IBU bapa kepada seorang lelaki sanggup terbang dari India ke Florida semata-mata mahu membantu anak lelaki mereka memukul isterinya yang curang, menurut polis.
Devbir Kalsi, 33, dan ibu bapanya, Jasbir, 67, dan Bhupinder Kalsi, 61, ditangkap selepas isterinya, Silky Gaind, 33, ditemui cedera teruk dan dikurung di rumah mereka di Riverview mereka.
Polis dihubungi selepas Gaind menelefon ibu bapanya di India, untuk mengadu dirinya telah dipukul oleh suami dan mertuanya.
Ketika polis tiba, mereka mendapati pintu rumah telah dikunci oleh Devbir, sambil kedengaran mangsa menjerit dari bahagian dalam meminta anggota polis menyelamatkan dirinya.
Polis menyerbu dan menahan Devbir sebelum menangkap kedua-dua orang tuanya.
Laporan polis menyatakan bahawa Kalsi sering memukul isterinya dan telah menghubungi Jasbir dan Bhupinder, meminta mereka terbang untuk membantu 'mengajar' dan mendisiplinkan Gaind kerana tidak taat.
Mereka berterusan memukulnya dan Gaind dikurung dalam bilik dengan telefon bimbitnya diambil.
Situasi memuncak pada Jumaat apabila Devbir dan isterinya bertengkar.
Laporan penangkapan menyatakan bahawa Devbir memukulnya dengan kuat dan berkali-kali dan ketika Gaind cuba mempertahankan dirinya, orang tuanya mula memukulnya, meninggalkan kesan lebam di bahagian muka, leher dan badannya.
Anak perempuan Gaind, yang berada dalam dakapannya semasa serangan itu, juga cedera di muka.
Devbir kemudiannya didakwa meletakkan pisau di leher isterinya dan mengancam untuk membunuhnya.
"Ia benar-benar menyayat hati. Bayi itu baru lahir. Tergamak suaminya memukul isteri dan meminta bantuan ibu bapanya?," kata seorang jiran kepada Fox 13. -dailymailUK
0 Comments