'Ada tanda-tanda nak mati tak saya?'

loading...
Loading...
'Ada tanda-tanda nak mati tak saya?'

KOTA TINGGI -  Begitulah antara perbualan terakhir Allahyarham Sariff Abdul Karim, 74 dengan isterinya Ruzila Md Sariff, 54 petang semalam.



Ibu kepada 12 orang anak itu bagaimanapun tidak menyangka kata-kata suaminya itu menjadi kenyataan apabila maut selepas Mercedes Benz dipandu terlibat kemalangan dengan motosikal Kawasaki, pagi tadi.

Ruzila berkata, setiap pagi suaminya merupakan Pengerusi Kopenda, akan pergi ke Petron Felda Pasak untuk menguruskan hal koperasi di situ.

Katanya, setiap hari dia akan menemani suaminya namun pagi tadi dia menolak kerana penat selain mahu menyiapkan masakan tengahari perut kambing permintaan suaminya.
"Saya dapat tahu kejadian kemalangan daripada jiran yang datang ke rumah. Selepas itu saya terus bergegas ke Hospital Kota Tinggi (HKT) kerana jenazahnya sudah dibawa ke hospital.

"Tiada apa-apa perubahan terhadap suami cuma petang semalam ketika kami berbual-buat dia cakap ada tanda nak mati tak pada dirinya. Masa tu saya anggap perbualan biasa sahaja sebab suami memang suka berborak dengan saya apabila waktu lapang.

"Bukan itu sahaja sebelum ini dia juga pernah berpesan kepada saya agar mandikan jenazahnya jika dia meninggal dunia,"katanya ketika ditemui Sinar Harian di Unit Forensik HKT, sebentar tadi.

Tambahnya, meskipun sedih dengan kejadian itu namun dia agak berlapang dada berikutan terdapat penduduk yang sempat menyaksikan suaminya mengucap dua kalimah syahadah sebelum menghembus nafas terakhir.

Katanya, suaminya juga pernah memberitahu sekiranya usianya tidak panjang dia reda kerana selama ini sudah buat terbaik untuk membantu masyarakat terutama dalam urusan Kopenda.
"Dalam minggu ini kami mendapat mimpi yang sama di mana kami didatangi ramai orang di rumah. Masa tu suami cakap siapalah yang akan pergi (meninggal) dahulu.

"Saya cakap saya nak mati bersama-sama, tapi katanya biarlah dia pergi dulu jika saya pergi sama siapa nak jenguk anak-anak,"katanya yang memaklumkan jenazah suaminya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Air Tawar 1.

Terdahulu, dalam kemalangan di KM65 jalan Felda Pasak jam 11 pagi tadi menyebabkan Shariff yang memandu kereta dan seorang penunggang motosikal Muhamad Farid Mat Sambilan, 32 maut di lokasi kejadian.

Post a Comment

0 Comments