Kuburnya Hanya Nombor

Kuburnya Hanya Nombor

Kuburnya Hanya Nombor
GAZA sudah masuk hari kesembilan di dalam larangan bergerak dan kes positif Covid-19 sudah mencecah lebih 300 kes.
Di Gaza budaya mereka berbeza dan penjarakan sosial sangat susah dilaksanakan kerana hidup bermasyarakat ibarat tiang asas dalam kehidupan seharian.

Tidak sah, jika sehari mereka tidak ke rumah ibu dan ayah, setiap hari mereka perlu keluar duduk di depan rumah bersembang bersama jiran tetangga dan setiap hari mereka duduk bersama adik-beradik untuk bertanya khabar dan meminum secawan teh.

Ia tidak semudah cara hidup di Malaysia yang lebih tertutup dan komunikasi berjalan melalui alam maya. Sebab itulah walaupun baharu seminggu lebih di dalam 'kurungan', sudah banyak kes pelanggaran larangan pergerakan dan penduduk sudah tidak senang duduk.



Apabila mengenangkan apa yang sedang berlaku, saya teringat kepada kelompok mangsa kezaliman penjajah yang jarang mencuri perhatian media. Mereka ini ialah golongan yang dipanggil sebagai 'asra' atau tahanan Palestin di dalam penjara Zionis.

Bayangkan kalau kita sempit dan tercekik di dalam rumah kerana tidak boleh bergerak selama berbulan-bulan, bagaimana pula mereka yang berbelas-belas, malah puluhan tahun duduk di balik dinding dan jeriji besi.

Malah, ramai antara mereka yang disumbat ke dalam penjara atas nama administrative detention iaitu tangkapan tanpa tuduhan dan tanpa hak membela diri, justeru terpaksa meringkuk di dalam penjara tanpa mengetahui tuduhan ke atas mereka sehinggalah dibebaskan!

Saya teringat pertemuan dengan seorang bekas tahanan penjajah yang sudah menghabiskan sekitar 20 tahun di dalam penjara.
Kata beliau, pernah sekali beliau disumbat ke dalam kurungan bersendirian solitary confinement sebagai hukuman. Selepas beberapa minggu duduk di dalam bilik kecil tanpa dapat melihat apa-apa di luar, beliau ternampak seekor semut sedang berjalan menaiki dinding.

Gembiranya bukan kepalang lalu beliau menangkap semut itu dan dijadikan kawan bercerita, malah diberi makan dan dijaga seperti teman rapat!
Pernah juga suatu tempoh tahanan berjaya menuntut supaya hak mereka meneruskan pengajian di dalam penjara dijaga, lalu ada di kalangan mereka yang menghabiskan SPM, malah ramai yang menghabiskan pengajian ijazah pertama dan sarjana ketika berada di dalam tahanan.

Keinginan mereka untuk tidak tunduk kepada tekanan sangat tinggi. Minggu lalu, saya terbaca kisah bagaimana seorang tahanan, Ahmad Al-Juyushi yang sudah 20 tahun di dalam penjara dikurniakan anak di luar penjara melalui spesimen sperma yang diseludup keluar!

Minggu lalu juga, beberapa tahanan di penjara disahkan positif Covid-19, begitu juga beberapa orang tahanan lain meneruskan kempen mogok lapar supaya diberi hak mendapatkan perbicaraan dan sebagainya.

Tanpa internet, tanpa peluang berhubung dengan kerap bersama keluarga, tanpa hak untuk diziarahi – pastinya kurungan mereka jauh lebih buruk berbanding kurungan kita yang dilalui dalam rumah.

Selepas mereka mati keadaan tidak menjadi lebih baik. Penjajah juga mempunyai sistem perkuburan yang dinamakan sebagai cemetery of numbers atau 'perkuburan angka' – perkuburan yang tidak ada nama, tetapi hanya ditanda dengan angka.
Tahanan Palestin yang meninggal di dalam penjara akan ditahan di dalam perkuburan berkenaan dan jenazahnya tidak dibenarkan untuk dipulangkan kepada ahli keluarga.
Disebabkan itu, perjanjian pertukaran tahanan seperti yang berlaku pada 2011 ketika seorang tahanan perang Yahudi yang berada di dalam tangan Hamas, Gila'ad Shalit yang ditukarkan dengan lebih 1,000 tahanan Palestin sangat penting.
Ia satu-satunya sinar yang ada untuk ribuan mangsa yang berada di dalam penjara untuk bebas dan meneruskan kehidupan semula.
Sebab itu apabila membaca berkaitan beberapa orang tahanan penjajah baharu yang berada di tangan Hamas dan Briged Al-Qassam selepas perang 51 hari pada 2014, jangan pula terperangkap dengan propaganda musuh dan bersama menuntut supaya mereka dibebaskan tanpa ada pertukaran berbaloi dengan tahanan Palestin yang sedang meringkuk dan terabai di dalam penjara mereka!
Penulis adalah rakyat Malaysia tunggal di Palestin. Beliau boleh dihubungi melalui WhatsApp +60135132140 untuk pertanyaan dan kerjasama. Salurkan sumbangan ke Tabung Kecemasan Covid-19 melalui akaun Persatuan Cinta Gaza Malaysia Maybank 564810507826

Post a Comment

0 Comments