Abe Jali Salam Pantai Timur, uzur dan ditinggal isteri... hanya ibu jadi peneman diri

loading...
Loading...
Abe Jali Salam Pantai Timur, uzur dan ditinggal isteri... hanya ibu jadi peneman diri


BACHOK: Suatu ketika dahulu nama 'Abe Jali' Salam Pantai Timur meniti bibir rakyat Kelantan kerana berjaya menghiburkan penonton dengan dialek Kelantan sewaktu bersiaran dalam rancangan Salam Pantai Timur, hiburan komedi terbitan RTM sekitar tahun 2007. 

Abe Jali atau nama sebenar Mohd Idris Ibrahim, 58 tahun mulai dikenali dalam dunia hiburan selepas berjaya membawa watak Abe Jali, penggiat seni dari Kelantan yang berada sebaris dengan artis komedi ketika itu, antaranya Sabri Yunus, Allahyarham Zami Ismail dan lain-lain lagi.

Beliau antara penggiat seni Dikir Barat di Kelantan dan sering kali bersama beberapa artis Dikir Barat tersohor Kelantan, antaranya, Jen Endoro, Allahyarham Zaidi Buluh Perindu, Jali Bunga Tanjung dan sebagainya.

Kerana minatnya dalam seni dan kebudayaan Kelantan, Mohd Idris atau Mat Deris memilih menjadi hamba seni dan meninggalkan kerjayanya sebagai seorang kakitangan awam suatu ketika dahulu.

Namun kini, beliau terlantar dan tidak aktif seperti dahulu selepas kaki kanannya dipotong kerana penyakit Kencing Manis kronik yang dialaminya.

Selepas kaki kanannya dipotong tahun lepas, beliau mula memencilkan diri di sebuah rumah pemberian Jabatan Pembangunan Persekutuan, JPP Kelantan di Kampung Chap, Bekelam, di sini dengan ibunya yang berusia 80 tahun menjadi pengganti isterinya yang meninggalkan beliau sejak hampir setahun lalu.

Ketika ditemui Astro AWANI di kediamannya, Mat Deris seoalah-olah malu untuk menonjokan dirinya dan tidak banyak bercakap.

“Memang saya masih teringat sewaktu zaman kegemilangan itu, tapi kini tidak dapat bergerak dan menguruskan diri” katanya.

Jika dahulu Mat Deris dikenali dengan sikap peramah, suka berlawak jenaka, suara garau dan suka menyapa dan bergurau, namun pertemuan di rumahnya itu memperlihatkan dirinya yang diam dan tidak banyak bercakap.

Ibunya, Mek Nab Samad, yang juga uzur menjadi penemannya sejak setahun lalu selepas isteri Mat Deris meninggalkannya.

Mek Nab bagaimana pun menjelaskan, anak sulung Mat Deris yang kini belajar di Melaka pulang menjenguk ayahnya apabila cuti.

Menurut Mek Nab, Mat Deris mempunyai dua orang anak dan kedua-duanya tinggal di luar Kelantan.

“Mat Deris ini anak bongsu makcik, dia uzur dan tak aktif seperti dulu, duk dengan makcik la, makan minum anak lain yang hantar, rumah ini pemberian Tokpa (Datuk Seri Mustafa Mohamed),” ujarnya.

Mek Nab yang turut uzur mengakui zaman kegemilangan anaknya sewaktu bergelar artis sudah berlalu, hanya tinggal nama yang semakin dilupai bahkan Mat Deris juga sukar untuk menguruskan dirinya sendiri.

“Makcik lah duk teman dia, sapa nak teman dia lagi, nak tak nak, anak kan, kena jaga juga walaupun makcik ni uzur dah, tua dah, tak larat, lagi pun makan minum anak lain mari hantar, “ tambahnya.

Menurut Mek Nab lagi, Mat Deris seorang pencinta seni dan penggiat seni Dikir Barat dan bakat serta minat itu ditonjolkan sejak beliau di bangku sekolah, namun segalanya kini tinggal kenangan, dan hidupnya atas ihsan orang ramai dan rakan-rakan yang membantu.

Post a Comment

0 Comments