SEORANG bidan berusia 31 tahun dari Sigi, yang terletak di Palu, selatan ibu kota Sulawesi Tengah, selamat melahirkan bayi kembar tiga (seorang lelaki, dua perempuan) di Makassar, Sulawesi Selatan sekitar pukul 7 malam Isnin ketika kampung halamannya masih dikejutkan dengan tsunami.
Tetapi perjalanannya ke Makassar tidak mudah.
Menurut suaminya, Zaenal, 37, isterinya, Atina, 31 dijangka bersalin pada Ahad, tetapi tempatnya dilanda tsunami dan gempa bumi berukuran 7.5 magnitud pada Jumaat.
Sejurus selepas bencana itu, dia cuba mencari hospital untuk isterinya bersalin tetapi gagal apabila empat hospital yang dikunjunginya di Sigi tidak mahu menerima Atina.
Ketika kejadian Atina terpelanting sebanyak dua kali apabila ketika berpaut di tiang sebuah rumah.
Atina tercampak sejauh 2 meter dan sempat dipegang oleh sepupunya, Khaeruddin.
Selepas percubaan suaminya mencari hospital gagal, Zaenal kemudian dimaklumkan bahawa pasukan tentera akan mengangkut orang awam yang memerlukan perhatian perubatan ke Makassar dengan pesawat Hercules.
Dia terus menghantar dua anaknya yang berumur empat dan tujuh tahun ke rumah seorang saudara dan menuju ke Lapangan Terbang Mutiara SIS Al-Jufrie di Palu.
"Empat kali jugalah berulang-alik dari ruang menunggu ke pesawat Hercules. Kali keempat barulah dapat tempat di pesawat untuk dibawa ke Kota Makassar.
"Kami tiba pada Isnin sekitar pukul 2.30 petang. Setibanya di lapangan terbang Makassar, kami terus dibawa menggunakan ambulans ke RSUD Daya untuk proses kelahiran. Alhamdulillah, tiga bayi kembar saya lahir sekitar pukul 7.13 malam," jelasnya memetik Kompas.
Timbalan Pengarah Hospital Daya Juliani Jafar berkata disebabkan oleh komplikasi kecil, Atina terpaksa dibedah untuk melahirkan bayi kembar tiganya.
"Ibu dan kembarnya berada dalam keadaan baik. Tiga bayi itu kini berada dalam inkubator sementara ibu mereka sedang menjalani proses pemulihan selepas bersalin," katanya.
Juliani menambah dua ibu yang dipindahkan dari Sulawesi Tengah selamat melahirkan bayi mereka di hospital itu pada hujung minggu, semuanya juga dalam keadaan baik.
Palu dan Donggala di Sulawesi Tengah, serta kawasan sekitarnya musnah akibat gempa bumi kuat berukuran 7.5 magnitud dan tsunami setinggi 3 meter pada Jumaat.
Jumlah kematian rasmi terbaru adalah 925 tetapi angka itu dijangka meningkat.
0 Comments