Mereka hilang di alam lain dikaki Gunung Santubong, Sarawak.

Mereka hilang di alam lain dikaki Gunung Santubong, Sarawak.


 Mereka hilang di alam lain dikaki Gunung Santubong, Sarawak.

Pernahkah anda mendengar kisah orang yang hilang dan dikatakan telah berpindah ke ke alam lain? Percayakah anda dengan kisah tersebut?

Apa yang berlaku kepada Rudiuzaman Mokhtar, dan sepupunya, Rozli Poli, kedua-duanya berusia 17 tahun, sehingga kini menjadi misteri. Pada 25 Mei 1994, mereka dan 17 orang lagi sahabat pergi berkhemah di pantai Teluk Lembu, yang terletak di kaki Gunung Santubong, Sarawak.

Pukul 10.00 malam, berlaku kejadian pelik apabila mereka dikejutkan dengan bunyi pokok-pokok besar tumbang di sekitar tapak perkhemahan. Sejam kemudian, kedengaran pula suara perempuan ketawa mengilai. Bila ditinjau, tidak ada kelibat sesiapa di atas bongkah batu tempat datangnya suara hilaian tadi.

Bertambah aneh, esoknya apabila ditinjau, mereka dapati tiada pokok balak yang tumbang kecuali sebatang yang hanya sebesar lengan. Oleh kerana takut, kesemua mereka segera meninggalkan pantai itu, kecuali Rudi dan Rozli. Kedua-dua pemuda tersebut sibuk membuat rakit menggunakan tong dram, kayu dan seutas tali panjang.

“Teluk Pasir… nak jumpa orang,” kata Rudi apabila ditanya ke mana dia dan Rozli hendak pergi.

“Petang nanti kami balik,” ujar Rudi lagi.

Bagaimanapun, sampailah hari kelima, mereka masih tidak pulang. Usaha mencari dilakukan dengan bantuan polis dan marin. Namun gagal. Malah tiada satu pun barang-barang milik mereka ditemui. Akhirnya selepas sebulan, operasi itu terpaksa ditamatkan. Rudi dan Rozli lenyap tanpa sebarang kesan, sampailah sekarang.

Ke mana mereka menghilang? Kalau rakit mereka karam, kenapa tidak ditemui cebisannya serta barang-barang yang dibawa? Kalau lemas, mana mayatnya?

Mereka diculik? Persoalannya, apa perlunya si penculik itu `menculik’ rakit mereka sekali?

Di sinilah misterinya. Sebelum itu sewaktu mereka berjalan beramai-ramai ke Teluk Lembu, mereka telah terserempak dengan seorang lelaki tua. Lelaki berkenaan memberi amaran, “Jangan berkhemah di situ… kawasan tu keras. Bahaya!” Selepas beberapa tapak melangkah, apabila ditoleh semula, lelaki berkenaan sudah tiada!

Pada malam yang sama, Rudi menceritakan kepada kawan-kawannya bahawa dia bermimpi didatangi seorang tua yang mahu memberitahunya sesuatu. Beritahu apa? “Rahsia,” jawab Rudi.

Misteri seterusnya, kedua-dua sepupu itu mempunyai cita-cita yang sama, iaitu `mahu menjadi wali.’

Suatu petang selepas beberapa hari Rudi dan Rozli hilang, Mokhtar Saini membelek-belek al-Quran yang sering dibaca oleh anaknya itu. Dia terkejut, apabila melihat terdapat banyak garis dan tandaan pada salah satu surah dalam kitab suci. Apabila diteliti, Mokhtar mendapati ia adalah surah al-Kahfi.

Kisah ini diceritakan sendiri oleh Poli Dahlan dan Mokhtar Saini serta anaknya, Lukmanul Hakim yang turut menyertai perkhemahan itu, kepada saya lima tahun selepas kejadian aneh tersebut berlaku. Poli menetap di berek polis Batu Kawah, manakala Mokhtar di Kampung Bako ketika saya menemuramah mereka.

Post a comment

0 Comments