Dah Takdir Saya Jadi Orang Miskin-Iqbal Masih

Dah Takdir Saya Jadi Orang Miskin-Iqbal Masih

Dah Takdir Saya Jadi Orang Miskin-Iqbal Masih 

Jika anda tatap gambar budak lelaki berbaju putih lusuh yang sedikit tersenyum itu, ya… itu adalah saya. Tiada apa yang istimewa, tapi saya mahu anda renung seketika kisah saya ini.


Nama saya Iqbal Masih. Lahir tahun 1983 di Muridke, sebuah kawasan yang dihimpit kemiskinan di Punjab, Pakistan.


Keluarga saya daif. Semasa saya masih kecil, bapa menghilangkan diri, meninggalkan ibu untuk membesarkan kami.


Golongan miskin seperti kami selalu ditindas. Kami terpaksa berhutang dengan orang-orang kaya untuk keperluan hidup. Dan hutang-hutang itu tidak pernah habis, sebaliknya bunganya kian bertambah.



Iqbal Masih

Semasa berusia empat tahun, saya telah ‘dijual’ kepada saudagar permaidani. Ibu terpaksa berhutang untuk keperluan kami. Dan di usia semuda itu, saya harus bekerja untuk membayar hutang tersebut.


Di tempat saya, tauke permaidani ialah orang kaya dan berkasta tinggi. Orang-orang miskin akan datang kepada mereka dan merayu meminjam wang.


Ibu saya berhutang sebanyak 600 rupee. Kalau ditukarkan ke ringgit Malaysia, nilai hutang itu lebih kurang RM33. Mungkin harga sehelai pakaian anak-anak anda pun lebih mahal daripada itu.


Sebab tak mampu bayar hutang, ibu terpaksa cagarkan saya kepada tauke permaidani. Di usia empat tahun, saya dikerah bekerja. Kalau anak-anak anda sedang leka memegang pensel menconteng kertas, saya pula dipaksa memegang alat penenun kain.


Saya bangun awal pagi. Sebelum Subuh menjelma, saya sudah berjalan di dalam gelap menuju ke kilang permaidani. Di situ, saya dan ramai lagi kanak-kanak lain akan dirantai kaki supaya kami tidak melarikan diri.


Saya dikerah bekerja selama 14 jam sehari dengan rehat lebih kurang setengah jam. Kami diberi makanan yang sedikit dan terpaksa bekerja dalam kelaparan. Jika lambat membuat kerja, kami dimarahi, dipukul.


Disebabkan kurang zat dan nutrisi, tubuh saya kurus kering, terbantut tidak membesar dengan ketinggian sepatutnya.


Setiap hari bekerja, saya dibayar upah sebanyak tiga sen. Ya, hanya tiga sen! Wang itu tidak sampai ke tangan saya, tetapi digunakan untuk memotong hutang keluarga.


Walau seteruk mana saya bekerja, hutang kami tidak pernah berkurang, sebaliknya kian bertambah. Setiap kesalahan yang saya lakukan atau terambil lebih makanan, semuanya akan dikira dan ditambah semula ke dalam jumlah hutang yang ada. Walau bermandi darah sekalipun, kami tidak akan pernah dapat melunaskan hutang-hutang itu angkara kelicikan saudagar permaidani.

Post a Comment

0 Comments