"Kami tak pernah ke kubur ayah, ibu setiap hari nyanyi lagu Di Mana Kan Ku Cari Ganti"

loading...
Loading...
"Kami tak pernah ke kubur ayah, ibu setiap hari nyanyi lagu Di Mana Kan Ku Cari Ganti"

PETALING JAYA: Meskipun sudah 19 tahun berlalu, saat terakhir pemergian bapanya masih lagi terngiang-ngiang di fikiran ibu kepada dua anak ini, seolah-olah ia masih baru berlaku.

Ketika itu, Siti Umairah Mohd Aris yang merupakan anak sulung daripada empat adik-beradik itu sudah berusia 9 tahun, cukup untuk mengingati peristiwa tersebut.
Tambahan pula dia amat rapat dengan bapanya, Allahyarham Mohd Aris Abdul Latif yang meninggal dunia akibat kanser paru-paru.

Sejak itu, peristiwa hitam tersebut sentiasa menghantui dirinya.
Mengimbas peristiwa itu Siti Umairah berkata seperti kebiasaannya, selepas balik dari sekolah dia akan melakukan rutin hariannya iaitu memasak nasi dan memanaskan lauk untuk bapanya.

Namun pada hari itu, bapanya yang sedang tidur tidak bangun walau sudah dikejutkan.
"Saya kejut ayah tapi ayah tak bangun. Saya kata kat diri sendiri, nanti tunggu bila ayah lapar mesti dia bangun.

"Saya biarkan ayah tidur sekejap. Saya tunggu sampai Asar. Selalunya ayah bangun untuk solat tapi rasanya dah lewat sangat waktu tu.

"Saya kejutkan lagi sekali tapi tak ada tindak balas. Saya hanya nampak air mata di kelopak mata ayah. Tangan ayah sejuk dan tilamnya juga basah," katanya ketika dihubungi mStar Online.

Terkejut melihat keadaan bapanya, Siti Umairah berlari mendapatkan ibunya yang sedang berniaga tidak jauh dari rumah mereka.




Bebenang luahan hati Siti Umairah mendapat perhatian ramai di Twitter.

"Saya beritahu adik nombor dua, minta dia jaga dua adik yang lain. Saya berlari sambil menangis pergi ke tempat ibu berniaga.

"Kelam kabut saya dan ibu kemas semua barang berniaga, berlari kami dua beranak tolak gerai sampai ke rumah," katanya.
Namun anak kelahiran Ipoh, Perak itu berkata sebaik tiba di rumah, bapanya masih juga belum bangun.

"Masa itu adik yang bongsu umur 2 tahun tidur atas perut ayah. Ibu pula buat panggilan telefon tapi aku nampak air mata ibu laju turun membasahi pipi.

"Lepas Isyak abang sepupu saya sampai di rumah kami. Dia tanya apa yang terjadi. Rupanya adik saya Aishah beritahu ayah tidur dari pagi lagi," katanya.
Jelas Siti Umairah dalam nada sebak, waktu itu rupa-rupanya bapanya sudah tenat.
"Saya tak tahu ayah sebenarnya dan tenat. Saya cuma ingatkan dia penat. Lepas itu saya perasan nafasnya nampak makin berat.
"Tidak lama kemudian ambulans sampai di perkarangan rumah kami. Mereka bawa ayah ke hospital. Waktu tu saya marah sebab mereka tak benarkan saya tidur di hospital temankan ayah," katanya.

Tanggal 29 Oktober 1999, Siti Umairah berkata bapanya menghembuskan nafas terakhirnya. Jenazah bapanya dikebumikan di kampung halaman mereka di Tapah, Perak.




Foto kenangan bersama arwah ayahnya.

"Sampai ke saat ini sangat terkilan kerana tidak dapat menemani ayah sehingga dia menghembuskan nafas terakhirnya. Sedih sangat-sangat.

"Hanya ibu seorang yang sempat jumpa ayah buat kali terakhir. Saya jadi marah sebab tak dapat temani ayah. Tapi bila difikirkan semula budak umur 9 tahun mana boleh tunggu di hospital," katanya.

Siti Umairah berkata disebabkan rasa marah itu, dia enggan pergi ke kubur bapanya.
"Waktu tu kita tengah marah jadi macam merajuk la sikit cakap tak nak pergi kubur. Ayah pun dibawa ke kubur menaiki van jenazah. Saya menangis dan terus meraung mengejar van jenazah nak ikut ayah.

"Tapi dah terlewat, van jenazah dah hilang dari pandangan mata. Sampai hari ini saya tak tahu kubur ayah di mana. Kami anak beranak, ibu, saya dan adik-adik tak pernah sekali pun ke kubur ayah sampai ke hari ini," katanya.

Jelas wanita berusia 28 tahun itu, mereka sekeluarga tidak pernah menziarahi kubur bapanya kerana masih belum kuat untuk berbuat demikian.
"Saya tahu kalau kami pergi, kami tak kuat hati. Kalau kami ke kubur ayah pasti kami meratap dan meraung sepenuh hati.

"Walaupun di mana kami berada kami sentiasa mendoakan ayah. Janji Allah itu pasti, berdoalah dimana-mana sahaja, doa itu akan sampai pada ayah," katanya.




Rata-rata netizen sebak mendengar kisah pemergian bapa Siti Umairah.

Siti Umairah berkata pemergian bapanya memberi kesan mendalam kepada mereka sekeluarga.
"Hidup kami sekeluarga memang betul-betul berubah. Makin susah. Ibu terpaksa sara kami empat beradik sendiri.

"Saya juga ada bekerja di kedai Tom Yam masa umur 10 tahun. Masa tu seronok sangat dapat upah RM5 sehari dan nasi sekali.

"Namun saya tak fikir apa pada masa tu. Saya gembira dapat bawa balik nasi untuk ibu dan juga adik-adik," katanya sebak.
Sehingga hari ini, pemergian bapanya masih memberi impak besar kepada ibunya.



Foto terbaharu Siti Umairah (kanan) sewaktu perkahwinan adiknya.

"Ibulah yang paling merana. Setiap hari ibu tunggu ayah balik, dia cakap ayah pergi kerja tapi hari-hari juga dia hampa sebab ayah tak kunjung tiba.

"Bertahun-tahun, setiap hari tak pernah tinggal walau sehari ibu akan menyanyi lagu P. Ramlee, Dimanakan Ku Cari Ganti berulang kali. Setiap kali ibu menyanyi mesti dia akan menangis sekali," katanya.

Dek kerana berasa kehilangan, Siti Umairah berkata ibunya, Zaleha Din membawa diri ke Australia sejak Mac tahun lalu.

"Ibu dah tak kerja. Dia tinggal kat kampung jadi dia sunyi dan akan teringat kat ayah. Jadi dia pergi ke Australia dan bekerja semula di sana.

"Dengan bekerja semula ibu dapat sibukkan diri. Sekurang-kurangnya dapatlah ibu melupakan kesedihan yang dialaminya sejak 19 tahun lalu," katanya.

Bebenang Siti Umairah mengenai kisah sedih kehilangan bapanya menjadi tular di Twitter apabila diulang kicau hampir 10,000 kali dan menerima lebih 6,000 tanda suka.
Katanya, dia terkejut dengan reaksi netizen dan tidak menyangka luahan hatinya itu mendapat perhatian ramai.

"Kebetulan tarikh itu (29 Oktober) adalah hari ayah sudah meninggalkan kami sekeluarga. Jadi saya buat thread untuk luahkan apa yang terbuku di hati. Tak sangka pula kisah ini jadi viral," katanya.

Post a Comment

0 Comments