Kesungguhan Bercinta Allahyarham Zaibo Dan Isteri,Ada Yang Tidak Kesampaian

Kesungguhan Bercinta Allahyarham Zaibo Dan Isteri,Ada Yang Tidak Kesampaian

Kesungguhan Bercinta Allahyarham Zaibo Dan Isteri,Ada Yang Tidak Kesampaian

PAGI itu aku menerima satu mesej khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dikirimkan seorang pembaca dari Johor.

Pembaca itu minta aku siasat apa hubungan Zaibo dengan seorang wanita berstatus janda di Rengit.

Sebagai penulis gosip ruangan Kring-Kring di Mingguan Malaysia pada waktu itu, cerita berkenaan memanglah dinanti-nantikan.

Tapi aku diamkan dulu. Seminggu kemudian, aku menerima lagi SMS bercerita perkara yang sama.

Kali ini ada pembaca terserempak Zaibo dengan seorang wanita sibuk membeli ikan di pasar dan pemanggil itu mahukan kepastian, apakah hubungan mereka itu.




Gambar terkini Zaibo semasa dirakamkan pada 11 November lalu di rumahnya di Rengit, Johor.

Akhirnya aku membuat keputusan menghubungi sendiri Zaibo untuk bertanya kesahihannya.

Zaibo yang mengangkat telefon terkejut apabila aku memperkenalkan diri kerana dia dapat mengesyaki mungkin ada sesuatu yang mahu ditanya.

“Saya dengar abang dah kahwin? Betul ke?” Soal aku.

Lalu dengan pantas Zaibo menjawab; “Tidak… tidak…”

Sampuk aku lagi dan kali ini agak lain macam sikit bunyinya… Aku kata, benda yang baik jangan sesekali disorok, takut nanti kena sumpah dengan peminat, tiga bulan kahwin tak boleh kekal.

Mendengar ayat itu Zaibo agak tersentap tapi kemudian dia ketawa. Laser betul mulut kau, katanya.

Dan selepas itu baharulah dia buka cerita memang benar apa yang dilaporkan orang kepada aku itu.



Zaibo (kanan) bersama Lan Pet-Pet dalam Senario.

Kata Zaibo sudah beberapa bulan dia asyik berulang-alik ke Rengit, Johor jika tak ada penggambaran. Dia mengaku sedang berkawan dengan Siti Hawa, janda anak sembilan namun sebagai abang dan adik.

Jika ada penggambaran di Singapura, Zaibo kerap singgah di rumah kenalannya dan dari situlah dia mengenali wanita itu.

“Kepada sesiapa yang nampak saya berdua-duaan, dia bukan isteri saya… dia adik angkat sahaja,” ujar Zaibo yang minta ditulis perkataan itu.

Kisah Zaibo yang tersiar di Mingguan Malaysia pada 25 April 2010 mengejutkan ramai pihak temasuk rakan-rakan artis mengenai kesungguhan Zaibo bercinta.

Dan akhirnya pada 3 Disember 2010, hubungan antara abang dan adik itu berkahir apabila Zaibo bersedia mengambil Siti Hawa Sawal menjadi isterinya.

Kata Zaibo, mereka membuat keputusan bernikah kerana tidak mahu mendengar lagi cakap-cakap orang yang tidak manis.

Pendek kata, satu pekan Rengit sudah tahu Zaibo kerap berjumpa Siti Hawa.

Zaibo ketika menerima kunjungan wartawan Niezam Abdullah (tengah) dan pengarah drama, Shuhaimi Lua (kiri).

Setiap kali aku berjumpa Zaibo, kisah inilah yang sering diulang-ulangnya.
“Dialah orang pertama yang tulis cerita kita berkawan dulu,” kata Zaibo kepada Siti Hawa semasa aku hadir ke perkahwinan anak tirinya tak lama dulu.

Pada 4 September lalu aku sekali lagi melawat Zaibo di Hospital Sungai Buloh, selepas mengetahui dia menerima rawatan akibat penyakit kanser esofagus yang meyekat saluran pemakanannya.

Menitis air matanya tatkala aku sampai sambil dia berpeluk menahan sebak.
Diulang lagi perkataan yang sama kepada isterinya… “Inilah wartawan pertama yang tulis kisah kita.”

Sambil dia bercerita akan kesakitan dihadapinya akibat kanser yang dikesan pada bulan Ramadan lalu.

Dan pada Sabtu lalu, aku hadir sekali lagi melawatnya. Ditemani pengarah drama Shuhaimi Lua Abdullah, kami menjengah Zaibo di Rengit, Johor.

Tatkala kami masuk menjenguknya di bilik, air matanya terus mengalir, tidak sangka ada sahabat datang dari jauh untuk menziarahinya. Mendengar tangisannya kami turut berasa sedih.



Zaibo ketika di majlis pernikahannya dengan Siti Hawa pada 3 Disember 2010.

Keadaan Zaibo semakin kurus, tak sama seperti Zaibo yang dilihat di hospital tempoh hari.
Sakitnya semakin teruk nampaknya tapi Zaibo pinta aku menulis berita dia sihat dan meminta aku menyiarkan gambar lamanya.

Namun dia memberi kebenaran merakamkan gambar berdua untuk dibuat kenang-kenangan.

Katanya, sejak beberapa hari, dia agak penat melayan tetamu. Selepas tular berita keadaannya semakin seirus, dia dikunjungi ramai tetamu sehingga tidak sempat berehat dan terpaksa menjawab banyak panggilan telefon.

Dalam pertemuan singkat di biliknya itu Zaibo mengadu dia mudah berasa penat, badannya juga lesu.

Namun di sudut hatinya dia amat mengasihani Siti Hawa yang tidak bekerja semata-mata mahu menjaganya yang sedang sakit.

“Kakak dah tak kerja kerana nak jaga abang. Perbelanjaan juga semakin susut tapi nasib baik juga ada orag bagi sumbangan,” kongsi Zaibo sambil beberapa kali meminta ditarik kaki untuk dia mengunjur.



Zaibo (kanan) dalam drama bersiri 2+1 yang popular pada tahun 1990-an.

Aku berkata, dia sepatutnya bersyukur kerana mendapat isteri sebaik Siti Hawa.
Dan sesekali ketika melihat menu makanan orang sakit yang ditampal di almari biliknya, Zaibo berkata dia teringin nak makan makanan sedap dan berharap dapat memasak seperti dahulu.

Aku faham, penyakit kanser yang membataskan dia untuk menikmati makanan menyebabkan dia rindukan pelbagai masakan.

“Kalau abang sembuh, abang nak masak ketam. Teringin sangat nak makan ketam dan nak jalan-jalan dengan kawan-kawan macam dulu. Teringin nak pi Bukit Mertajam,” tambahnya yang yakin akan sembuh dengan kaedah tradisional dilakukannya.

Jika sihat katanya, ada dua hajat yang hendak ditunaikan. Perkara pertama sesuatu yang cukup rahsia, tiada siapa tahu melainkan dia dan isterinya sahaja.

Aku tanya apakah peristiwa itu kerana aku nak tahu dan dia pun bercerita tapi sayang, aku sukar memahami kerana percakapan yang amat terbatas dan aku pula tidak tergamak meminta dia mengulanginya.

Namun apakan daya, dia pergi sebelum sempat menunaikan hajatnya.
Saat sebelum aku melangkah pergi, aku memeluk bahunya sambil dia menggenggam erat tangan ku.

“Maafkan saya abang, kita tak tahu bila lagi akan berjumpa. Ampunkan saya jika ada salah dan silap. Halalkan makan dan minum,” kata aku dan dia terus menangis tanpa suara dan tanpa air mata sambil mengulangi perkataan sama di depan isterinya, “inilah wartawan pertama tulis cerita kita.”

Dan pada hari Rabu, 14 November 2018, aku terus menulis ceritanya... bukan cerita biasa-biasa tapi sebuah belasungkawa, cerita dia sudah tiada.

Semoga Allah menempatkan mu Zainal Ariffin Abd. Hamid di syurga… Al-Fatihah!

Post a Comment

0 Comments