APABILA sebut nama Gunung Ledang, macam-macam kisah misteri sering dikaitkan dengan tahah tinggi itu yang terletak dalam daerah Tangkak di Johor.
Setiap kali terbaca kisah tentang gunung yang sinonim dengan Puteri Gunung Ledang itu, ia akan mengimbas kenangan saya sewaktu bertugas sebagai seorang guru pada pertengahan tahun 1990-an dulu di sebuah sekolah menengah di Kuala Lumpur.
Masih saya ingat, pada tahun 1995, sekolah tempat saya mengajar menganjurkan aktiviti kelab dengan membawa pelajar tingkatan empat dan lima mendaki gunung. Destinasi yang kami pilih, Gunung Ledang.
Selepas lebih tiga jam merentas lebuh raya, kami tiba di kaki gunung popular itu. Rombongan terdiri daripada enam orang guru termasuk saya bersama 30 orang pelajar.
Kami mulakan pendakian ke perhentian pertama yang mengambil masa lebih kurang empat jam perjalanan. Itu adalah kali pertama saya menjejakkan kaki ke gunung tersebut.
Hampir pukul 4 petang, kami tiba di pertengahan gunung. Lalu kami dirikan khemah dan memasak untuk bermalam di situ. Kawasan tempat kami bermalam itu tidak jauh dari sebatang sungai.
Air terjun di Gunung Ledang menjadi lakosi bermandi manda pengunjung.
Lebih kurang pukul 5.30 petang setelah makan, kami mandi sungai. Kawasan pelajar perempuan mandi di bahagian hulu manakala pelajar lelaki di bahagian hilir sungai. Saya turut sama mandi dengan pelajar perempuan.
“Cikgu… cikgu… tengok tu!” tiba-tiba seorang pelajar perempuan menjerit memanggil saya sambil tangannya menunjuk ke satu arah.
Entah dari mana datangnya, tiba-tiba mengalir begitu banyak kuntuman bunga beraneka warna hanyut mengikut arus sungai. Bukan hanya bunga, saya perasan turut ada cebisan limau purut.
Siapa pula yang mandi bunga di waktu begitu? Saya pelik. Hati saya mula berasa tidak enak. Cepat-cepat saya arahkan pelajar berhenti mandi dan naik semula ke darat.
Malamnya, kami buat unggun api di tengah kawasan khemah. Pelajar dibahagikan kepada beberapa kumpulan untuk berkawal mengikut giliran.
Menurut pelajar lelaki yang menyuluh ke arah pokok malam itu, mereka nampak ada kepala tanpa badan dengan rambut menggerbang terjuntai dari pokok yang mereka suluh itu.
JAMILAH BUJANG
Sebelum masuk khemah untuk tidur, saya pesan pada kumpulan pelajar yang bertugas, jangan menyuluh lampu picit mereka ke bahagian atas pokok.
Saya turut menetapkan kod rahsia untuk mengenal pasti ahli kumpulan kami. Kod yang saya berikan ialah ‘burung emas’. Bermakna jika kami berjumpa di kalangan sesama kami, tanyakan apa kod rahsia tersebut.
Kerana keletihan, saya terus tidur sebaik masuk ke dalam khemah. Dan saya masih ingat jelas, ketika tidur itu saya mengalami mimpi aneh.
Dalam mimpi itu, saya lihat seorang wanita cantik yang berkebaya keemasan dan bertudung seperti gaya wanita tahun 60-an dulu. Wanita itu berdiri berdekatan sebuah kawasan air terjun.
Wanita itu tersenyum memandang saya dan kemudian berkata; “Hamba kenalkan, inilah Pak Kiai Tuah,” katanya sambil menunjuk ke arah seorang lelaki yang berdiri tidak jauh darinya.
Gambar kenangan Jamilah Bujang (dalam bulatan) bergambar kenangan bersama pelajarnya ketika berkhemah di Gunung Ledang.
Lelaki itu berjubah putih dan memakai dastar di kepalanya. Wajahnya kurang jelas namun lelaki itu memegang sebatang tongkat.
Saya ingin bertanya, namun belum sempat saya bersuara, saya terasa badan saya bergoncang.
Sekelip mata mimpi itu lenyap. Saja terjaga. Rupa-rupanya seorang pelajar perempuan menggoncangkan badan saya untuk mengejutkan saya.
“Cikgu tadi ada pergi tepi sungai ke?” soal pelajar itu dengan riak wajah ketakutan.
Saya hairan dengan pertanyaannya itu. “Kan cikgu tengah tidur ni. Mana ada cikgu pergi sungai,” jawab saya.
Bertambah ketakutan pelajar itu mendengar jawapan saya. Lalu dia menceritakan apa yang berlaku.
Tadi semasa gilirannya berjaga malam, dia pergi ke pinggir sungai. Di situ, dia melihat seorang wanita menyerupai saya sedang membasuh muka.
Pada awalnya, pelajar itu tidak fikir apa-apa. Tapi kemudian baru dia teringat saya sedang tidur dalam khemah.
Untuk kepastian, pelajar itu beranikan diri menegur wanita yang menyerupai saya itu dengan bertanyakan kod rahsia.
“Tuan puteri!” jawab wanita itu dengan suara agak garau.
Antara laluan yang dibina di Gunung Ledang.
Dengar saja jawapan itu, pelajar tersebut terus lari masuk ke khemah saya. Dia tahu jawapan kod itu salah dan dia tahu wanita yang dilihatnya itu bukan saya.
Ketika dikejutkan pelajar itu, jam menunjukkan pukul 2.00 pagi. Apabila sudah terjaga, saya sukar melelapkan mata. Lalu saya keluar dari khemah dan membancuh kopi.
Sewaktu duduk minum, dua pelajar lelaki yang sedang berjaga mula memainkan lampu suluh mereka. Belum sempat saya hendak tegur, mereka sudah menyuluh ke atas pokok berdekatan.
Ketika itu wajah kedua-dua pelajar lelaki itu berubah. Dari bergurau, mulut mereka terpaku diam.
“Nampak apa tu?” sengaja saya soal begitu. Mereka berdua tidak menjawab, sebaliknya tunduk ke bawah.
Terus saya panggil mereka datang duduk dekat dengan saya. Saya beri mereka air. Sambil itu saya bacakan ayat-ayat suci al-Quran dan hembuskan pada wajah mereka.
Apa yang saya buat hanya mengikut naluri hati. Saya tahu mereka ada nampak sesuatu ketika menyuluh itu. Saya lebih risau kalau ada perkara tak diingini berlaku. Sebab itu saya cepat-cepat bacakan ayat suci. Nasib baik tiada apa yang berlaku.
Keesokan pagi, kami teruskan perjalanan menuju ke puncak gunung. Pukul 2 petang, kami turun semula dan bermalam sekali lagi di tempat yang sama.
Tetapi petang itu, berlaku peristiwa yang tidak dijangka. Tiga orang pelajar perempuan kena histeria. Mereka meracau-racau sambil berkata; “Kenapa kacau tempat aku!”
Nasib baik salah seorang guru pengiring lelaki yang juga seorang ustaz mampu memulihkan semula pelajar-pelajar itu.
Esoknya, kami pulang semula ke Kuala Lumpur. Setelah itu, baharulah satu persatu kisah pengalaman semasa di gunung itu terbongkar.
Gambar kenangan ketika di Gunung Ledang yang dirakamkan pada 1995.
Menurut pelajar lelaki yang menyuluh ke arah pokok malam itu, mereka nampak ada kepala tanpa badan dengan rambut menggerbang terjuntai dari pokok yang mereka suluh itu.
Mata makhluk itu merah dan menyeramkan. Sebab itu mereka tak berani bercerita semasa saya tanya.
Pelajar perempuan yang histeria itu pula, baru saya tahu kenapa mereka diganggu. Pelajar perempuan itu datang haid.
Selepas mandi di sungai, mereka meninggalkan pad (tuala wanita) mereka yang berdarah di tepi sungai begitu saja.
Sedangkan sebelum itu saya sudah berpesan kepada pelajar perempuan agar menanam pad mereka di dalam tanah dan jangan biarkan bersepah merata tempat. Patutlah ‘penghuni’ di situ marah.
Pun begitu, pengalaman mendaki Gunung Ledang lebih 20 tahun dulu tetap tercatat sebagai kenangan manis dalam hidup saya.
Cuma kadangkala, saya tertanya-tanya juga siapa wanita yang menyerupai saya itu? Dan siapa pula wanita dan lelaki yang muncul dalam mimpi saya?
Apakah lelaki berjubah dan berdastar yang diperkenalkannya itu Hang Tuah? Saya tidak tahu. Mungkin ia hanya sekadar mainan lena semata-mata.
0 Comments