Gaun Kembang Pembunuh

Gaun Kembang Pembunuh

 Gaun Kembang Pembunuh


Pada zaman dahulu, terdapat satu trend fesyen yang didakwa telah membunuh ramai wanita. Digelar sebagai Crinoline, ia menerangkan tentang sehelai gaun kembang yang menjadi kegilaan ramai para wanita di Barat ketika itu.

Kewujudan pakaian ini pernah direkodkan pada tahun 1829 oleh seorang ilustrasi England bernama, Rudolph Ackermann. Ilustrasi tersebut bertajuk Repository of Fashion’s. Ia menerangkan tentang ciptaan fesyen gaun terbaru yang dianggap moden dan feminin. 

Gaun kembang Crinoline ini menjadi kegilaan wanita pada zaman dulu.

Gaun kembang Crinoline mendapat permintaan tinggi di kalangan wanita pada zaman itu. Rahsianya adalah pada reka bentuk gegelung di bahagian bawah gaun ini. Difahamkan, alat ini diperbuat daripada bahan semula jadi iaitu bahagian rambut kuda.

Oleh sebab trend fesyen ini semakin berkembang, bahan asas tadi telah ditukarkan dengan menggunakan bahan keras lain iaitu besi. Ia mula diperkenalkan oleh R.C. Milliet di Paris pada tahun 1856. Sejak diperkenalkan, ia mendapat permintaan tinggi di Britain.

Kerana permintaan yang tinggi, gaun ini mula dihasilkan dalam jumlah yang banyak. Ia bagaikan satu fenomena baru melanda benua Eropah di mana pengeluaran pakaian ini mencecah 10,000 pasang setiap tahun.

Pada tahun 1860, kerja-kerja penambahbaikan telah dilakukan sehingga tercipta gaun versi baharu yang sedikit lebih kecil berbanding reka bentuk sebelumnya. Tahun berikutnya iaitu pada 1870, saiz gaun ini dikecilkan lagi untuk memberi keselesaan kepada si pemakainya.

Mengapa gaun ini mendapat permintaan tinggi? Jika dilihat daripada aspek pemakaiannya, sukar hendak menyarung gaun ini dan ia memerlukan bantuan orang lain untuk memasangnya.

Sebenarnya, hanya golongan tertentu sahaja yang mampu memakai gaun kembang ini. Oleh sebab harganya yang mahal, pakaian ini hanya mampu dibeli oleh golongan diraja dan bangsawan sahaja. Ia dipakai untuk menghadiri majlis-majlis formal atau keramaian. 

Bukan mudah untuk memakain gaun ini.

Siapa sangka di sebalik populariti fesyen tersebut, tercatat peristiwa hitam. Ramai wanita ketika itu menjadi korban secara tidak sengaja akibat kecuaian mereka ketika mengenakan pakaian tersebut.

Pada 13 Januari 1861, dilaporkan mengenai satu kejadian kebakaran membabitkan seorang wanita bernama, Miss Maria Eliza Power. Kejadian menyayat hati direkodkan berlaku di Residence of General Power, 26 Hyde Park Square.

Mangsa mengalami kecederaan teruk pada keseluruhan badan selepas pakaian gaun Crinoline yang dipakainya terbakar. Ia berpunca daripada sebatang lilin yang dinyalakan di dalam bilik mangsa.

Pada 20 Januari 1861, kejadian kebakaran akibat gaun kembang ini turut menyebabkan kematian Madame de Errazu, seorang wanita bangsawan Sepanyol. Pada 3 Februari  tahun yang sama, seorang wanita maut akibat gaun kembangnya disambar api sewaktu berada berdekatan serombong api di Hyer, Dallas Amerika Syarikat.

Pada 7 April 1861, seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun maut akibat diseret beberapa meter oleh sebuah kenderaan awam di Harrington Square, Washington. Punca kejadian disebabkan gaun Crinoline yang dipakai mangsa tersangkut pada bahagian roda kenderaan itu. 

Gaun Crinoline.

Selain tragedi dipaparkan seperti di atas, banyak lagi kes-ke lain turut dilaporkan berkaitan dengan gaun kembang ini. Dalam jumlah tersebut, kes melibatkan kebakaran menunjukkan angka tertinggi yang berpunca akibat kecuaian mangsa ketika berdekatan dengan sumber api.

Berdasarkan statistik dikeluarkan pada tahun 1864, seramai 2500 orang wanita di London terbunuh akibat kejadian kebakaran membabitkan gaun kembang ini.

Ilustrasi tentang kebakaran yang melibatkan gaun Crinoline.

Disebabkan itu, golongan pengkritik menggesa pihak bertanggungjawab menghentikan penjualan gaun ini. Malah, mereka meminta agar pemakaian gaun itu dihadkan mengikut usia tertentu.

Seiring peredaran zaman dan perubahan fesyen, gaya gaun kembang ini kian ditinggalkan. Bagus juga. Kalau tidak, entah berapa ramai lagi akan terkorban kerana gaun seperti ini.


Post a Comment

0 Comments