'Mangsa maut jambatan runtuh sempat selamatkan kucing'

'Mangsa maut jambatan runtuh sempat selamatkan kucing'

'Mangsa maut jambatan runtuh sempat selamatkan kucing'

Ibu salah seorang mangsa yang maut akibat jambatan runtuh di Taman Serdang di Bandar Baharu, Kedah malam tadi, memberitahu anaknya sempat membawa balik seekor kucing yang berada dalam keadaan 'nyawa-nyawa' ikan ke kedai keropok lekor mereka untuk dirawat.
Ketika ditemui di kediamannya di Kampung Leret A dekat sini, Zuhainun Salim, 54, berkata anaknya Mohamad Haziq Ishak, 17, menemui anak kucing yang dipercayai dilanggar itu di simpang empat dekat Pekan Serdang dan memberi haiwan itu makan dan minum.
Lebih menyayat hati apabila arwah yang sudah berhenti sekolah sejak tiga tahun lepas, memberitahu ibunya dia mahu menanam kucing itu sekiranya haiwan itu mati sebelum arwah keluar dari rumah bersama rakannya kira-kira 10 malam.
"Saya kemudian mendapat mesej daripada adik kepada kawan dia yang memaklumkan arwah tertimbus dalam runtuhan jambatan tersebut bersama rakannya dan saya terus bergegas ke lokasi kejadian.
“Sewaktu anggota penyelamat mengeluarkan mangsa, saya lihat arwah masih memakai topi keledar dan dalam hati saya berkata, saya perlu reda dengan ketentuan Allah SWT," katanya yang menyifatkan arwah seorang anak yang sangat prihatin, penyayang dan peramah.
Dalam kejadian 10.15 semalam, Mohamad Haziq bersama rakannya, Muhammad Haikal Hakimi Mohd Noor, 17, yang menaiki motosikal dari Pekan Serdang menuju ke Taman Serdang, maut akibat tertimbus di bawah runtuhan jambatan di kawasan itu sebelum mayat mereka ditemui, masing-masing pada 12.15 dan 12.30 tengah malam tadi.
Sementara itu, ibu kepada Muhammad Haikal, Norihan Che Doh, 40, berkata anaknya berkelakuan pelik semalam apabila tiba-tiba membasuh baju sekolah, periuk nasi serta pinggan mangkuk.
Malah beliau juga beberapa hari sebelum itu enggan menduduki peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan hanya menghantar adik sepupunya ke sekolah sebelum balik semula ke rumah.
"Dia sempat minta RM3 untuk ke pasar malam dan selepas Maghrib, saya suruh pergi mengaji al-Quran di rumah guru mengaji, namun dia pulang semula kerana memberitahu rumah guru terbabit tiada orang," katanya.
Menurutnya dia hanya mendapat tahu mengenai kejadian itu setelah diberitahu kakak iparnya yang memaklumkan bahawa motosikal milik arwah ditemui di kawasan runtuhan tersebut.
Terdahulu, Anggota Parlimen Kulim-Bandar Baharu Datuk Saifuddin Nasution Ismail meluangkan masa melawat lokasi kejadian sebelum menziarah kedua-dua keluarga mangsa di kediaman mereka dan menyampaikan bantuan kewangan.
- Bernama

Post a Comment

0 Comments