Noorkumalasari Terguris Dengan Anita Sarawak

Noorkumalasari Terguris Dengan Anita Sarawak

Aidiladha


Diminta mengulas tentang sambutan Hari Raya Aidiladha tahun ini, beliau berkata, ia berjalan seperti biasa bersama keluarga.
“Berbeza waktu arwah ibu (Umi Kalthum) masih ada dahulu, kalau datangnya hari raya haji, dia akan menyediakan laksa ikan. Oleh kerana saya tidak makan laksa ikan, jadi dia akan sediakan laksa udang untuk saya.
“Sekarang kita sambut dengan keluarga yang masih ada. Raya haji tahun ini, kakak sulung, Noraini Jaafar, 67, dan adik paling muda, Norjumaatun Mohd. Taib, 56, berangkat ke tanah suci Mekah untuk menunaikan ibadah haji,” ujarnya.
Selepas pemergian ibunda tercinta, Allahyarham Datin Umi Kalthum pada 24 Julai 2013, Noor sangat merindukan ibunya dan menyesal kerana pada hayatnya, banyak masa terbuang begitu sahaja.
“Sekarang saya betul-betul merindui arwah. Nasihat saya, selagi ada ibu, kasihi dan hargai mereka sementara mereka masih lagi bernafas.
“Kalau sudah tiada nanti, kita sendiri akan menyesal tidak sudah menyedari banyak perkara yang sepatutnya dilakukan semasa mereka masih ada tidak dapat dilakukan. Hanya doa dan ingatan yang mampu saya berikan kepadanya. Insya-Allah,” kata Noor menggulung perbualan.

Dengan hanya secalit solekan tipis dan penampilan berjubah rona gelap yang sering membalut dirinya sejak meninggalkan pentas seni, aura seorang wanita bernama Noor Kumalasari Mohamed Taib masih boleh dirasai dengan kuat. Ironi, wanita yang kini berusia 61 tahun itu masih cantik. Merupakan bintang filem dan penyanyi popular tahun 80-an itu telah lama mendiamkan diri, malah kerap menolak pelawaan untuk muncul dalam media massa jika tidak punya sesuatu yang bermanfaat untuk dikongsikan, Noor tetap menjadi sasaran media.
Itu hakikat yang tidak boleh ditolak Noorkumalasari atau mesra disapa Noor adalah beliau tetap ‘memancing’ perhatian media setiap kali muncul dalam acara hiburan. Justeru, sewaktu beliau hadir pada majlis ulang tahun majalah Wanita yang ke-48 baru-baru ini, Noor didekati. Topik utama yang ditanya adalah tentang kehilangan kakaknya, yang juga diva tersohor negara, Anita Sarawak. Akui Noor, tempoh lima tahun menanggung rindu terhadap Anita yang membawa diri ke Amerika Syarikat (AS), cukup mengubat lukanya apabila mendapat berita bahawa Anita kini berada dalam keadaan yang baik. Khabar gembira itu diperoleh pada Aidilfitri lalu.
Dedah pelantun lagu Mata itu kepada Kosmo!, beliau mendapat panggilan telefon dengan kod AS yang diyakini daripada kakak kesayangannya itu, namun tidak sempat untuk mengangkatnya. Pun begitu, Anita sempat berhubung dengan adik-beradik yang lain dan itu cukup memberikan kelegaan dalam benak hatinya.
“Sudah lima tahun dia membawa diri. Memang saya rindu sangat terhadapnya. Beliau bukan sahaja kakak, malah seorang sahabat dalam industri. Apa yang boleh saya kongsikan, beliau berada dalam keadaan yang baik dan tidak lagi menyanyi.
“Itu yang adik-beradik lain beritahu kepada saya. Kalau saya yang angkat panggilan telefon, memang banyak soalan yang akan ditujukan kepadanya, lantas membuatkan beliau terus lari daripada kami,” ujar Noor membuka bicara.

TERPISAH. Noorkumalasari dan adik-beradiknya yang lain telah terpisah dengan Anita Sarawak sejak penghibur itu menghilangkan diri lima tahun lalu.


Profesional
Melanjutkan bicara tentang diva kesayangan ramai itu, kata Noor, Anita kerap berpindah-randah disebabkan urusan perniagaan hartanah dengan suaminya, Mohammad Mahathir Abdullah.
“Adik saya yang menetap di AS pun sudah banyak kali cuba untuk menjejakinya namun tidak berjaya,” luahnya lagi yang mengaku cuba menghubungi semula talian AS yang menelefonnya namun gagal.
Noor bagaimanapun memberitahu beliau menghormati keputusan pelantun lagu Akhirnya Kini Pasti itu namun baginya, sudah sampai waktunya Anita bersikap profesional dan berhenti menghukum dirinya serta jutaan peminatnya di sini.
“Saya memang tidak bersetuju dengan keputusannya terus menghilang begitu sahaja. Beliau perlu sedar bahawa banyak peminatnya di sini menantikannya. Namanya tinggi dijulang disebabkan peminat dan beliau bikin berjuta-juta duit pun disebabkan peminat.
“Beliau tahu saya banyak berhubung dengan wartawan dan mungkin disebabkan hal itu, beliau tidak mahu bercakap dengan saya. Beliau perlu tahu, ramai orang prihatin dan sayangkan dirinya. Menghilang begitu sahaja membuatkan orang tergantung bagi saya sangat tidak profesional,” getus Noor.
Ditebak persoalan mengatakan Anita kini sudah bertudung dan tidak lagi hidup bersama sebagai suami isteri dengan Mahathir, Noor pantas menafikan hal tersebut.
“Adik-beradik saya yang lain memberitahu mereka masih lagi bersama dan sibuk membangunkan perniagaan di AS. Biarlah apa orang ingin kata kerana yang penting, beliau bahagia dengan pilihan hidupnya sendiri,” kata Noor yang mengakui terluka dengan tindakan Anita yang menghilangkan diri sejak tahun 2014.

Keluarga
Perbualan terhenti sejenak dan perihal peribadi dirinya mula dirungkai. Tentulah soalan yang paling popular buat bekas aktres itu adalah mengenai tindakannya meninggalkan lapangan hiburan. Adakah tidak terdetik sekelumit rindu dalam hatinya untuk kembali sebagai pelaku seni.
Tanpa berselindung, akui Noor tiada lagi kerinduan untuk melibatkan diri dalam bidang lakonan, sementelah kehidupannya sekarang lebih tertumpu kepada urusan ukhrawi, keluarga dan tujuh ekor kucing.
“Pada usia sekarang, banyak urusan saya dihabiskan di rumah dan di masjid. Saya tidak rindu berlakon, menyanyi mahupun memperagakan busana kerana sudah cukup puas ketika aktif melakukan perkara tersebut ketika muda.
“Anak-anak saya semua sudah besar. Paling muda pun sudah tamat belajar di kolej. Banyak masa terluang saya habiskan bersama enam orang cucu serta tujuh ekor kucing di rumah,” terangnya yang kali terakhir terlibat dalam bidang lakonan menerusi telefilem berjudul Pintu No. 9 terbitan Astro.
Sengaja diusik tentang selera fesyennya, Noor yang pernah digelar sebagai ikon fesyen suatu ketika dahulu, mempunyai alasan tersendiri mengapa beliau kini dilihat selesa dan sering tampil mengenakan pakaian berona gelap atau hitam.
“Saya bukan berfesyen ingin meniru gaya pakaian orang Arab. Saya selesa dengan warna hitam dan pada usia sekarang, saya tidak selesa mengenakan busana berona warna-warni. Bagi saya, hitam atau gelap itu klasik.
“Selain itu, saya lebih gemar menggayakan jubah kerana mudah untuk mengambil wuduk.
“Tidak manis kalau usia saya sekarang yang sudah menjangkau 61 tahun, saya masih lagi ingin memakai pakaian ketat-ketat atau menampakkan tubuh badan,” jelas Noor yang popular menerusi filem Adik Manja, Menanti Hari Esok dan Esok Untuk Siapa.

Post a Comment

0 Comments