Banduan melarikan diri dan perbuatan mencuri di pasar raya adalah antara krisis kemanusiaan yang sedang berlaku di Sulawesi Tengah selepas pasca gempa 7.4 Skala Richter pada Jumaat lepas.
Penduduk, yang kini menghadapi masalah bekalan air bersih, makanan, ubat-ubatan dan keperluan asas harian, terpaksa mencuri barangan keperluan di pasar raya dan kedai menjual barangan untuk kelangsungan hidup.
Malah tersebar video dalam media sosial, penduduk mengejar kenderaan yang membawa makanan dan mencurinya di jalanan tanpa segan silu.
Presiden Indonesia Joko Widodo yang turut mengulas perkara itu berharap semua pihak tidak membesar-besarkan kejadian itu kerana kawasan berkenaan sedang menghadapi situasi darurat.
"Dalam keadaan darurat seperti ini, jangan mempermasalahkan hal-hal kecil yang sebetulnya tidak menjadi masalah utama di situ.
"Kalau pun ada masyarakat korban gempa bumi yang mengambil bahan makanan di toko atau mini market, aksi itu bukanlah penjarahan (pencurian), melainkan bentuk kebaikan hati pemilik toko untuk membantu sesamanya yang sedang kesusahan," katanya dipetik dari laporan media Indonesia yang turut menimbulkan pelbagai polemik.
Mengenai laporan seramai 1,425 banduan di penjara Palu dan Donggala yang melarikan diri selepas tembok dan bangunan penjara runtuh ketika gempa itu berlaku, pihak berkuasa Indonesia memberikan tempoh seminggu untuk mereka kembali ke penjara.
Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla berkata pihak berkuasa akan memburu semua banduan terbabit sekiranya tidak kembali melaporkan diri secara sukarela.
Menurut kenyataan Kementerian Hukum dan Hak Asasi Manusia, sebanyak 1,425 daripada 3,220 banduan di Sulawesi Tengah dilaporkan melarikan diri selepas kejadian bencana itu.
Memetik laporan media tempatan, pihak berkuasa penjara tidak mampu menghalang kejadian itu kerana semua petugas penjara juga terkesan teruk akibat gempa.
"Semua orang "melarikan diri" .. berlari menyelamatkan diri, berlari mencari keluarga, sanak saudara, " kata seorang pegawai penjara yang tidak dinamakan.
Presiden Jokowi dipetik laporan Kompas.com ketika meninjau Sulawesi Tengah berkata pemerintah Indonesia akan segera menghantar bantuan barang keperluan dan ubat-ubatan ke kawasan bencana serta menangani segera apa jua krisis kemanusiaan yang sedang berlaku itu.
Setakat semalam, berdasarkan data Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia, jumlah mangsa yang disahkan terkorban ialah 844 orang.
Korban gempa bumi dan tsunami di Sulawesi Tengah dikhuatiri mencecah ribuan mangsa selepas pasukan penyelamat kini mula memasuki ke kawasan yang teruk musnah akibat bencana itu.
Lebih 30,000 penduduk terkesan teruk akibat gempa dan tsunami Jumaat lepas dan dilaporkan bermalam di jalanan serta berterusan trauma berikutan lebih 250 gempa susulan masih berlaku di Sulawesi Tengah.
0 Comments