PETALING JAYA: Hari konvokesyen bukan sahaja menjadi hari yang paling ditunggu-tunggu oleh setiap pelajar institusi pengajian tinggi, malah ia juga menjadi detik yang dinanti-nantikan oleh ibu bapa.
Namun, timbul cerita tidak enak tentang layanan terhadap ibu bapa yang diberikan oleh sebuah universiti tempatan di selatan tanah air pada hari konvokesyen.
Seorang pelayar Twitter @eiffaakmal meluahkan rasa sedih melihat tetamu di Majlis Konvokesyen ke-61 Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terpaksa beratur di laluan tepi longkang untuk masuk melalui pintu belakang dewan.
"Harini UTM konvo.. Yong (@eiffaakmal) sedih sangat dengan layanan mereka kepada tetamu terutamanya ibu bapa.
"Kenapa mereka semua kena masuk ikut pintu belakang? Punyalah ramai beratur nak masuk, tapi laluan tepi longkang.
Posting yang dimuat naik oleh @eiffaakmal tentang insiden itu. - Foto Twitter
"Kesian mak ayah yang tak larat, bertongkat gigih beratur. Ada tangga pulak tu," tulis wanita itu menerusi bebenang yang dimuat naik pada awal pagi Ahad.
Keluhan wanita itu mendapat perhatian netizen sehingga diulang kicau sebanyak 9,920 kali dan mendapat 4,436 tanda suka (like).
Wanita tersebut turut mendakwa pintu depan dewan hanya dikhaskan untuk orang kenamaan (VIP) dan mempersoalkan tindakan pihak universiti yang menyusahkan ibu bapa, sedangkan mereka harus dihargai.
@eiffaakmal berharap pihak UTM menjadikan situasi itu sebagai satu pengajaran dan melakukan siasatan terperinci secepat mungkin agar kejadian sama tidak berulang.
Sementara itu, pihak UTM tidak menunggu lama untuk menjernihkan isu berkenaan dengan membuat permohonan maaf atas kesulitan yang berlaku pada majlis tersebut.
Penjelasan oleh pihak UTM.
Pihak universiti menjelaskan bahawa pintu yang dinyatakan oleh wanita itu bukanlah pintu belakang dewan seperti yang didakwa tetapi ia adalah pintu sisi.
"Pihak urusetia universiti menyediakan laluan di pintu hadapan dewan bagi ibu bapa atau keluarga yang uzur, yang menggunakan kerusi roda, turut dibantu petugas.
"Laluan pintu sisi dibuka sebagai suatu laluan yang lebih hampir dengan tempat duduk ibu bapa berbanding laluan pintu utama," menurut kenyataan yang dimuat naik ke laman Facebook rasmi universiti tersebut pada Isnin malam.
Majlis konvokesyen itu berlangsung selama tiga hari bermula 10 hingga 12 November.
0 Comments