KERETA yang aku pandu berdesup laju menuju ke Bukit Badak, Klang untuk penggambaran episod pertama, Detik 12 Malam, terbitan TV3.
Tempat perjumpaan team produksi di sebuah kedai makan. Aku sampai lebih kurang jam 6.30 petang. Lepas makan aku pun diterangkan sekali lagi tentang format rancangan serta tugasan hari ini iaitu sebagai seorang penggali kubur.
Penerbit iaitu Apai tanya aku; “Awak OK ke Mie?”
Aku rasa macam nak balik je bila kena tanya macam tu. Mana ada orang nak gali kubur kat lokasi yang memang terkenal dengan cerita mistik dan berhantukan?
“Ehh, aku okey je,” jawab aku ringkas untuk tutup perasaan gugup kat penerbit aku. Apai senyum.
Lepas solat maghrib kru pun bergerak ke tanah perkuburan sebab nak set up lighting, kamera dan audio. Tinggal aku, Apai dan seorang lagi kru iaitu Alip bertiga.
Kali ni Alip bertugas sebagai penolong penerbit bagi program ni. Dia hulur aku skrip dan kita orang bincang tentang mood dan feel masa host link mengenai tugasan.
Rakaman kamera infra merah ketika Saiful Azmi melakukan tugasannya sebagai penggali kubur waktu malam.
“Tapi kalau nak lebih feel masa kat kubur nanti,” Alip tambah.
“Ehh kenapa kita tak terus ke lokasi awal-awal tadi?” Aku pelik sedikit sebab selalunya kalau shooting mesti jumpa kat lokasi terus tapi untuk program ni lain pula.
“Kita kena kosongkan kawasan tanah perkuburan sebelum waktu Maghrib. Orang tak boleh ada kat area tu,” Alip jelaskan pada aku yang sedikit bingung.
“Lip, apa cerita kat kubur tu?” aku tanya penuh minat.
Alip pandang Apai. Mungkin minta kepastian sama ada nak beritahu aku atau pun tidak. Apai angguk tanda setuju. Alip tarik nafas dalam-dalam.
“Banyak cerita tempat tu Mie. Ada yang jumpa pontianak depan jalan masuk kubur, ada yang dengar perempuan menangis. Terserempak dengan lembaga hitam bertubuh besar.
Malah ada juga yang pernah tumpang naik motor kat simpang tu,” muka Alip serius terangkan kat aku. Setiap kejadian tu Alip perincikan lagi. Aku dengar dengan penuh minat.
Tanpa berlengah aku tekan butang rakam dan tiba-tiba telefon aku terus padam. Berderau darah aku. Bulu roma terus meremang.
Saiful Azmi Jamsari
“Dah la tu, jom kita gerak!” Apai bersuara.
Alip bingkas bangun ikut Apai naik kereta Myvi yang di letakkan kat tepi jalan. Aku pulak masuk ke kereta dan ikut kereta Apai yang mendahului jalan.
Perjalanan ke tanah perkuburan taklah jauh sangat. Dalam 10 minit sahaja. Rupa-rupanya lokasi tanah perkuburan ni terletak di atas bukit. Kereta parking di bawah.
Nak mendaki naik ke atas tu kaki aku macam tak rasa dah. Fikiran kosong je. Dup Dap Dup Dap bergegar rasa dada aku. Apai dengan Alip terus menuju ke khemah yang khas untuk team produksi. Meja yang siap dengan komputer riba dan monitor untuk memantau sepanjang penggambaran.
Aku pulak terpaku depan kawasan kubur. Bukan pasal nampak pontianak, jembalang, langsuir atau jerangkung tapi disebabkan suasana lokasi.
“Tutup sikit mulut awak tu Mie, hantu belum keluar lagi,” Alip tegur aku sambil gelak.
Mungkin dia perasan keadaan aku yang berdiri tercegat kat situ.
Saiful Azmi Jamsari, hos Detik 12 Malam.
“Gempak siot!” Aku kagum dengan pandangan depan mata aku. Suasana persekitaran tanah perkuburan yang dilimpahi efek pencahayaan suram dan kesan asap membuatkan kawasan itu terlalu menyeramkan dengan batu nisan yang berceracak.
Bagi aku yang bekerja dalam bidang produksi, suasana begitu jika dim lihat dalam TV nanti memang sesuatu yang sangat cantik dan membanggakan. Macam dalam filem.
Aku berlegar sebentar di sekitar kawasan penggambaran. Masing-masing dengan tugas mereka. Bahagian props sibuk dengan peralatan seperti bangku panjang, cangkul dan lampu minyak tanah. Bahagian teknikal menguruskan segala peralatan penggambaran.
Aku cuba perhatikan satu batu nisan yang ada di situ. Walaupun dalam tulisan jawi namun aku masih mampu membacanya. Dikebumikan pada tahun 1982. Tiba-tiba bahu aku ditepuk.
Berderau darah naik ke atas kepala. Rupa-rupanya Aslam kru lighting kat belakang aku.
“Tumpang lalu Mie, kawan nak pacak lampu jap,” sambil bawak light stand dan wayar lampu yang bergulung rapi. Aku beredar ke khemah. Dalam perjalanan ke khemah aku terpandang satu papan tanda yang dipakukan di sebatang pokok.
Ia tertulis: “Selepas jam 7, dilarang berada di kawasan perkuburan. Pihak pengurusan tidak akan bertanggungjawab. Jika berlaku apa-apa kejadian, harap beri kerjasama.”
Tanpa berlengah aku keluarkan telefon Blackberry Bold 3 aku ketika itu untuk merakam gambar papan tanda tu. Berlatarbelakangkan nisan kaku, cahaya suram dan asap yang menyelubungi pastinya akan jadi gambar terhebat. Aku pon buka aplikasi kamera dan ambil gambar pertama.
Alip mendekati aku lalu berkata; “Terbaik bro. Cun”.
Menjadi pengacara bagi rancangan bercorak seram amat mencabar mental.
Memang hebat mata penolong penerbit aku nih. Lepas snap aku cuba lihat semula gambar yang diambil dari gallery sambil Alip menjengah kepalanya kerana nak lihat hasil gambar yang diambil.
Telefon terpadam
“Aik, Takde!”. Ya memang tiada gambar yang aku baru ambil tu. Yang peliknya pulak, aku yakin dah tekan butang yang betul. Mana mungkin tak terakam?
“Ambik sekali lagi!” ujar Alip tak sabar nak lihat hasilnya. Kali ni aku cuba dapatkan sudut yang terbaik untuk aku abadikan gambar tersebut sebagai kenangan. Alip berdiri belakang aku.
Tanpa berlengah aku tekan butang rakam dan tiba-tiba telefon aku terus padam. Berderau darah aku. Bulu roma terus meremang.
“ La la laaaa lala….” Alip berlalu pergi tinggalkan aku. Muka dia penuh misteri lepas memandang muka aku yang kehairanan. Gayanya macam tak mahu ada kaitan dengan kejadian sebentar tadi.
“Kenapa telefon aku ni?” Aku belek dan cuba hidupkan kembali dengan menekan butang ON. Hairan. Telefon tu seperti kehabisan bateri. Padahal lebih daripada separuh baki kuasa bateri yang berbaki masa aku sampai tadi.
“Everybody standby for recording!” Apai jerit dari bawah khemah membuatkan aku bergegas dapatkan skrip. Tak hafal nanti menyusahkan orang lain pulak.
Penggambaran awal berjalan dengan baik dan teratur. Aku bersyukur sebab bahagian pertama pengacaraan aku untuk pertama kalinya lancar. Tiada apa yang mencacatkan rakaman. Ternyata cuaca malam itu agak selesa dengan kedinginan malam. Nasib aku pakai jaket.
Seterusnya giliran Abang Rosli. Susuk badan tegap berumur lingkungan awal 40an. Insan yang bertanggangjawab menggali liang-liang lahad di tanah perkuburan itu.
Diganggu lembaga hitam
Pekerjaan turun-temurun keluarga katanya. Dia kerja di tanah perkuburan tu dah 24 tahun. Aku khusyuk mendengar pengalaman beliau diganggu lembaga hitam yang besar dan menumpangnya semasa menunggang motosikal pulang ke rumah selepas selesai menggali kubur.
\
Kepulan asap berwarna putih kelihatan pada kubur digali yang dapat dirakamkan daripada kamera infra merah.
Setelah itu, Pak Hitam pula menceritakan pengalamannya sepanjang bekerja mengggali kubur. Dari raut urat yang menjalar ditangannya sahaja cukup menggambarkan kudrat kuat yang dimilikinya.
Walau sudah melebihi umur 50 tahun, rambut putih memutih di kepala tapi semangatnya masih kuat menghadapi gangguan demi gangguan di tanah perkuburan.
“Berdiri bulu roma aku apabila mendengarkan pengalaman Pak hitam dan juga Rosli sepanjang mereka menjalankan tugas sebagai penggali kubur. Dan malam ini bagi menyahut cabaran, saya sendiri akan merasai tugas sebagai penggali kubur,” itu skrip akhir aku sebelum tugasan bermula. Jam dah menunjukkan pukul 11.50 malam.
Aku disiapkan dengan wireless microphone, sebuah kamera video, sebatang cangkul, sebiji lampu minyak tanah dan satu walkie talkie. Tempat yang ditetapkan untuk aku menggali petak kubur telah tersedia dipasang kamera litar tertutup, infra merah . Bila masa kru pasang, aku pun tak perasan. Dia orang memang cekap.
Mungkin ramai yang tak tahu bahawa aku sememangnya berada di kawasan perkuburan itu seorang diri semasa menjalani tugasan. Seluruh team produksi akan melihat dan memantau aku melalui skrin dari khemah yang terletak tak kurang 300 meter dari tempat aku berada. Tidak akan ada jurukamera atau kru yang menemani aku.
“OK Mie. Awak boleh start bila-bila masa awak ready,” Apai memberi arahan melalui walkie talkie.
Dari pinggir kawasan perkuburan aku menuju ke petak kubur. Melalui celah-celah batu nisan yang tegak dan condong tu aku melangkah berhati-hati. Berbeza sungguh keadaan sekarang berbanding awal tadi yang terang benderang dengan lampu produksi.
Sekarang aku berjalan hanya bertemankan lampu minyak tanah dan sekali-sekala menjeling ke skrin video kamera night vision yang dipegang. Seringkali orang bercerita perihal hantu pocong yang wujud di atas kubur menerjah kat fikiran aku. Kalaulah pocong menjelma time macam ni mahu pengsan aku.
Setelah sampai ke petak kubur yang telah ditetapkan aku mula melihat kawasan sekeliling. Gelap gelita. Bunyi cengkerik hanya sekali sekala kedengaran.
Mula menggali kubur
Setelah sedekahkan ayat suci al-Fatihah kepada ahli-ahli kubur aku pun memulakan penggalian. Jam tangan menunjukkan pukul 12.30 tengah malam. Satu persatu tanah yang aku cangkul diletakkan ke tepi. Kiri dan kanan masih terdapat kubur lama, jadi aku menggali diantaranya.
Dalam kesamaran aku terlihat sesuatu berwarna putih melintas terbang berhampiran pokok di sisi aku. Meremang tengkuk aku.
“Ehh... Apa tu? Pontianak ke tu?” Terlintas dalam hati. Apabila diamati rupa-rupanya burung hantu. Fuhhhhh… lega rasanya. Besar jugak saiz burung hantu tu dan aku terus menggali.
Tipulah tak ada apa-apa yang bermain di benak fikiran, aku terbayangkan seandainya aku gali liang lahad ni sehingga kedalaman jenazah dikebumikan dan serta merta tanah di sebelah runtuh sehingga menampakkan kain kapan jenazah yang reput. Tengkorak pula bergolek kat kaki. Mesti longlai lutut aku berhadapan situasi begitu.
Suasana Tanah Perkuburan Islam, Bukit Badak, Klang yang dilarang untuk dikunjungi selepas pukul 7 malam.
Sepanjang aku menjalankan tugasan sebagai penggali kubur tu, beberapa kali juga Apai minta aku berhenti sejenak dan perhatikan sekeliling. Meminta aku ulas apa yang wujud dari kanan, kiri, depan, belakang dan atas. Sayangnya tiada apa yang dapat aku lihat selain kepekatan malam kecuali sesekali terdengar lolongan panjang anjing di kejauhan. Sayu je bunyinya.
Setelah mencapai kedalaman separas lutut, Apai secara tiba-tiba minta aku berhenti terus daripada menggali. Aku lihat jam tangan menunjukkan pukul 3 pagi. Ni bermakna aku dah berada di situ selama dua jam setengah.
Pengalaman menggali kubur saudara mara yang meninggal dunia sebelum ini membuat aku tak lelah dengan tugasan tu. Cuma bezanya ianya dilakukan di siang dan bergilir-gilir menggali seramai lima orang.
Kabus menerjah
Tepat pukul 4.00 pagi Apai arahkan aku habiskan siasatan dan kembali ke khemah. Sampai je aku ke khemah, aku terus duduk sebelah Apai. Alip hulurkan air mineral. Muka masing-masing yang ada di khemah senyum kelat.
“Awak memang gila la Mie. Memang berani,” Apai cakap kat aku dan lepas tu dia arahkan semua kru supaya menyimpan peralatan penggambaran.
“Okey ke Pai?” Aku tanya pandangan Apai. Manalah tahu tak menepati kandungan program. Risau jugak aku. Silap haribulan kena buat re-shoot semula. Mati aku.
“Ehh, okey sangat Mie. Sorry la suruh awak stop mencangkul tadi. Sungguh-sungguh ekk awak gali. Cuma kalau lebih paras lutut tadi susah plak saya kena buat repot polis. Ya la kan, cuma bila ada kematian sahaja baru boleh gali kubur. Tapi awak takde perasan apa-apa ke?” tanya Apai nak dapatkan kepastian aku. Berkerut dahi dia.
“Takde la pulak. Gelap la. Tak nampak sangat. Korang ada nampak apa-apa ke kat monitor?” Aku balas sambil meneguk air mineral dalam genggaman. Haus tekak aku.
“Petang nanti awak datang office la mie. Kita tengok CCTV. Ni aku nak kemas. Awak balik, rehat jap. Pastu kita borak lagi,” jelas Apai dan pukul 5.30 pagi seluruh team produksi bergerak pulang.
Pukul 3 petang aku sampai ke office dan bertemu Apai dan dia mengajak untuk melihat rakaman CCTV yang dipasang di kubur semasa penggambaran kami.
image:
Beginilah keadaan kubur yang digali pada paras lutut yang kemudiannya terpaksa dihentikan selepas kepulan asap kelihatan di monitor TV.
“Sebenarnya Mie, menerusi tiga CCTV yang kita pasang, salah satu kamera dapat merakam imej seperti kabus menerjah keluar dari lubang yang awak gali.
“Kabus tu terus terbang menghala ke arah kamera dan hilang. Pelik sangat. Kejadian itu berulang kali berlaku setiap kali kau gali. Sebab tu la aku suruh kau berenti sekejap dan perhatikan kawasan sekeliling.” Apai bersungguh buat penerangan berdasarkan visual yang dimainkan di monitor.
“Tapi serius aku tak nampak apa-apa,” aku menjadi bingung. Kabus apa yang Apai maksudkan? Masing-masing termenung.
“Lagi satu pasal burung hantu yang awak cakap tu. Dalam kamera CCTV yang kita pasang kat kawasan tu, tak ada pun visual burung hantu terbang. Betul ke burung hantu yang awak nampak Mie?” Apai soal aku lagi.
“Aku Nampak Pai. Dari pandangan aku, itu burung hantu sebab bersayap dan terbang berkepak. Boleh dengar lagi bunyi sayap tu. Macam bunyi kain berkibas,” aku cuba yakinkan penerbit aku tu. Apai tatap muka aku lama.
“Takde dalam video bro,” ayat Apai matikan lamunan aku dan terus bermain-main dalam fikiran apakah sebenarnya yang terjadi.
Dua perkara ini sahaja dah cukup misteri bagi aku. Patut lah muka diorang semua kat tanah perkuburan tempoh hari semacam je lepas aku habiskan tugasan. Apa yang terakam melalui kamera tak dapat dirungkai oleh mata kasar manakala yang dapat dilihat dari mata kepala pula tak dapat dirakam visualnya oleh kamera.
0 Comments