Mistik sungai mendidih yang membunuh apa saja yang jatuh ke dalamnya!

Mistik sungai mendidih yang membunuh apa saja yang jatuh ke dalamnya!

Mistik sungai mendidih yang membunuh apa saja yang jatuh ke dalamnya!

'Sungai mendidih' di hutan Amazon ini menyimpan pelbagai kisah mistik, tradisi dan budaya bagi masyarakat tempatan. - www.boilingriver.com

SEBUT saja hutan hujan Amazon, pasti ramai yang aklan membayangkan sebuah belantara tua yang dipenuhi pelbagai spesies tumbuhan dan haiwan, selain dianggap kawasan yang paling banyak menyimpan misteri kepelbagaian biologi.

Kisah penemuan binatang buas paling besar, ular yang menelan manusia, kolam air beracun, serangga kecil yang mampu membunuh, mistik dari roh-roh keturunan manusia terawal dunia, hinggalah cerita ia hanya selamat dihuni oleh komuniti pribumi yang tidak terdedah kepada kemodenan asas – semua itu antara yang terlintas dalam fikiran.

Di dalam hamparan rimba berusia puluhan juta tahun itu yang merentangi sempadan banyak negara Amerika Latin antaranya seperti Brazil, Peru, Colombia dan Venezuela, sebenarnya ada satu lagi fenomena alam yang luar biasa.

Ia dinamakan ‘Sungai Mendidih’!

Sungai ini dianggap tempat suci bagi penduduk pribumi hutan Amazon. - www.boilingriver.com
Sungai ini dianggap tempat suci bagi penduduk pribumi hutan Amazon. - www.boilingriver.com


Pada awalnya, kewujudan sungai itu dikatakan sebagai mitos tempatan. Kononnya ada sebuah sungai yang airnya panas, diselaputi wap hangat sepanjang waktu hinggakan dari jauh kelihatan seperti belantara itu sedang diselubungi kabus tebal.

Ada juga di tempat tertentu sungai itu, seseorang dapat melihat kepulan-kepulan buih yang naik dari dasar sungai ke permukaan air.

Ia juga dijaga oleh pawang tempatan, yang menganggap sungai itu adalah anugerah Tuhan kepada mereka dan harus dipelihara daripada dicerobohi.

Ada juga cerita yang mengatakan barangsiapa, baik manusia atau haiwan, jika terjatuh ke dalam sungai itu, akan menggelupur kepanasan dan mati. Kalaupun yang jatuh itu manusia yang paling gagah, dia pasti keluar ke tebing dengan mengalami kesan lecuran peringkat dua atau tiga.

Sebenarnya, semua yang dikatakan itu bukan suatu dongeng atau pembohongan!

Hari ini, sebahagian kawasan sungai ini diancam pembangunan kerana terletak di luar zon hutan hujan yang dipelihara dan dilindungi. - www.boilingriver.com
Hari ini, sebahagian kawasan sungai ini diancam pembangunan kerana terletak di luar zon hutan hujan yang dipelihara dan dilindungi. - www.boilingriver.com


Dalam jurnal National Geographic, diselitkan cerita daripada ahli geofizik Simon Worral dari Lima, Peru. Menurutnya, kali pertama dia mendengar tentang sungai itu adalah ketika dia masih kanak-kanak menerusi cerita daripada datuknya.

Berpeluang kembali ke lokasi itu untuk kajian saintifik, Worral menceritakan tentang perjalanannya ke situ.

"Sungai Mendidih' ini terletak di hutan Amazon dalam negara Peru, di tengah-tengah bahagian lembah belantara. Dari Lima, seseorang perlu menaiki pesawat ke bandar Pucallpa yang mengambil masa sejam.

"Dari Pucallpa, pergerakan beralih ke kenderaan pacuan empat roda selama dua jam untuk sampai ke Sungai Pachitea, iaitu cabang Sungai Amazon yang selebar 300 meter.

"Dari situ, perjalanan diteruskan dengan peke-peke iaitu kanu berenjin untuk meredah ke hulu selama 30 minit," tulisnya.

Catatan Worral menyatakan, bacaan penyukat suhunya dari air sungai di hilir hingga ke hentian terakhir bernama Mayantuyacu, meningkat dari 27 darjah Celsius hingga ke hampir 100 darjah Celsius!

Hutan di Mayantuyacu dihuni oleh dua komuniti pribumi dengan masing-masing diketuai oleh pawang, yang juga menjelaskan bahawa 'Mayantu' bermaksud 'roh hutan' manakala 'yacu' bermaksud air.

Mereka juga percaya di hutan itu terdapat penguasa yang digelar 'Yacumama',  iaitu 'roh ular' gergasi yang melahirkan air sejuk dan panas.

Lokasi ini bebas dikunjungi sesiapa yang sanggup bersabar dengan perjalanan mencabar dan persekitaran yang tidak selesa. - www.boilingriver.com
Lokasi ini bebas dikunjungi sesiapa yang sanggup bersabar dengan perjalanan mencabar dan persekitaran yang tidak selesa. - www.boilingriver.com


Kajian saintifik

Aktiviti gunung berapi, tekanan sistem magma, dan aliran sulfur tinggi adalah antara teori saintifik tentang fenomena tersebut. Selain itu, saintis juga tidak menolak kemungkinan suhu panas itu boleh terjadi bukan dari aktiviti volkanik, seperti sumber air dari lapis bumi yang paling dalam terhambur keluar ke permukaan.

Keseluruhan sistem sungai ini adalah kira-kira 9 kilometer, namun cuma 6.24km di bahagian rendah sungai itu menunjukkan suhu panas.

Pada musim kering, air panas sungai itu mampu membunuh manusia, apatah lagi mamalia kecil, reptilia atau amfibia yang tidak sengaja terjatuh ke dalamnya.

Hari ini, pasukan saintis masih berada di kawasan tersebut untuk menjalankan pelbagai jurus kajian. Ia juga dikunjungi oleh pengembara yang mahu melihat sendiri keadaannya, namun mereka sentiasa diingatkan supaya menjauhi risiko.

Namun, hal yang paling menyedihkan adalah, sebahagian kawasan sungai itu sudah keluar dari zon perlindungan hutan hujan Amazon, dan ia terdedah kepada ancaman pembangunan.

Sedangkan bagi komuniti asal Mayantuyacu, itu adalah tempat bersemadinya roh nenek moyang mereka dan perlu dipertahankan.

Baik manusia atau haiwan, jangan sekali-kali berani untuk masuk ke dalam air ini. - YouTube: Great Big Story
Baik manusia atau haiwan, jangan sekali-kali berani untuk masuk ke dalam air ini. - YouTube: Great Big Story

Post a Comment

0 Comments