Penduduk Resah Pocong Hantui Seberang Takir

Penduduk Resah Pocong Hantui Seberang Takir

Penduduk Resah Pocong Hantui Seberang Takir

PENDUDUK Kampung Baru Seberang Takir, Kuala Nerus, gempar apabila melihat lembaga didakwa menyerupai pocong pada waktu malam, sejak seminggu yang lalu.
Dua gambar tular di media sosial sejak kelmarin, memaparkan satu lembaga dibaluti kain putih didakwa pocong yang dirakam di kampung itu.
Seorang penduduk yang hanya ingin dikenali sebagai Lina, 35, berkata, dakwaan pocong mengganggu penduduk itu heboh diperkatakan sehingga menjadi igauan ngeri kepada mereka.



“Memang menakutkan apabila mendengar cerita daripada penduduk yang mendakwa melihat makhluk itu meloncat dan ada yang sempat merakam gambar dakwaan itu.
“Semua penduduk sedia maklum dengan gangguan berkenaan dan masing-masing bimbang untuk keluar lewat malam kerana takut diganggu atau terserempak,” katanya ketika dihubungi.
Lina berkata, sebelum ini, dia ada mendengar cerita penduduk yang memancing ikan di tepi sungai diganggu lembaga terbabit.
“Kebenaran pocong ini belum terbukti jelas, hanya cerita disebarkan dari mulut ke mulut dan viral di Internet hingga menakutkan ramai orang terutama wanita,” katanya.
Ahmad Khairul Hafizi Kamaruddin, 24, dari Kampung Bukit Tumbuh pula berkata, dia mengetahui mengenai gangguan pocong di Kampung Baru Seberang Takir itu menerusi media sosial.
“Di mana sahaja terutama di kedai makan, penduduk kampung bercakap mengenainya. Memang susah nak percaya tetapi ramai pula yang mendakwa pernah terserempak lembaga itu.
“Cuma gambar yang tersebar itu kita tak pasti betul atau tidak. Cuma kami tetap berjaga-jaga kerana tidak mahu menjadi mangsa gangguan lembaga itu,” katanya.
Sementara itu, Pengasas Menyingkap Tirai Ghaib (MTG), Ustaz Zek Ayry Khan berkata, berdasarkan gambar tular itu, beliau yakin ia gambar palsu yang sengaja disebarkan untuk menakutkan orang ramai.
“Kewujudan makhluk ini tidak boleh dinafikan, namun ia sukar dirakam dalam bentuk nyata seperti dalam gambar yang tular itu.
“Nasihat saya kepada penduduk supaya jangan takut dan cuba berhadapan dengan pocong itu sekiranya ia muncul kerana mungkin ia perbuatan budak nakal,” katanya.
Beliau juga menasihati penduduk supaya memperbanyakkan bacaan ayat suci al-Quran untuk menghilangkan perasaan takut dan pendinding daripada gangguan syaitan dan jin.

Post a Comment

0 Comments