakan setugasnya di sebuah sekolah menengah di Bandar Tenggara.
Dalam pada itu Mohd Asmawi berkata dia memuat naik posting tersebut bersama dengan gambar guru wanita itu sedang berjalan kaki di Facebooknya pada Khamis malam kerana kagum dengan kesungguhannya untuk mendidik anak bangsa.
Bagaimanapun Mohd Asmawi berkata dia kecewa apabila posting tersebut disalah erti segelintir individu.
"Posting itu bukan dengan niat untuk meminta bantuan. Timbul banyak salah faham. Saya cuma mahu kongsi kegigihan guru wanita itu.
"Walaupun dia berdepan kesusahan tiada alasan untuk dia tidak pergi mengajar, andai kata perlu jalan kaki pun diredahnya," katanya.
Malah, Mohd Asmawi turut mengulas mengenai dakwaan netizen yang bertanya mengapa guru tersebut tidak menggunakan perkhidmatan Grab.
"Untuk makluman, kawasan ini terletak di luar bandar, jadi tiada perkhidmatan Grab.
"Setahu saya hanya ada satu bas sahaja untuk kemudahan penduduk sekitarnya. Di sini ada masalah pengangkutan awam dan jadual perjalanan.
"Biasanya bas hanya akan dinaiki warga asing. Saya bimbang juga dengan soal keselamatan guru tersebut kerana Jalan Air Terjun menghala ke Bandar Tenggara amat sunyi," katanya.
0 Comments