Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Zaharudin Rasip mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kehilangan bayi berusia 17 bulan dari kediamannya awal pagi tadi.
Lapor Harian Metro, beberapa anggota polis juga telah datang melakukan siasatan di kediaman keluarga itu, malah turut menggunakan unit anjing pengesan K-9 bagi mengesan Nur Aisyah Hasmizan yang dilaporkan hilang kira-kira jam 4 pagi tadi.
Berkata kepada media berkenaan, Siti Noorfadilah Yusofe, 30, menceritakan, sebelum kejadian itu berlaku, dia bersama dengan anaknya itu berada di dalam bilik menonton televisyen sebelum masuk tidur.
"Sebelum kejadian, saya ada bersama dengan Nur Aisyah di dalam bilik kerana menonton televisyen dan apa yang saya ingat, saya menutup televisyen kira-kira jam 3 pagi sebelum saya tidur bersama Nur Aisyah. Ketika itu, tiga lagi anak, suami dan ibu saya juga sudah tidur.
"Kemudian, kira-kira jam 5 pagi, ibu saya bangun bersahur dan menyedari pintu bahagian belakang terbuka tetapi tidak mengesyaki apa-apa. Ketika itu, saya belum menyedari Nur Aisyah tiada di tempat tidurnya kerana menyiapkan makanan untuk anak sulung bersahur.
"Hanya ketika masuk semula ke dalam bilik, baru saya sedar Nur Aisyah tiada di tempatnya. Kami cuba mencarinya di sekitar rumah kerana dia sudah boleh berjalan tetapi gagal menemuinya.
"Tolonglah pulangkan anak saya, saya sayang anak saya. Saya tak tahu ada orang berdendam kepada saya. Nur Aisyah anak yang baik, saya risau anak saya sudah makan atau tidak," katanya.
0 Comments