Dua buah batu nisan yang berbeza bentuk terletak dalam perkarangan masjid mudah menarik perhatian pengungjung luar yang singgah solat di masjid Kampung Dew, Gunung Semanggol, Perak.
JIKA anda orang luar yang singgah untuk bersolat di Masjid Jamek Kampung Dew, jangan terkejut jika melihat batu nisan dalam perkarangan masjid yang terletak di daerah Gunung Semanggol, Perak ini.
Dua buah batu nisan yang terletak dalam perkarangan masjid mudah menarik perhatian pengungjung luar yang singgah solat di masjid tersebut.
Sebuah kubur terletak bersebelahan pintu masuk ruang solat dengan hanya sebuah batu nisan sebagai penanda manakala sebuah kubur lagi terletak di bahagian luar hadapan masjid.
Tiada sebarang catatan pada batu nisan kubur itu. Siapa pemiliknya? Mengapa hanya dua buah kubur itu saja di situ sedangkan di bahagian belakang masjid, terdapat sebuah tanah perkuburan yang luas. Mengapa kedua-dua kubur tersebut tidak dipindahkan ke tanah perkuburan itu?
Salah seorang penduduk tempatan dikenali sebagai Abdul Rahim menceritakan, dahulu memang banyak kubur lama di sekeliling masjid ini. Apabila masjid hendak dibesarkan, kubur-kubur tersebut dipindahkan ke tapak baharu kecuali dua buah kubur tersebut.
“Tak ada sebab aneh pun dua kubur lama ini tak dipindahkan. Alasannya, sebab waris kedua-dua kubur ini tak beri keizinan untuk dipindahkan. Itu saja,” ujar Abdul Rahim.
Menurutnya, kewujudan dua makam lama di depan masjid itu memang selalu menimbulkan pertanyaan orang luar. Orang sangka ada misteri di sebalik kubur itu, tapi sebenarnya tidak.
Bukan kubur itu yang bermisteri, tapi sebenarnya masjid Kampung Dew yang sudah berusia ratusan tahun ini yang menyimpan pelbagai kisah aneh.
Menurut Abdul Rahim, dahulu masjid ini mempunyai kolah. Ketika itu orang yang solat di dalam masjid sering mendengar air kolah berkocak seakan-akan ada orang mengambil wuduk. Bunyi air kolah itu pula hanya muncul apabila mereka sedang membaca tahiyat akhir. Tapi sampai ke sudah tidak kelihatan sesiapa pun yang masuk ke dalam masjid.
Kewujudan dua batu nisan di hadapan masjid itu sentiasa menjadi tanda tanya orang ramai.
“Masa itu memang selalu dengar bunyi air kolah tu seakan-akan orang ambil wuduk. Pernah saya cuba nak tengok. Sebaik habis saja solat segera saya ke kolah, tapi tak ada sesiapa pun sedangkan baru beberapa saat bunyi macam orang ambil wuduk. Kalau manusia, takkan hilang sekelip mata saja,” cerita Abdul Rahim.
Dia juga masih ingat satu kejadian lebih kurang lapan tahun lalu ketika bulan Ramadan. Waktu itu, Abdul Rahim sampai awal ke masjid untuk solat Subuh. Lebih kurang pukul 5 pagi dia sampai untuk membuka pintu masjid.
“Selepas saya buka pintu masjid dan masuk, saya terdengar satu suara menegur ‘masuk masjid tak bagi salam ke?’ Saya terkejut dengar suara itu. Saya toleh cari siapa yang tegur, tapi tak nampak sesiapa. Saya cari sekeliling masjid mana tahu ada orang, tapi tak nampak sesiapa. Habis, suara siapa yang tegur saya tu?” ujar Abdul Rahim.
Baginya, mungkin ada ‘penghuni’ lain yang turut beramal di masjid itu dan mungkin ‘dia’ tegur sebab Abdul Rahim kurang beradab kerana tidak memberi salam ketika masuk ke rumah Allah.
Bukan hanya Abdul Rahim, jemaah-jemaah lain juga sudah biasa mendengar bunyi-bunyian ganjil dalam masjid ini. Selalunya, bunyi-bunyi ini muncul ketika solat Maghrib.
“Pernah masa saya solat dengar bunyi budak-budak lari. Memang dengar jelas macam ada ramai budak di belakang yang berlari-lari. Tapi sebaik saja selesai solat, bunyi itu pun berhenti. Toleh ke belakang, tak ada sesiapa pun,” kata Zainol yang juga penduduk di kampung ini.
Selepas saya buka pintu masjid dan masuk, saya terdengar satu suara menegur ‘masuk masjid tak bagi salam ke?’ Saya terkejut dengar suara itu. Saya toleh cari siapa yang tegur, tapi tak nampak sesiapa.
PENDUDUK KAMPUNG
Tambah Zainol lagi, bunyi-bunyi aneh ini selalu muncul ketika jemaah tidak ramai datang ke masjid, terutama jika hari hujan.
Bukan hanya penduduk tempatan, bahkan ada orang luar juga pernah mengalami perkara aneh. Seorang jemaah tabligh yang menumpang bermalam di masjid ini menceritakan kepada penduduk, semasa dia sedang tidur, dia terjaga apabila empat orang lelaki berjubah putih masuk ke dalam masjid.
Keempat-empat lelaki itu masuk dan terus sembahyang. Sejurus lepas habis solat, empat lelaki itu ghaib begitu saja di depan jemaah tabligh itu.
Pernah juga ada pengunjung yang tidur di masjid itu kerana hari sudah lewat malam. Dan dia mengalami kejadian aneh apabila dadanya terasa sesak seakan-akan dihimpit sesuatu. Apabila terjaga, dia menyambung tidur semula dan mengalami perkara sama.
Rupa-rupanya dia tidur di tengah ruang solat. Hanya selepas menukar tidur di bahagian tepi masjid, barulah dia tidak lagi dihimpit sehingga sesak nafas. Mungkinkah ada yang marah dia tidur di ruang tengah solat itu kerana mengganggu ‘tetamu ghaib’ yang mahu beribadah di situ?
Bunyi-bunyian bagai ada ‘penghuni’ lain yang turut datang ke masjid ini sudah didengari sejak sekian lama. Penduduk tempatan percaya, bukan hanya manusia yang bertandang ke masjid ini, namun ia turut didatangi ‘makhluk’ lain yang juga ingin beribadah kepada Yang Maha Esa.
Tak kisahlah siapa, bunian, jin Islam sekalipun, kehadiran tetamu-tetamu ghaib ini tujuannya tetap sama, untuk tunduk dan sujud kepada-Nya.
0 Comments