Kisah Muhammad pindah, urus sendiri pesakit HIV/Aids beragama Islam dari gereja

Kisah Muhammad pindah, urus sendiri pesakit HIV/Aids beragama Islam dari gereja

Kisah Muhammad pindah, urus sendiri pesakit HIV/Aids beragama Islam dari gereja





NAMA Muhammad bin Abdullah Al Amin tidak perlu diperkenalkan lagi. 
Beliau berkelulusan dalam bidang syariah daripada Universiti Al-Azhar sebelum menyambung pelajaran dalam pengajian Ijazah Doktor Falsafah (PhD) di Universiti Utara Malaysia (UUM).
Selain aktif dalam dakwah, ahli perniagaan ini juga banyak melibatkan diri dengan kerja-kerja amal.
Ketokohan yang dimilikinya membuatkan wajahnya sering mucul dalam televisyen, diundang ke segenap pelusuk negeri untuk berceramah dan sering menjadi ‘pakar rujuk’ dalam bidang agama.
Namun peristiwa tahun 2009 benar-benar membuatkan dirinya tersentak sekaligus membuatkan beliau merasakan apa yang dilakukannya sebelum ini tidak membawa sebarang erti.
Ia bermula apabila beliau diundang untuk memberi ceramah agama kepada hampir 70 orang pesakit HIV/Aids beragama Islam di sebuah ‘rumah perlindungan’ di Selangor.
Rupa-rupanya rumah yang dimaksudkan adalah sebuah gereja yang diuruskan sepenuhnya oleh para mubaligh Kristian.
Hati mana yang tak remuk apabila melihat anak-anak sebangsa dan seagamanya terpaksa ‘menumpang teduh’ di sebuah gereja!
Paling menarik Muhammad langsung tidak menyalahkan pihak gereja yang membantu pesakit-pesakit ini sebaliknya menyalahkan dirinya sendiri andaikata tidak dapat berbuat apa-apa mengenainya
Muhammad masih ingat yang beliau sampai di gereja itu pada hari Rabu.
Ujarnya ketika menjejakkan kaki ke ‘rumah perlindungan’ yang dimaksudkan, beliau ‘disambut’ dengan lambang salib dan patung Mary.
Kelu lidahnya hingga menyebabkan beliau sendiri tidak dapat memikirkan apakah tajuk ceramah yang hendak disampaikan pada pesakit-pesakit beragama Islam di gereja tersebut.
” Ketika saya balik dari sana, saya mula memikirkan cara hendak mengeluarkan kesemua pesakit ini. Orang Melayu kita ni, walau betapa hitam pun latarbelakang mereka, hati mereka tetap ‘tidak sedap’ bila duduk di gereja. Akhirnya dengan bantuan pelbagai pihak termasuk Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), kesemua mereka berjaya dikeluarkan dari gereja itu.
” Saya ingat lagi pada mulanya kita menyewa dan menempatkan kesemua pesakit ini di sebuah banglo lama di Petaling Jaya, Selangor. Namun tidak lama selepas itu, pemilik rumah tersebut meminta banglo lamanya itu dikosongkan setelah menyedari ia didiami oleh mereka yang dijangkiti HIV/Aids ini.
” Kebetulan saya memang ada membeli sebidang tanah di Puchong. Sebenarnya pada mulanya niat saya nak mendirikan rumah anak yatim namun saya akhirnya mengambil keputusan untuk mendirikan rumah perlindungan untuk pesakit HIV/Aids yang dikenali sebagai Darul Ukhuwah seperti mana yang anda lihat hari ini,” katanya pada Malaysia Gazette.com semalam.





Muhammad membelanjakan hampir RM700,000 untuk mendirikan rumah perlindungan ini yang boleh memuatkan 40 orang pesakit pada satu-satu masa.
Menurutnya, pada permulaan Darul Ukhuwah beroperasi, mereka agak buntu kerana tidak mempunyai pengalaman menguruskan pesakit-pesakit tersebut berbanding gereja berkenaan yang telah lama terlibat membantu mereka yang menghidap virus berbahaya ini.
Namun, katanya, beliau bersyukur kerana dari masa ke semasa, ramai doktor-doktor beragama Islam yang datang dan memberi tunjuk ajar cara hendak mengendalikan pesakit-pesakit HIV/Aids khususnya panduan merawat luka dan kudis yang terdapat di tubuh mereka.



Sebahagian pesakit yang menghuni di Rumah Perlindungan HIV Muslim Darul Ukhuwah di Kampung Tengah, Puchong, Selangor. foto IQBAL BASRI, 09 JANUARI 2019

” Sebenarnya seperti mana di rumah perlindungan atau gereja itu, Darul Ukhuwah juga mengamalkan prosedur seperti mana yang ditetapkan oleh pihak hospital tetapi di sini kita ada banyak program agama, kita ada solat berjemaah, kita ajar mereka fardhu ain, kita ajar mereka baca Al-Quran.
” Yang membuatkan saya terharu, jika dulu mereka tak pandai baca Al-Quran, bila masuk ke sini ramai yang lancar malah ada yang berjaya khatam pun. Di sini hari-hari ada qiamullail. Selain program kerohanian, kita akan sentiasa menghantar mereka menggunakan ambulan kami sendiri ke hospital untuk menjalani rawatan susulan mengikut jadual yang ditetapkan pihak berkenaan,” ujarnya.





Tambahnya, kebanyakan pesakit yang masuk ke Darul Ukhuwah dirujuk oleh pihak hospital namun ramai juga yang sukarela mendaftarkan diri atau dibawa oleh keluarga masing-masing.





Dalam pada itu, Muhammad mengakui bukan mudah untuk menguruskan Darul Ukhuwah terutama bila memikirkan soal kewangan kerana mereka tidak mengenakan sebarang bayaran kepada pesakit atau keluarga pesakit berkenaan.
Malah pernah satu ketika, beliau pernah terfikir untuk menutup saja rumah perlindungan tersebut namun nasihat serta cabaran yang diberikan oleh seorang imam besar yang ditemuinya di Palestin membuatkan beliau tekad untuk memastikan Darul Ukhuwah terus beroperasi.
Kata Muhammad, imam itu ‘menegur’ hasratnya itu kerana bagi imam berkenaan, beliau tidak sepatutnya mengeluh kerana tiada siapa pun yang menyuruh atau memaksanya membuka rumah perlindungan berkenaan.
” Saya benar-benar tersentak dengan tegurannya. Paling mengesankan bila imam itu berkata, kalau betul saya mendirikan rumah ini kerana Allah, Allah yang akan membantu saya, berharaplah pada Allah dan jangan berharap pada manusia.
” Bila saya pulang ke tanah air, saya menjadi semakin bersemangat dan Alhamdulillah perniagaan yang ceburi juga semakin berkembang dan dengan keuntungan yang diperoleh saya gunakan untuk membayar kos pengurusan dan gaji kakitangan bertugas. Saya juga bersyukur kerana mendapat bantuan pihak zakat dan badan agama di negeri ini. Saya bersyukur sangat-sangat kerana seperti mana gereja buat, kita kat sini pun boleh buat benda yang sama,” katanya sambil tersenyum.
Dalam pada itu beliau mengingatkan masyarakat agar jangan terus menyisihkan para pesakit HIV/Aids ini.



Temubual khas bersama Ustaz Abdullah Al Amin di Rumah Perlindungan HIV Muslim Darul Ukhuwah di Kampung Tengah, Puchong, Selangor. foto IQBAL BASRI, 09 JANUARI 2019

Menurut Muhammad, dalam kehidupan ini yang penting bukan permulaan tetapi bagaimana pengakhiran kita.
” Saya bagi contoh, kalau kita mementingkan dari segi permulaan, Saidina Umar tak layak menjadi khalifah umat Islam. Beliau sebelum memeluk Islam kaki perang, kaki gaduh. Dalam erti kata lain, apapun latar belakang pesakit ini, yang penting di penghujung kehidupan mereka.
” Dan bagi kami yang menjaga pesakit-pesakit ini pula, motivasi kami datang dari kata-kata Rasulullah SAW sendiri, sesiapa yang menunjuk kepada jalan kebaikan, selagi mana mereka melakukan kebaikan itu, pahala akan diberi kepada kita juga. Contohnya kita ajar dia mengaji, ajar dia sembahyang, mudah-mudahan selagi dia mengaji dan sembahyang sehingga akhir hayatnya, pahala yang sama dapat ke kita juga.
” Kena ingat, pesakit HIV/Aids ni difatwakan tergolong dalam golongan Al-Riqab, golongan terhamba. Dalam Islam kalau kita bantu golongan Al-Riqab ini, Allah akan bebaskan setiap sendi kita dari api neraka,” kata Muhammad mengakhiri perbualan. – Malaysiagazette.com

Post a Comment

0 Comments