Tentu ramai masih ingat tragedi sedih melibatkan enam wira negara dari Jabatan Bomba & Penyelamat Malaysia dari Unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) yang terkorban semasa menyertai operasi menyelamatkan seorang remaja lemas Muhammad Ilham Fahmy bin Mohd Azzam, 17 tahun di sebuah lombong di Taman Putra Perdana, Puchong tahun lalu.
Hari ini, tepat 3 Oktober, kenangan mengenai enam anggota bomba ini kembali melintas di ingatan. Sudah setahun kejadian ini berlalu namun lukanya begitu mendalam untuk diingati. Ini kerana dalam sejarah pasukan bomba, belum pernah terjadi sebegitu ramai anggota penyelamat meninggal serentak dalam satu operasi dan kejadian ini pastinya terpahat kukuh di ingatan rakyat Malaysia yang menzahirkan simpati atas kejadian yang berlaku.
Al-Fatihah (dengan bacaan) buat kesemua anggota bomba terlibat iaitu allahyarham Mohd Fatah Hashim, 34; Izatul Akma Wan Ibrahim, 32; Mazlan Omar baki, 25; Yahya Ali, 24; Adnan Othman, 33, dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25 yang mana hasil siasatan mendapati punca kematian terjadi disebabkan tali terbelit.
Dalam pada itu, majalah REMAJA sempat menelefon ibu kepada Muhammad Ilham Fahmy mengenang setahun kejadian tragis ini terjadi.
Tatkala nama Ilham Fahmy disebut, kedengaran esak tangisnya.
Mengakui hatinya sudah sebak sejak awal pagi lagi (sebelum REMAJA menelefonnya lagi pada sebelah petang) Rosmilawati Saidin, 46 atau mesra disapa Watie berkata, sekali pun sudah setahun kejadian menimpa anaknya namun kenangan itu tidak pernah padam walau sehari.
“Seminggu dua atau tiga kali saya dan suami akan ke kubur anak. Bacakan Yassin dan “berbual” dengannya. Walau arwah tak pernah mendengar lagi tapi ia satu cara saya untuk menghilangkan rindu terhadapnya,”katanya mengakui tidak pernah terlepas nama anaknya dalam solat dan doanya setiap hari.
“Betul-betul rindu tapi Allah lebih sayangkannya,” katanya memaklumkan dia kini bekerja secara sambilan menolong kawan berniaga di restoran (kawan ini merupakan antara individu yang turut menyelam mencari arwah ketika kejadian) demi mengisi masa lapangnya sejak kejadian.
Di sebalik rasa rindu yang masih menebal terhadap arwah anak, tentu ramai masih ingat tentang berita yang pernah REMAJA siarkan mengenai gangguan hantu lombong yang dihadapi Watie sekeluarga. Malah semasa liputan meluas itu juga, ada sebuah laman web turut memaklumkan di lombong berkenaan adalah tempat tinggal 14 juta jin yang sudah berkurun mendiami lombong berkenaan. Malah REMAJA juga pernah melaporkan secara eksklusif gangguan dihadapi Watie dan suaminya, Mohd Azzam dengan pergi ke kediaman mereka selepas kejadian ini menimpa.
Percaya atau tidak, gambaran rambut mengerbang yang pernah dirakam melalui lensa kamera ketika Watie pengsan selepas meratap saat mayat anaknya dibawa naik ke darat (Ilham Fahmy dijumpai sehari selepas kejadian – 4 Oktober 2018), wanita yang diuji dengan kehilangan anak ini mengakui masih lagi diganggu oleh hantu lombong berkenaan.
“Sudah banyak tempat saya pergi berubat dan semua ustaz memaklumkan hal yang sama. Saya sendiri takut untuk tinggal di rumah ketika malam. Lampu sentiasa dipasang sama seperti tahun lalu. Kalau duduk dalam gelap, bulu roma meremang.
“Malah hantu ini pernah muncul dalam mimpi dan menunjukkan wajahnya. Ada dua ekor, satu sama seperti rambut mengerbang dan satu lagi dengan muka rompong sebelah,” katanya memaklumkan, bunyi orang melompat di dalam rumah dan bunyi sudu dilaga-lagakan ke cawan antara gangguan biasa dihadapinya.
“Ada macam-macam lagi termasuk dialihkan kerusi, ada bunyi-bunyi menyeramkan dan paling takut, seperti ada mata melihat,” katanya yang senang membuka lampu sehingga pagi bagi mengatasi ketakutannya.
“Paling takut bila hantu itu muncul dalam mimpi, berkali-kali seolah-olah ingin memberi tanda dia ada di sekeliling kami. Kami sudah puas berubat tetapi masalah ini tetap sama dihadapi,”katanya yang akhirnya enggan lagi bertemu pengamal perubatan sebaliknya hanya berserah pada Allah taala.
0 Comments