Hantu sememangnya wujud di dunia ini. Tapi tidak pernah aku duga bahawa aku sendiri akan berdepan dengan makhluk yang hodoh itu. Kisah ini berlaku lama dahulu.
Ceritanya begini, dalam awal tahun 1970-an, aku dan suamiku telah berpindah ke rumah baru kami.
Kedua-dua anak kami tidak ikut sekali, mereka ditinggalkan di rumah ibuku memandangkan kami suami isteri keluar berkerja setiap hari. Pertama kali bermalam di rumah baru kami, suamiku telah mengalami sebuah mimpi yang aneh.
Dalam mimpinya itu, ketika dia pulang dari kerja dan membuka pintu rumah, dia terlihat di dalam rumah kami itu ada kubur cina yang masih baru, lengkap dengan bunga dan tanglongnya sekali.
Keesokan harinya, suamiku pun bertanyakan pada seorang kawan yang memang mahir dalam perkara-perkara yang pelik-pelik. Kawannya itu menerangkan bahawa rumah kami itu bersetentangan dengan sebuah bilik mayat dan tapak rumah kami itu adalah bekas tanah perkuburan cina.
Oleh kerana suamiku berkerja mengikut shif, aku sering tinggal sendirian di rumah. Selang beberapa minggu tinggal di situ, aku mulai merasa tidak sedap hati.
Takut dan rasa seram sejuk barcampur baur apabila aku berseorangan di rumah. Kadangkala, apabila perasaan begitu terlalu kuat, aku akan ke rumah kakak iparku dan suamiku akan menyongsongku ke sana selepas balik dari kerja.
Kerap kali juga, semasa aku keseorangan pada jauh malam menantikan kepulangan suami, aku merasakan seolah-olah suamiku membuka pintu rumah, mengangkat kasut dan meletakkannya di dapur, lalu melangkah masuk ke dalam bilik tidur kami. Tapi apabila aku membuka mata, ternyata beliau tidak ada.
Setiap kali terjadinya hal itu, bulu romaku pasti meremang dan berdiri tegak. Lebih menakutkan, pada suatu malam, ketika aku keseorangan di rumah kerana suamiku berkerja shif malam, aku telah dikejutkan oleh suatu suara halus dan sayup sekali kedengarannya.
Di antara tidur dan jaga itu, aku terdengar suara halus seorang perempuan berkata, “Abang tak da ya? Tinggal sorang ya??” lalu suara itu mengilai panjang. Apabila aku membuka mata, tercegat satu lembaga perempuan berdiri dekat tepi katilku sambil tersenyum melihat ke arahku.
Wajah lembaga perempuan itu sungguh hodoh dan rambutnya panjang mengurai hingga mencecah lantai. Pakainya serba putih. Terasa seluruh tubuhku menggigil dek kerana ketakutan, tetapi aku tidak dapat melarikan diri kerana pintu bilikku berada di belakangnya.
Apa yang dapat aku buat pada masa itu hanyalah sekadar menarik selimut secara perlahan-lahan sambil mulut terkumat-kamit membaca ayat-ayat Kursi. Lembaga itu merenung tajam ke arahku dan begitu juga dengan aku.
Kami saling berbalas pandangan kerana aku tidak berani untuk memejamkan mataku kerana khuatir kalau-kalau lembaga itu datang dekat dan mencekik leherku. Mulutku tidak henti henti membaca ayat ayat suci.
Lama jugalah lembaga itu memerhatikanku yang berselubung di dalam selimut. Beberapa minit selepas itu barulah dia berpusing dan menghilang ke bahagian dapur. Sejak malam itu, aku tidak berani lagi tidur seorang diri di rumah kami.
0 Comments