Dalamnya Hanya Sekaki,Tapi Susahnya Mencabut Batu Nisan Yang Satu Ini

Dalamnya Hanya Sekaki,Tapi Susahnya Mencabut Batu Nisan Yang Satu Ini

Dalamnya Hanya Sekaki,Tapi Susahnya Mencabut Batu Nisan Yang Satu Ini
Matahari masih memancar terik. Bahangnya terasa menggigit tubuh, walaupun  sudah melepasi waktu Asar.
Baju yang tersarung pada tubuh Kamisan bin Awi, 60, sudah lenjun dibasahi peluh.
Tanpa mempedulikan bahang yang membakar kulit, Kamisan terus melangkah berhati-hati melalui batu nisan yang berceracak di tanah perkuburan yang terletak di Segamat, Johor itu.
Sambil itu, matanya melilau-lilau kiri kanan, mencari sebuah kubur. Petang itu, Kamisan mahu memasang kepuk dan nisan. Dua minggu sebelum itu, ada seorang waris arwah menempah nisan dan kepuk daripadanya.
“Wak Din, kubur tu kut,” kata Kamisan pada rakannya sambil menunjuk ke arah sebuah kubur yang tanahnya masih merah seperti masih baru.
Tanda dan kedudukan kubur itu juga sama seperti yang diberitahu waris kepada Kamisan sebelum ini.
Tanpa berlengah, dia terus mengayun cangkul meratakan tanah yang sedikit membukit. Kamisan buat begitu supaya memudahkannya untuk memasang kepuk.
Selesai meratakan tanah, dia membelek-belek nisan sementara yang diperbuat daripada kayu. Nisan sementara itu akan digantikannya dengan nisan yang telah ditempah oleh waris.
Kamisan memegang nisan kayu tadi lalu cuba mencabutnya.  Tapi apabila di tarik, nisan itu tak mahu tercabut.  Sikit pun tak berganjak dari kedudukan asal. Nisan itu masih teguh terpacak.
“Eh, dalam sangat ke dia orang pacak. Nisan kat kaki tu mudah pula. sekali sentap dah tercabut,” rungut Kamisan.
Nisan tadi di goyang-goyangkan ke kiri kanan, depan dan belakang.
Sekali lagi dia mencuba menarik nisan tersebut sekuat hati. Tapi, nisan tadi masih utuh. Sedikit pun tak berganjak walau sudah mengerah sepenuh tenaga.
“Wak, susah sungguh nak cabut nisan ni. Tanam dalam kut,” adu Kamisan pada Wak Din yang sibuk menurunkan barang-barang dari dalam van.
“Lembik engkau ni,” perli Wak Din ketawa terkekeh-kekeh. Dia kemudian mendekati mahu menolong mencabut nisan tersebut.
Wak Din pula mencuba. Beberapa kali menarik sampai berkerut muka, nisan tadi masih belum tercabut.
“Uihhh dalam betul ni,” kata Wak Din sambil mengelap peluh di dahinya.
“Tak apa. Kita cabut sama-sama,” cadang Kamisan.
Lantas mereka berdua bergabung tenaga, menarik nisan itu bersama-sama.
“Kuat lagi Wak,” jerit Kamisan sambil Wak Din pun bersungguh-sungguh menariknya.
Dua tiga kali mencuba, nisan kayu itu masih gagal dicabut. Sikit pun tak ada tanda-tanda nisan itu akan tercabut walaupun ia sudah bergoyang.
“Pelik ni. Dah bergoyang pun tak tercabut lagi,” kata Wak Din yang mula cuak.
Ya, memang pelik. Kamisan pun pelik sebab sudah gunakan kudrat dua lelaki dewasa, tapi masih gagal mencabut nisan tersebut.
Waktu itu, perasaan seram mula datang. Kamisan mula terasa seram sejuk. Sudah lima tahun dia melakukan pekerjaan ini, tapi belum pernah alami kejadian aneh sebegini.
Kalau ikut pengalaman lalu, nisan-nisan sementara mudah sangat dicabut. Bukan dalam nisan itu dipasak ke dalam tanah. Paling dalam, mungkin satu atau dua kaki saja. Sekali sentap, terus tercabut.
Lagipun, tanah atas kubur ni bukannya keras atau padat. Ia tanah yang sudah digali. Jadi tanah itu sudah berongga.
Sekali lagi Kamisan mencuba. Namun sebelum mencabut, mulutnya tak henti-henti membaca ayat Kursi. Sambil itu, dia berdoa agar Allah jauhkan segala gangguan daripada jin atau syaitan.
Nisan itu digenggam erat. Selepas mengumpul tenaga, dia menyentapnya ke atas.
Zasssss.
Hanya sekali sentap, nisan kayu tadi terus tercabut. Terasa terlalu ringan dan mudah, tidak seperti cubaan-cubaan sebelum ini.
Apabila tengok nisan tadi, terdapat tanda ia hanya tertanam lebih kurang sekaki sahaja.
“Sebab apa jadi macam ni?” tanya Wak Din.
Kamisan geleng kepala. dia tiada jawapan. Apa yang dia tahu, kubur tersebut milik seorang pemuda yang meninggal dunia selepas terlibat dalam kemalangan seperti diberitahu warisnya. Itu sahaja.

Post a Comment

0 Comments