gambar hiasan
SESUNGGUHNYA hidayah bertandang dalam pelbagai cara. Ada melalui dugaan, ada yang bagaikan 'rasa' ia datang dengan tiba-tiba, malahan sesetengah insan itu ditakdirkan berhadapan suatu peristiwa yang memberi kesan pada diri individu itu.
Bagi Jasnita Jerome, dia sememangnya berminat mendalami Islam sejak kecil, tetapi niat untuk menjadi seorang muslimah kira-kira tujuh tahun lalu terpaksa ditangguhkan sehingga hasratnya tercapai apabila melafaz kalimah syahadah pada 21 November lalu.
"Minat terhadap Islam tu sejak dari kecil lagi. Susah saya nak jelaskan tetapi keinginan untuk mendalami agama ini amat kuat.
"Sejak tujuh tahun lalu saya asyik tanya pada diri ini bila nak masuk Islam. Alhamdulillah niat saya dipermudahkan Allah.
"Saya mengucap dua kalimah syahadah di Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Klang dengan ditemani rakan sekerja dan suaminya,” katanya.
Gadis kelahiran Sabah ini mendedahkan niat untuk berhijrah itu sedikit sebanyak didorong sebuah mimpi yang dianggap sebagai hidayah buat dirinya untuk mendalami Islam.
"Saya bermimpi ada seorang wanita bertelekung duduk atas sejadah dan di depannya ada al-Quran. Dalam masjid tu dia seorang saja yang paling bersinar.
“Dalam masa sama, dia panggil saya untuk duduk bersamanya. Sedar tak sedar, saya pun dah pakai telekung masa tu.
“Tapi saya tak nampak muka wanita itu kerana wajahnya amat bersinar. Dalam masjid tu cuma kami berdua sahaja. Sebaik dah duduk bersamanya saya terus terjaga dan terdengar laungan azan Subuh,” katanya yang bermimpi mengenai perkara itu sekitar Mac atau April lalu.
Merasakan ada sesuatu di sebalik mimpi itu, Jasnita atau nama Islamnya, Nur Afina Jasnita memberitahu rakan rapatnya mengenai perihal mimpi tersebut.
“Saya ceritakan mimpi itu pada kawan dan mereka pun terkejut. Saya hanya ingin tahu kenapa saya dapat mimpi itu.
“Sehinggalah saya mengucap dua kalimah syahadah tempoh hari, saya turut bercerita mengenai mimpi itu kepada ustaz. Ustaz pun meremang dengar cerita mimpi itu,” katanya.
Menceritakan saat dia mengucap dua kalimah syahadah, Jasnita berkata jiwanya semakin tenang.
“Awal-awal tu gemuruh sedikit. Lepas syahadah saya tiba-tiba jadi sebak dan menangis. Saya rasa lebih tenang.
“Rasa seperti bebas daripada kekosongan. Pada masa sama saya gembira kerana niat selama ini sudah tercapai,” katanya.
Jasnita yang berasal dari etnik Kadazan berkata dia bertuah kerana keluarganya tidak pernah menghalang hasratnya untuk memeluk Islam.
“Saya pernah luahkan hasrat ini semasa di Tingkatan 1 tetapi keluarga kata saya masih muda lagi.
“Dan sekarang saya dah berusia 20 tahun dan boleh buat keputusan sendiri, jadi keluarga saya pun okay.
“Mereka menyokong apa jua pilihan saya. Terima kasih kepada mereka kerana menerima saya seadanya,” kata Jasnita yang mendoakan agar keluarganya menerima Islam suatu hari nanti.
“Kalau boleh memang nak ajak satu keluarga sekali. Siapa yang tak nak kan. Saya sentiasa mendoakan agar keluarga saya turut diberi hidayah,” katanya.
Jasnita berkongsi kisah penhjirahannya menerusi satu posting di Twitternya dan diulang kicau lebih 7,000 kali serta mendapat lebih 12,000 tanda suka.
Kisah Jasnita ternyata memberi insipirasi kepada orang lain bahawa masih belum terlambat untuk berhijrah dan berubah ke arah kebaikan.
Rata-rata netizen menyifatkan Jasnita sebagai insan terpilih dan mendoakan agar dia menjadi seorang muslimah yang istiqamah.
0 Comments