PETALING JAYA: Penyanyi Aishah menepis dakwaan kononnya dia bersikap tamak sehingga berniat menjual hadiah berupa barang kemas pemberian Datuk Seri Vida yang dikatakan bernilai mencecah RM80,000.
Malah jelas Aishah, dia bagaimanapun terpaksa menanggung malu apabila jurunilai sebuah kedai emas yang dikunjunginya memaklumkan bahawa batu permata yang dimilikinya itu adalah palsu.
"Itu semua mulut-mulut puaka, sama sekali tidak benar (mahu jual rantai). Namun secara logiknya, seseorang itu mempunyai hak terhadap barangan yang dihadiahkan kepadanya.
"Namun percayalah, niat saya adalah untuk ubah loket sebesar ini menjadi barang kemas yang lebih kecil untuk dipakai seharian," katanya.
Barang kemas yang dimenangi Aishah
Aishah, 53, berkata demikian ketika menemani wartawan mStar Online menemui pakar gemologi daripada Global Gemelogical di Bangsar pada Isnin.
Tambah Aishah, dia pada mulanya sukar mempercayai apabila kali pertama dimaklumkan bahawa barang kemas yang dihadiahkan kepadanya itu adalah palsu.
Jelasnya, jawapan sama turut diterima selepas tiga kali melakukan pemeriksaan terhadap ketulenan loket pada berkenaan.
"Peniaga emas itu gelakkan saya kerana menang rantai palsu, dia tanya sama ada saya menang pertandingan karaoke," katannya.
Sementara itu wakil Global Gemelogical yang dikenali sebagai Kyrylo berkata, hasil ujian mendapati batu berwarna biru di tengah-tengah loket berkenaan adalah jenis sintetik atau bukan daripada sumber semulajadi.
Imej batu Swarovski Zirconia yang dibesarkan
Bagaimanapun menurut Kyrylo, sembilan batu kecil berwarna biru pada loket itu adalah jenis batu sapphire asli yang telah menjalani proses kimia bagi menyerlahkan lagi warnanya.
Manakala batu putih lutsinar yang menghiasi loket berkenaan dikenalpasti sebagai batu Swarovski Zirconia.
"Malang sekali kami tidak dapat menentukan nilai sesuatu permata yang dibawa untuk diuji. Tugas kami hanya menganalisa kandungan batu berkenaan," kata Kyrlo.
0 Comments