Timbalan perdana menteri Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail menafikan spekulasi yang mengatakan suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak sabar mahu menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri.
Wan Azizah yang mempertikaikan spekulasi itu mengingatkan bahawa Anwar sebelum ini telah pun bersabar dengan pelbagai ujian termasuk dipenjara.
"Kalau Anwar betul tak sabar (jadi perdana menteri), dia tak masuk penjara (dalam tempoh ) 20 tahun (yang lalu).
“Dia masuk penjara, itu uji kesabaran bukan sahaja saudara Anwar tapi uji kesabaran kami semua.
“Dia (Anwar) dah kata tidak akan ambil peranan sebagai menteri pun dan ini adalah untuk (beri) Tun (Dr Mahathir) kendalikan kerajaan,” katanya.
Wan Azizah berkata demikian dalam wawancara bersama Malaysiakini di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat semalam.
Renggangkan hubungan HARAPAN
Anwar menjadi timbalan perdana menteri pada 1993 dan beliau dilihat merupakan pengganti utama Dr Mahathir yang merupakan perdana menteri keempat ketika itu.
Bagaimanapun, selepas hampir lima tahun menjadi timbalan perdana menteri, Anwar dipecat pada 1998 kerana dikaitkan dengan tuduhan liwat dan rasuah.
Anwar kemudian dibicarakan dan didapati bersalah. Beliau dihukum penjara pada 1999 tetapi dibebaskan pada 2004 selepas sabitan kes liwatnya dibatalkan.
Namun sabitan bagi salah guna kuasa dikekalkan.
Pada Feb 2015 Anwar sekali lagi dipenjara atas tuduhan liwat yang lain. Seperti 1998, Anwar bertegas dakwaan itu bersifat politik.
Namun, selepas hampir 20 tahun menjadi seteru politik, Anwar dan Dr Mahathir dilihat berdamai semula dalam Pakatan Harapan (HARAPAN).
Anwar dibebaskan pada Mei lalu selepas mendapat pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong, yang merupakan antara perjanjian yang dipersetujui Dr Mahathir dalam HARAPAN.
Spekulasi bahawa Anwar ingin menggantikan Dr Mahathir sebagai perdana menteri lebih awal antara lain turut dikaitkan dengan beberapa pertemuan beliau dengan pihak Istana.
Mengulas lanjut, Wan Azizah berkata spekulasi berkenaan disebarkan pihak yang ingin regangkan hubungan pemimpin HARAPAN dan menegaskan Anwar dan keluarganya sangat komited dengan pentadbiran Dr Mahathir.
“Cukuplah. Kalau ada desas-desus orang nak cakap (tentang perkara) ini, adalah mereka yang nak regangkan (hubungan). Janganlah dengar.
“Memang Anwar, saya, kita sekeluarga, Nurul (Izzah), kita komited dalam kendalikan kerajaan sekarang ini untuk tangani masalah negara kita. Kita mahu diingati sebagai rakyat Malaysia, ia bukan mengenai kedudukan,” ujar Wan Azizah.
Sementara itu, ketika ditanya pengalamannya bekerja di bawah Dr Mahathir, Wan Azizah menyifatkan Dr Mahathir sebagai seorang yang fleksibel.
Malah, jelas anggota parlimen Pandan itu, Dr Mahathir tidak pernah mengongkongnya dan sebaliknya memberi kebebasan untuk beliau dalam menjalankan tugas sebagai timbalan perdana menteri.
“Tun beri saya ruang dan peluang untuk saya berkembang dan tak ada had untuk saya jika saya ingin tahu atau dapatkan nasihat dan pandangan.
“Saya tidak dikongkong. Beliau beri saya ruang untuk beri idea dan pandangan dalam perbincangan,” katanya.
0 Comments