“Vaksin Pfizer barang baik …tapi..."

“Vaksin Pfizer barang baik …tapi..."



“Vaksin Pfizer barang baik …tapi..."

 “Pfizer barang baik … sebab itu semua dapat dekat menteri dulu, kononnya vaksin yang lain ini semua untuk rakyat biasa sahaja,” kata Khairy Jamaluddin merujuk kepada komen-komen nakal di media sosial.


Justeru kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi itu, beliau memutuskan tidak akan mengambil vaksin Pfizer tetapi menunggu vaksin kedua yang diluluskan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).


“Apa sahaja yang dilulus seterusnya saya orang pertama ambil. Kalau Sinovac, Sinovac. Kalau dari Rusia, Rusia lah. Kalau Astrzaneca, Astrazaneca lah.


“Saya tak akan ambil vaksin Pfizer. Bukan sebab tak bagus, vaksin Pfizer sudah terbukti berkesan dan selamat.



 

“Tapi biarlah ada juga daripada barisan Menteri yang memberi contoh ambil vaksin yang diluluskan berikutnya (selain Pfizer BioNTech),” kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).


Pendirian Khairy yang juga Pengerusi Bersama Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan COID-19 (JKJAV) itu disambut tepukan gemuruh secara spontan dalam kalangan mereka yang hadir pada sidang akhbar berkenaan di Sepang.


Pfizer barang baik

Ismail Sabri Yaakob, KhairyJamaluddin dan beberapa menteri Kabinet menerima penghantaran vaksin Sinovas di KLIA hari ini./ Gambar FB KKM

Khairy bersama beberapa menteri Kabinet lain termasuk Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyambut ketibaan penghantaran pertama vaksin COVID-19 keluaran syarikat farmaseutikal China, Sinovac.


Pesawat Airbus 330-300 dengan hiasan Jalur Gemilang membawa ‘envirotainer’ mengandungi vaksin COVID-19 dalam bentuk cecair sebanyak 200 liter itu, mendarat jam 9 pagi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang.


Vaksin itu diangkut menggunakan pesawat PC2 iaitu pesawat penumpang digunakan untuk perkhidmatan kargo, boleh diproses menjadi lebih 300,000 dos untuk keperluan Malaysia.


Baca artikel berkaitan: Vaksinasi bersejarah bermula, Muhyiddin selesai disuntik dos pertama


COVID-19: PM Singapura sudah, hari ini Jokowi pula disuntik vaksin


Indonesia dan kebanyakan negara di Amerika Selatan antara yang terawal menggunakan vaksin COVID-19 keluaran Sinovac.


Tambah Khairy, vaksin COVID-19 Sinovac keluaran China yang diterima Malaysia hari ini perlu terlebih dahulu melalui proses pengilangan oleh syarikat farmaseutikal, Pharmaniaga untuk dinilai dan diberikan kelulusan oleh badan pengawalseliaan.


“Proses pengilangan tersebut merupakan antara kriteria yang akan dinilai Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) sebelum memberikan syor kepada Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) untuk kelulusan,” jelasnya.


Sementara itu, dalam satu temu bual bersama Astro Awani, seorang pakar kesihatan awam, Datuk Dr Zainal Ariffin Onmar memuji tindakan Khairy kerana mampu menambahkan keyakinan kepada rakyat terhadap vaksin selain Pfizer.


Katanya, apa yang diumumkan Khairy itu satu tindakan strategik dalam memastikan keyakinan semua kepada Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.


“Kita ada lima portfolio vaksin daripada pengeluar beberbeza. Saya rasa ini langkah sangat baik. Risikonya diagih-agihkan. Sepatutnya dipuji,” ujarnya.

Post a Comment

0 Comments