“Umi Bukaklah Langsir, Ara Nak Tengok Abang Hijau!” Bacalah Perkongsian Seorang Ibu Tentang Tanda Kematian Anaknya

“Umi Bukaklah Langsir, Ara Nak Tengok Abang Hijau!” Bacalah Perkongsian Seorang Ibu Tentang Tanda Kematian Anaknya

“Umi Bukaklah Langsir, Ara Nak Tengok Abang Hijau!” Bacalah Perkongsian Seorang Ibu Tentang Tanda Kematian Anaknya

Tepat setahun lalu, kisah adik Nur Syifa Zara, 4 tahun, yang menderita penyakit Aplastic Anaemia (berkaitan sumsum tulang) ini pernah mencuit perhatian ramai. Artikel “Umi, Tolong Peluk Zara, Zara Sakit!”  sesungguhnya membuatkan netizen sebak dan menitiskan air mata.
Hari ini, derita Zara tiba ke penghujung. Gadis comel itu akhirnya menghembuskan nafas yang terakhir pada malam Jumaat, 28 Disember 2018 akibat jangkitan kuman di paru-paru kecilnya. Jenazah Zara telah pun selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Kota Damansara.
Luahan ibu angkatnya, Puan Saneha, yang reda dengan pemergian anak syurga itu sekali lagi membuatkan air mata ibu-ibu lain jatuh bercucuran. Dalam sedih yang membungkam, kekuatan hatinya menerima dugaan terhebat ini menjadi inspirasi buat ramai wanita.
“2 hari sebelum pergi, dia minta saya bersihkan badan dia. Bersihkan semua sisa getah pelekat di kulitnya. Sambil tu dia merungut, memegang dada yang berbekas parut luka pembedahan.
Macam mana Ara nak pegi ni, dah rosak semua dah. Dah tak cantik dah.
Bapak Ara jawab, Ara kat sana akan tetap cantik… Semua bekas ni akan hilang, sayang.
Bila dengar pujukan tu, barulah dia tersenyum. Ya Allah, manisnya senyuman Ara, muka berseri-seri dengan bau badannya yang wangi.Kami tahu ‘waktu’ tu makin dekat. Lebih sebak lagi bila dia cakap…
ARA PEGI NANTI UMI JANGAN NANGIS YA. KALAU UMI NANGIS, MACAM MANA ARA NAK PEGI? UMI JANGAN RISAU TAU, KAT SANA ARA RAMAI KAWAN-KAWAN. ARA DAH NAK PEGI NI UMI.
Itulah kata-katanya setiap hari. Bila duduk diam-diam, ayat ni pasti keluar.
Seminggu sebelum pergi, dia dah cakap dia akan balik. Ara cakap kat Umi, Umi jangan sedih, jangan nangis. Nanti dah tak payah datang hospital lagi. Tak payah jumpa nurselagi. Tak payah naik Grab lagi. Sebab Ara nak pegi dah.

Patung arnab kesayangan Ara pengubat rindu si adik

Selepas pemergian Ara, patung arnab inilah jadi pengubat rindu adiknya. Itulah bantal busuk arwah masa hayatnya ada. Dia tak pernah tinggalkan arnab tu, dari sejak babysampai ke besar… tak pernah berpisah. Sekali berpisah untuk selamanya.
Malam terakhir Ara dalam dakapan Umi. Dia minta Umi selawat sampai pagi. Lena dia tidur. Hilang sakit katanya bila Umi berselawat.
Hati ini Tuhan saja yang tahu.
Selama 40 hari saya menangis.
Selama 40 hari saya berendam air mata.
Selama 40 hari saya cuba reda dan rela.
Selama 40 hari kami tak pernah berenggang jauh.
Sampai suami berhenti kerja demi nak menghabiskan masa dengannya hingga ke hembusan nafas yang terakhir. Tiap saat amat berharga buat kami.
ARA ADA BAGI TAHU, HARI JUMAAT HARI RAYA DIA. DAN UMI BUATLAH KENDURI HARI TU.
Ya, memang hari Jumaat tu hari raya Ara. Dia dikebumikan pada hari Jumaat. Dan memang hari tu kami buat kenduri untuknya.
TANDA-TANDA PEMERGIAN
Ramai yang tanya kenapa saya terlalu kuat. Sampaikan tiada air mata saat memandikan Ara atau waktu uruskan semuanya. Sebenarnya saya tak kuat tapi saya dah lama bersedia dan reda seawal 40 hari terakhir arwah lagi. Saya masih ingat kenangan berbual dengan arwah 10 hari sebelum pemergiannya.
Ara: Umi dah solat?
Umi: Dah sayang.
Ara: Umi bukak langsir tingkap. Ada abang hijau kat situ Ara nak tengok.
Umi: (Buka langsir. Waktu ni Umi faham maksud Ara, sudah 3 hari berturut-turut selepas Asar dia nampak orang yang sama)
Ara: Umi, Ara nak pegi ni. Umi tak boleh ikut ye, Umi duduk rumah jaga adik. Abah pun duduk rumah jaga adik. Ara pegi sorang-sorang. Umi jangan risau sana ramai kawan Ara.
Lidah saya kelu. Jiwa saya kosong. Saya cuba ukirkan senyuman dan sorokkan air mata. Hanya hati saja berkata-kata…
Sayang anakku, pergilah sayang. Umi tak halang. Dah lama anak Umi bertahan, dah lama anak Umi jadi kuat. Kali ni Umi yakin kat sana anak Umi akan bahagia.
Hari ketujuh sebelum Ara menghembuskan nafas terakhirnya, setiap senja selepas Asar dia akan minta saya bukakan langsir tingkap supaya abang putih boleh datang melawat dia. Begitu juga setiap malam sekitar pukul 2.00 pagi, dia akan kejut Umi dan cerita tentang taman-taman yang dia pergi dengan kawan-kawan.
Taman salji.
Taman bola.
Taman penuh permainan.
Cerita bermacam-macam taman sampailah ke malam terakhirnya.
CATATAN UMI BUAT ZARA
Sayang,
Pergimu membawa seluruh hati ini,
Setiap kenangan akan kekal di sini,
Setiap kisah akan tercatat indah,
Kaulah bidadari yang paling sempurna.
Terima kasih Ya Allah,
Kau berikan aku peluang menjaga bidadari-Mu,
Memilih kami untuk menjaga amanah-Mu,
Walau dalam ujian itu,
Tetap Kau beri ku kekuatan,
Mengharunginya dengan ketabahan.
Duhai bidadariku,
Damailah di sana sayang,
Cari tangan Umi, tariklah…
Ke taman indahmu sayang,
Taman yang kau selalu cerita pada Umi.
Al-Fatihah.


“Umi, Tolong Peluk Zara, Zara Sakit!” Tubuh TANPA DARAH PUTIH, Derita Zara Buat Wanita Ini Cekal



Sudah sekian lama dia berusaha untuk hamil. Kerana rezeki masih belum berpihak pada mereka, wanita ini tekad mengambil bayi comel bernama Zara sebagai anak angkat. Itulah permata hatinya yang dibelai dan dibesarkan dengan penuh kasih sayang.
Namun tatkala Tuhan menghantarkan berita gembira tentang kehamilannya, Zara pula tiba-tiba sakit dan sakitnya pula membawa maut. 3 nyawa perlu dipertahankan. Zara yang diancam kanser, bayi dalam kandungan dan dirinya sendiri yang hamil pada usia risiko 40 tahun.
Berbekalkan sebuah motosikal dan pendapatan cukup makan untuk menyara kehidupan mereka berlima, nasib malang yang menimpa wanita bernama Saneha ini sesungguhnya cukup menginsafkan.

Kasih sayang seorang ibu tiada penghujungnya

“Sejak Zara sakit, kehidupan kami sekeluarga banyak berubah. Saya kena jaga Zara sepenuh masa sebab dia tak ada darah putih. Keadaan Zara membuatkan dia tak boleh bercampur dengan kanak-kanak lain kerana senang jatuh sakit.
Dia pun tak ada darah platlet jadi senang berlaku pendarahan kalau terjatuh,” cerita Saneha tentang anak ketiganya, Nur Syifa Zara, 4 tahun.
Berbekalkan pendapatan bekerja kilang, suami Saneha iaitu Mohamad Zamri Khalid, 41, terpaksa bertungkus lumus mencari rezeki lebih bagi menampung keperluan keluarga. Selain Nur Syifa Zara, mereka mempunyai tiga orang lagi anak iaitu Nur Basmah, 18, Mohamad Basri, 16, dan Mohamad Zhariff, 8 bulan.
“Zara dikesan sakit pada hujung tahun 2016. Bermulalah episod duka dalam keluarga kami bila dia kerap demam dan cepat penat. Masa tu kami dapatkan rawatan di Hospital Sungai Buloh tapi tak ada pakar yang dapat kesan penyakit yang dialami Zara masa tu.
Kami bertambah pelik bila Zara dah 2 minggu demam tak sembuh-sembuh. Badannya pula senang lebam. Akhirnya kami dirujuk ke PPUM untuk ambil sampel sumsum tulang.
Keputusan yang diterima memang mengejutkan. Zara sah hidap Aplastic Anaemia, sejenis penyakit sumsum tulang yang tak berfungsi untuk menghasilkan 3 jenis darah ini. Seolah-olah kilang darahnya tutup dan tak menghasilkan darah sendiri.

Cuma salah gosok gigi dan lukanya merebak… 2 minggu Zara cuma boleh minum susu saja

Februari 2017. Zara buat rawatan ATG Horse pertama dengan perbelanjaan RM15,000. Tapi rawatan tersebut gagal kerana tak ada tindak balas positif ditunjukkan oleh tubuh Zara. Mujurlah biaya rawatan ini ditanggung sepenuhnya oleh pihak Zakat.

Tindak balas rawatan ATG

Kemudian Zara menjalani rawatan ATG Rabbit pada bulan Ogos yang menelan kos RM22,000. Kali ini saya terpaksa menebalkan muka minta bantuan dari sebuah persatuan Cina untuk membuat kutipan dana.
Bayangkan lagi masa saya bersalin anak bongsu, Zara sakit tenat dan terpaksa tinggal dalam wad selama 2 bulan. Saya pula perlu menjalani pembedahan Caesarean kerana darah tinggi.

Zara perlu menggunakan wayar PICC ni. Kos wayar saja RM1,000 dan perlu dibeli sendiri di farmasi
Ubat demam Zara yang perlu diberi menggunakan wayar PICC. Pun mesti dibeli sendiri di farmasi

Bila anak sakit, tentulah makan minum, tidur dan rehat entah ke mana. Saya pun berpantang seminggu saja di hospital, lepas tu terus berkampung di hospital jaga Zara. Memang terabai terus pantang bersalin, semuanya lintang pukang entah ke mana.
Meskipun nampak susah, tapi saya rela sebab Zara. Dia bila sakit dan lemah, mesti akan panggil saya minta dipeluk. ‘Umi umi, tolong peluk Zara, Zara sakit.’ Allahu, menitis air mata ni bila dengar suaranya sebut macam tu.
Hati ibu mana yang kuat bila tengok anak sakit. Kalau Zara balik, dia kena kurung di rumah. Tak boleh main dengan orang lain sebab dia senang dijangkiti kuman. Hibanya perasaan bila kena pujuk Zara.

Sewaktu Zara terkena jangkitan kulit

Kami dah biasa ikat perut sejak awal 2017. Bila Zara masuk wad, suami terpaksa cuti untuk jaga anak kecil yang masih bayi. Gajinya dipotong. Dan tiap bulan Zara masuk wad hampir 10 hari. Hari ni saya pecahkan tabung untuk bayar tambang GRAB yang bawa Zara ke PPUM.
Selalunya bila tak ada duit, kami terpaksa berasak naik motor 4 beranak ke PPUM. Kami tak ada kereta, cuma motor tu sajalah ‘kaki’ kami.

2 bulan di wad, Zara amat berselera makan

Masalah saya sekarang memang sumber wang yang terhad. Saya tak kerja, gaji suami pula dalam RM1,800. Itulah wang sewa rumah, susu Zara dan bayi kami, tampung kos ulang-alik Zara ke hospital.
Apa pun saya bersyukur sebab dapat bantuan zakat sebanyak RM3,000 setahun untuk biaya tambah darah Zara. Zakat bayar terus kos perubatan tu di hospital, selain dapat bantuan hospital untuk bil dia.
Keluarga saya dah banyak membantu tapi mereka pun bukan orang senang. Saya terpaksa pisahkan anak yang besar dengan adik-adik lain dan hantar dia duduk di kampung dengan kakak saya. Berat nak buat macam tu tapi kami tak ada pilihan.”
“Peluk Ara Umi, Ara sakit…” menitis air mata saya. Umi tahu anak Umi sakit. Ara akan rasa lega bila dipeluk. Ya Allah kasihanilah anakku Ya Allah.
Semalam suami saya semput kerana hujan tak menentu. Kami terpaksa ke hospital naik GRAB walaupun tak ada duit. Hati saya tambah sedih bila Zara minta macam-macam makanan… macam-macam mainan. Dia tengok orang main belon dia nak jugak. Tapi Umi kena berjimat sayang.
SAYA NAK KERJA MENJAHIT DI RUMAH SAMBIL JAGA ANAK. TAPI TAK ADA MODAL NK BLI MESIN JAHIT. SEBELUM NI SAYA MEMANG MENJAHIT. TAPI BILA ZARA SAKIT, SAYA KENA ALAHAN TERUK DAN SUAMI TERPAKSA AMBIL CUTI 2 BULAN TANPA GAJI UNTUK JAGA KAMI BERDUA. MASA TU SEMUA BARANG YANG ADA KAMI JUAL UNTUK MENAMPUNG HIDUP SELAMA 2 BULAN TU. SAMPAIKAN MESIN JAHIT PUN DIJUAL.
Dengan luka pembedahan Caesarean yang belum sembuh, saya gagahkan diri dukung Zara. Tambah lagi suasana bilik aircond yang sejuk, saya menggigil setiap malam ditemani si kecil yang cuma tidur atas kain je di atas simen.”

Anak bongsu Saneha yang masih bayi, Mohamad Zhariff

Buat anda yang prihatin dan berniat ingin meringankan beban Saneha sekeluarga, hulurkan sedikit sumbangan ikhlas kepada mereka melalui ibu adik Zara sendiri di talian 018-2775337 atau Facebook Nur SZ. Boleh juga menderma secara ikhlas melalui akaun Public Bank 4573605105 atau Maybank 162272884555 di atas nama bapanya, Mohamad Zamri Khalid.
Mereka sekeluarga menetap di alamat No. LG 29 Saujana Apartment, Jalan PJU 10/1C, Damansara Damai, Petaling Jaya. Semoga diberi kesembuhan dan dipermudahkan urusan! Norzalina Mohd Alias

Post a Comment

0 Comments