Isu tanah Jins Shamsuddin berharga RM2.75 juta, Hang Tuah, abang saman Hang Jebat

Isu tanah Jins Shamsuddin berharga RM2.75 juta, Hang Tuah, abang saman Hang Jebat

Isu tanah Jins Shamsuddin berharga RM2.75 juta, Hang Tuah, abang saman Hang Jebat

DUA anak pelakon Tan Sri Jins Shamsuddin iaitu Hang Tuah dan Jafri memfailkan saman terhadap adiknya iaitu Putera Hang Jebat atas dakwaan memalsukan dokumen surat wakil kuasa sebidang tanah seluas 0.265 hektar yang terletak di Ulu Kelang.
Menurut Hang Tuah atau nama sebenarnya Hang Tuah @ Shazrin Mohamed Jin, tanah tersebut telah dijual dengan harga RM2.75 juta pada 2015 kepada defenden ketiga iaitu Barakatul Kamaria Ahmad tanpa pengetahuannya.
Kata Hang Tuah, dia mengetahui jual beli tanah tersebut setelah membuat semakan di Pejabat Tanah Dan Galian daerah Gombak pada 2015 selepas mendapat nasihat peguam.

"Tanah milik arwah bapa saya telah dijual pada 2015 kepada pihak lain tanpa pengetahuan saya setelah membuat semakan di Pejabat Tanah dan Galian Gombak selepas menerima nasihat daripada peguam saya.
"Saya terpaksa mengambil tindakan undang-undang selepas pihak Jebat dan peguamnya tidak mahu bertemu untuk membincangkan perkara tersebut," katanya.
Gambar fail Jins Shamsuddin (kiri) semasa hayatnya bersama  Putera Hang Jebat.
Hang Tuah ditemui ketika sidang media bagi menjelaskan perkara itu di Petaling Jaya pada Jumaat bersama dua peguamnya iaitu Iskandar Ismail dan Nur Syahiran dari Tetuan Basharuddin Iskandar..
Hang Tuah, Jafri dan Hang Jebat merupakan adik-beradik berlainan ibu.
Jafri ialah anak hasil perkahwinan pertama Jins dengan seniwati Rahmah Rahmat.
Allahyarham kemudian bercerai dan berkahwin dengan Jamilah Shukor dan mendapat Hang Tuah.
Beliau kemudian berkahwin untuk kali ketiga dengan Halijah Abdullah dan dikurniakan dua orang anak iaitu Putera Hang Jebat dan Putera Hang Nedim.
Dalam tuntutan saman itu Hang Tuah bersama Jafri selaku plantif memfailkan saman bagi menuntut ganti rugi dan deklarasi pembatalan surat kuasa wakil hak milik tanah pada 3 Januari lalu di Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Tuntutan saman tersebut dibuat kepada tiga defenden iaitu Putera Hang Jebat Mohamed Jin, penguamnya yang bernama Rosal Azimin Ahmad dan pemilik terkini tanah tersebut, Barakatul Kamaria Ahmad.
Jins Shamsuddin dalam filem Bukit Kepong.
Menurut Hang Tuah, dia mengesyaki tanah tersebut telah dijual dengan menggunakan tanda tangan palsu Jins Shamsuddin sedangkan ketika itu arwah menghidap penyakit Alzheimer (nyanyuk).
Dalam pada itu, tujuan Hang Tuah mengambil tindakan undang-undang itu bagi menuntut keadilan untuk kesemua waris-waris Allahyarham.
"Saya mengesyaki tanah itu telah dijual dengan menggunakan tanda tangan palsu arwah bapa. Sebab tanda tangan itu tidak kemas.
"Dan ketika itu pula arwah sedang mengidap penyakit Alzheimer, jadi mustahil untuk menurunkan tanda tangan dengan kemas. Sebenarnya saya ambil tindakan ini bukan sebabkan nak harta atau duit.
"Tapi ini jalan terakhir untuk saya menuntut keadilan bagi semua waris-waris arwah. Terutamanya, anak sulung arwah iaitu Jafri yang berada di Singapura yang tidak tahu apa-apa dan tidak pernah mendapat sebarang harta," ujarnya.
Jins Shamsuddin meninggal dunia pada 1 Mac 2017 pada usia 82 tahun akibat sesak nafas selepas menikmati cucur kodok pemberian isteri.

Post a Comment

0 Comments