Breaking News

EKSKLUSIF: Hutang nyawa dibayar nyawa! – Rita Luah Rasa Atas Pembunuhan Ibunya Sosilawati

Loading...
loading...
EKSKLUSIF: Hutang nyawa dibayar nyawa! – Rita Luah Rasa Atas Pembunuhan Ibunya Sosilawati

MINGGU lalu, beberapa ahli keluarga mangsa kes pembunuhan berprofil tinggi tampil mendesak kerajaan tidak memansuhkan hukuman mati mandatori kerana ia didakwa tidak adil dan hanya akan menyumbang kepada peningkatan kes jenayah berat di negara ini.

Kes itu membabitkan pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya; timbalan pendakwa raya, Datuk Anthony Kevin Morais dan pegawai bank, Wong Jing Kui.
Antara yang dilihat lantang membantah pemansuhan isu berkenaan adalah anak sulung Sosilawati sendiri, Rita Dekritawati Yuliana Buhari.

Bertempat di pejabatnya di Setapak, wartawan Malaysia Gazette, SYAHRIL A. KADIR menemui Rita bagi menyelami sendiri luahan hatinya yang ternyata begitu kecewa dengan cadangan pemansuhan hukuman berkenaan.

Untuk rekod, Mahkamah Persekutuan tahun lalu baru-baru mengekalkan sabitan dan hukuman mati terhadap bekas peguam dan dua pekerja ladangnya kerana membunuh jutawan kosmetik Sosilawati dan tiga pembantunya sekaligus membawa kepada kesudahan bagi satu jenayah paling kejam yang berlaku di negara ini. 

Mereka didakwa melakukan pembunuhan itu di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, di Banting antara 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos 2010.

Anak kepada Jutawan Kosmetik iaitu Allahyarham Datuk Sosilawati Lawiya, Rita Sosilawati bercakap ketika ditemubual eksklusif mengenai isu hukuman mati di Platinum Walk, Danau Kota, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 16 NOVEMBER 2018


MG: Boleh tak Rita kongsikan saat-saat terakhir bersama Allahyarham ibu tersayang?

RITA: Kali terakhir saya bertemu dengan arwah ibu saya adalah pada bulan puasa 2010, lebih tepat kira-kira tiga jam sebelum buka puasa. Saya ketika itu berada di pejabat. Sebenarnya ibu ketika itu mengajak saya sekali untuk mengikutnya. Ada urusan jual beli tanah katanya. Kebetulan saya ada komitmen lain jadi tak dapatlah saya mengikut beliau. Bila beliau tidak pulang-pulang, kami pun buat laporan polis. 

Selepas dua hari polis telah memaklumkan mengenai kejadian yang menyayat hati itu. Masa tu kami tak dapat terima dan masih tertanya-tanya betulkah apa yang berlaku? Telefon ni jangan ceritalah, tak henti berbunyi bertanyakan hal ini. Semua tidak percaya, semua terkejut kerana ia berlaku dalam sekelip mata. Bayangkan ibu saya dibunuh, dibakar dengan api setinggi pokok kelapa. Abunya ditabur pula ke dalam sungai. Sampai hati mereka melakukan perbuatan sebegitu rupa pada ibu dan beberapa yang lain itu.

MG: Bagaimana Rita mendapat kekuatan berhadapan dengan pembunuh-pembunuh ibu Rita?

RITA: Sampai hari ini saya tak mampu melihat muka-muka mereka yang bunuh ibu saya. Sampai hari mahkamah nak bagi keputusan pun, saya masih lagi takut. Saya rasa macam tak berdaya. Saya datang ke mahkamah tetapi saya hanya mewakilkan ahli keluarga saya untuk mendengarnya. Terus terang saya tidak berdendam dengan mereka, cuma saya fikirkan, andai katalah hukuman mereka diganti dengan hukuman penjara, sebaik saja selesai jalani hukuman itu dan dibebaskan, mereka pula yang berdendam dengan kita! Jadi kita rasa keselamatan kita pula yang terancam! Perasaan dendam saya tak timbul sama sekali, saya hanya mahu pelaku-pelaku itu mendapat hukuman yang setimpal dengan kekejaman yang mereka lakukan.

MG: Bagaimana Rita menangani perasaan sedih dan hiba di atas kejadian yang sungguh tragis ini?

RITA: Kalau ikutkan saya ni jenis ‘happy go lucky’ namun selepas kejadian saya berada dalam kesedihan yang amat sangat. Tetapi saya tak nak cerita kesedihan saya. Saya tak mahu dilihat lemah tetapi setiap malam saya terutama di awal-awal kejadian, saya sentiasa menangis.

 Saya sentiasa mengharapkan ibu kembali ke pangkuan kami. Malah sehingga kini impian dan harapan itu tidak pernah pudar. Namun saya tahu, apa yang Allah jadikan ini mesti bersebab. Sampai hari ini saya tak buat kubur untuk ibu saya, buat apa buat kubur jika tiada apa-apa yang hendak dikebumikan? Jari ke, tulang ke, tangan ke….semua tak ada sebab semuanya habis dibakar suspek. Kami hanya mampu menghadiahkan doa untuk ibu.

MG: Keputusan kerajaan hendak memansuhkan hukuman mati mendapat reaksi yang pelbagai di kalangan masyarakat. Sebagai salah seorang waris mangsa, sudah tentu ia adalah detik yang cukup mengecewakan buat Rita. Mungkin Rita boleh ulas mengenai hal ini.

RITA: Kes ibu saya mengambil masa tujuh tahun untuk diselesaikan. Ia bukan satu tempoh masa yang singkat. Jadi bila mahkamah dah buat penghakiman, saya memang gembira dengan keputusan yang diberikan. Ini kerana pelaku kes ini telah dijatuhkan hukuman mati. Namun kira-kira setahun selepas itu, kerajaan pula nak memansuhkan hukuman tersebut. Perasaan saya bercampur-baur, tak puas hati walaupun ia ditukar ke penjara seumur hidup. 

Saya faham kerajaan berbuat demikian mungkin atas alasan hak asasi manusia tetapi pernah tak mereka fikir tentang hak asasi ibu saya yang dibunuh itu? Saya pasti ibu saya merayu-rayu kepada pelaku agar tidak dibunuh. Cuba bayangkan andai kes ini terjadi pada keluarga anda sendiri, apa yang anda rasa.

Anak kepada Jutawan Kosmetik iaitu Allahyarham Datuk Sosilawati Lawiya, Rita Sosilawati bercakap ketika ditemubual eksklusif mengenai isu hukuman mati di Platinum Walk, Danau Kota, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 16 NOVEMBER 2018


MG: Apakah keperitan yang terpaksa Rita lalui selepas peristiwa itu?

RITA: Ketika kejadian, umur saya masih muda, baru 26 tahun. Saya anak sulung dari enam adik beradik. Belum berkahwin ketika kejadian, adik-adik ada yang masih bersekolah. Kami tiada tempat bergantung, tiada tempat mengadu hal. Bayangkan dalam umur sebegitu saya terpaksa menggalas tugas yang sangat besar. Itu belum kira soal perniagaan. Satu legasi bisnes yang sangat besar iaitu Nouvelle Vissage. Semua orang tahu NV adalah perintis industri kosmetik di Malaysia. 

Orang tengok macam senang, tetapi ia satu perkara yang sangat sukar. Saya kena galas tanggungjawab sebagai seorang ibu, terpaksa menghantar mereka ke sekolah dan sebagainya. Orang hanya lihat kami ni orang senang, orang kaya berbanding mangsa-mangsa bunuh yang lain. Betul kami tidaklah susah dari segi material. Bukan saya tak bersyukur, saya bersyukur dari satu segi di mana ibu ada meninggalkan sedikit harta untuk kami adik beradik meneruskan kehiduapan.

 Tetapi ramai tak tahu yang sebaik sahaja ibu saya hilang, akaun bank ibu saya telah dibekukan. Pendek kata bila mengambil alih NV pada tahun 2010, kami bermula dari ‘zero’. Bukannya terus ada duit dalam akaun. Hanya pada tahun 2017, akaun itu ‘released’. Selepas itu barulah boleh menggunakan duit-duit yang ibu tinggalkan untuk mengembangkan lagi perniagaan dan sebagainya. Orang tak nampak betapa saya terpaksa berusaha gigih dengan segala kudrat yang ada, yang orang nampak kami orang senang. Duit bukanlah segala-galanya. Ada duit tak ada kasih sayang pun tak guna. Ada duit tapi takde ibu pun, segala-galanya macam kosong.


MG: Apakah harapan dan mesej yang Rita ingin sampaikan pada pihak berwajib?

RITA: Saya merayu. Janganlah mansuhkan hukuman mati ini. Mungkin untuk beberapa kesalahan lain ia boleh dipertimbangkan tetapi yang melibatkan nyawa, perlu dibayar dengan nyawa. Cuba letakkan diri anda di tempat saya, tempat keluarga-keluarga mangsa yang lain. Kita kena perketatkan undang-undang yang sedia ada, bukan melonggarkannya kerana keselamatan rakyat Malaysia lebih penting untuk mengekalkan keharmonian, kesejahteraan dan keamanan negara kita.

MG: Anda mungkin dilihat hero dalam memperjuangkan isu memansuhkan hukuman mati ini. Adakah anda akan terus berjuang hingga matlamat ini mencapai objektifnya?

RITA: Saya bukan nak jadi seorang hero pun. Saya hanya bercakap sebagai keluarga mangsa dan apa yang dapat kita lakukan. Saya bukan nak jadi aktivis. Saya mahu rakyat Malaysia tahu perasaan kami. Selamilah kesengsaraan kami selama ini. Benda ini (hukuman mati) tidak patut dan tidak wajar untuk ditolak.Ia patut dikekalkan sampai bila-bila. Jangan politikkan isu ini. 

Saya tidak ‘against’ kerajaan baru. Saya menyokong siapa sahaja yang jadi kerajaan semasa, cuma bila ia melibatkan keselamatan rakyat Malaysia, benda ini tidak patut dimansuhkan malah kita patut ketatkan lagi undang-undang. Saya tidak minta lebih dari itu.- MalaysiaGazette

Kronologi pembunuhan Sosilawati






SHAH ALAM - Kes pembunuhan kejam jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain, yang menggemparkan masyarakat danmendapat liputan meluas media sejak tiga tahun lepas, akhirnya tiba dipenghujung semalam.   

Mahkamah Tinggi di sini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas bekas peguam N.Pathmanabhan dan tiga pekerja ladangnya selepas mendapati mereka bersalah melakukan perbuatan itu.

Pathmanabhan bersama T. Thilaiyalagan, R. Matan dan R. Kathavarayan didakwa membunuh Sosilawati, 47, pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, serta pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44.
  
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat di Banting antara pukul 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos 2010.

Pathmanabhan, 43, Thilaiyalagan, 21, Matan, 22, dan Kathavarayan, 33, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Hakim Datuk Akhtar Tahir semasa membacakan keputusannya, menyifatkansiasatan polis dalam kes itu 'bertaraf dunia', dan kejayaan menyelesaikan kesberkenaan dalam tempoh tidak sampai dua tahun adalah hasil kerjasama baik yangditerima daripada pendakwaan serta pembelaan yang turut disifatkan beliausebagai 'bertaraf dunia'.     

Berikut adalah kronologi kes pembunuhan itu yang menjadi tumpuan masyarakat:  

30 Ogos 2010: Sosilawati bersama Noorhisham, Ahmad Kamil dan Kamaruddindilaporkan hilang selepas ke Banting atas urusan jual beli tanah.  

6 Sept 2010: Kereta BMW X5 hitam bernombor pendaftaran WTL 11 yang digunakanSosilawati pada hari beliau dilaporkan hilang ditemui di tempat letak keretaflat Angsana, Pangsapuri USJ, Subang Jaya manakala kereta BMW hitam bernomborpendaftaran AAJ 5 milik Ahmad Kamil ditemui di depan kawasan perumahan teres duatingkat berhampiran Hotel Grand Dorsett, Subang Jaya.  

9 Sept 2010: Lima suspek ditahan di sebuah ladang di Banting.  

11 Sept 2010: Seorang peguam bergelar Datuk dan adiknya, yang juga seorangpeguam, turut ditahan bagi membantu siasatan.  

12 Sept 2010: Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri MohdBakri Zinin mengesahkan keempat-empat individu berkenaan dibunuh dengan kejamsebelum dibakar di sebuah ladang, manakala abu mayat mereka dicampak ke dalamsungai berhampiran. 


13 Okt 2010: Pathmanabhan bersama Thilaiyalagan, Matan dan Kathavarayandihadapkan ke Mahkamah Majistret Telok Datok, Banting atas tuduhan membunuhSosilawati, Noorhisham, Ahmad Kamil dan Kamaruddin.  

15 Okt 2010: Mahkamah Majistret Telok Datok menjatuhkan hukuman penjaratujuh tahun terhadap U.Suresh dan K.Sarawanan yang mengaku bersalah menghapuskanbahan bukti dalam pembunuhan itu.  

21 Feb 2011: Mahkamah Tinggi Shah Alam meminda hukuman tujuh tahun penjarakepada 20 tahun ke atas Suresh dan Sarawanan kerana melupuskan bahan bukti dalampembunuhan itu.  

4 Julai 2011: Perbicaraan kes bunuh bermula di Mahkamah Tinggi Shah Alam.  

3 Nov 2011: Pakar perunding forensik Dr Nurliza Abdullah dari JabatanPerubatan Forensik, Hospital Kuala Lumpur (HKL) memberi keterangan mengesahkanbahawa 2,030 daripada 2,040 spesimen yang ditemui di sebuah sungai dan ladang diBanting, yang didakwa menjadi lokasi pembunuhan keempat-empat individuberkenaan, berkemungkinan besar tulang atau gigi manusia.    Beliau juga berkata semua tulang itu menunjukkan kesan pembakaran ataupendedahan pada suhu haba amat tinggi, iaitu sekurang-kurangnya 800 darjahcelcius ke atas.     

10 Nov 2011: Dr Norhayati Jaffar, yang bertugas di Jabatan PerubatanForensik HKL memberi keterangan mengesahkan tujuh daripada 10 sampel gigi yangditemui di Sungai Panchau dan Ladang Gadong, adalah gigi manusia.  

31 Jan 2012: Pengarah Bahagian Forensik Jabatan Kimia Lim Kong Boon memberiketerangan mengesahkan profil DNA Noorhisham diperoleh daripada kesan darah padakayu kriket. Beliau juga mengesahkan profil DNA Kamaruddin dan Ahmad Kamildiperoleh daripada kesan darah pada kepingan zink yang dijumpai di ladang kelapasawit Sungai Arak, Banting.  

30 April 2012: Hakim Akhtar memerintahkan Pathmanabhan, Thilaiyalagan, Matandan Kathavarayan membela diri atas pertuduhan membunuh Sosilawati, Noorhisham,Ahmad Kamil dan Kamaruddin selepas pendakwaan berjaya membuktikan kes primafacie.  

23 Mei 2013: Hakim Akhtar menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke ataskeempat-empat tertuduh selepas mendapati mereka bersalah membunuh Sosilawati,Noorhisham, Ahmad Kamil dan Kamaruddin. - Bernama

No comments