Misteri Meriam berdentum sendiri di Segamat beri petanda musibah akan berlaku

loading...
Loading...
Misteri Meriam berdentum di Segamat beri petanda musibah akan berlaku
SIAPA orang Segamat, Johor?
Pernah dengar kisah sebuah meriam misteri di daerah itu yang dikatakan akan meletup dengan sendirinya sebelum banjir melanda?
Kisah itu diceritakan sejak turun temurun. Orang lama Segamat tentunya arif dengan kisah meriam misteri itu.
Diceritakan sejak dahulu, penduduk kampung akan berhati-hati ketika musim hujan melanda dan jika mendengar bunyi letupan meriam misteri tersebut, penduduk akan bersiap siaga untuk menyelamatkan harta benda dan berpindah ke tempat tinggi kerana mereka tahu dentuman bunyi meriam itu adalah petanda banjir akan tiba.

Generasi dahulu ramai yang percaya akan kisah ini namun tidak ramai generasi muda tahu mengenai meriam tersebut.
Izham, salah seorang pemuda setempat menceritakan, dia pernah mendengar bunyi letupan meriam suatu malam dalam tahun 2006 sewaktu dia sedang menonton televisyen. Dua kali bunyi letupan meriam itu kedengaran.
Keesokannya ketika duduk minum di sebuah warung di kampungnya, Izham terdengar beberapa orang tua yang juga minum di situ berborak tentang bunyi letupan yang sama.
Berdekatan sungai inilah terletaknya Bukit Kubu namun sudah banyak ditarah untuk kerja pelebaran sungai.
Kata mereka, itu tanda banjir akan berlaku. Ternyata betul kerana dua hari kemudian, Segamat dilanda banjir besar.
Salah seorang penduduk dari Kampung Pogoh 3, Segamat yang hanya mahu dikenali sebagai Wani turut mengesahkan kisah tersebut. Cerita Wani, dia masih ingat lagi kejadian dalam tahun 2014. Ketika itu tengahari dan hujan sedang turun.
Wani yang ketika itu sedang makan tengahari terkejut bila mendengar letupan kuat sebanyak tiga kali berturut-turut. Pada mulanya, Wani sangka itu bunyi mercun, tetapi agak aneh bunyi mercun begitu kuat dan bergema.
Kemudian, ibunya memberitahu itu adalah bunyi letupan meriam petanda banjir akan berlaku. Wani yang tidak tahu kisah itu terus bertanyakan kepada ibunya.
“Ketika itu arwah mak masih hidup lagi. Saya tertarik bila mak kata itu bunyi dentuman meriam, tanda nak banjir. Memang betul beberapa hari kemudian, banjir betul-betul berlaku,” kata Wani.
Bukan hanya Wani, bahkan ramai penduduk kampung turut mendengar bunyi dentuman tersebut.

Bunyi meriam itu sekadar peringatan untuk penduduk berjaga-jaga terhadap sebarang kemungkinan yang akan berlaku,” ujar Mohd Esa yang mengetahui kisah meriam itu daripada nenek moyangnya.

MOHD ESA

PENDUDUK POGOH, SEAGMAT

Kisah dentuman meriam misteri di Segamat ini juga banyak dilaporkan dalam media sosial seperti Facebook. Boleh dikatakan hampir setiap tahun, ada orang yang menceritakan terdengar bunyi letupan meriam ini.
Salah satu catatan yang dihantar pengguna Facebook berbunyi begini: "Salam buat warga Segamat... Sebenarnya post saya di sini inginkan kepastian sahaja. Ada sesiapa tak yang terdengar bunyi dentuman meriam sebanyak tiga kali berturut-turut semalam (11 Januari 2014) menjelang Maghrib? Rumah saya terasa bergegar bila meriam itu berbunyi semalam.
"Saya sekeluarga merasainya... tiba-tiba mak saya cakap orang dulu-dulu kalau terdengar bunyi meriam besar kemungkinan Segamat akan dilandar banjir besar, benar ke? Wallahuallam."
Walaupun ramai yang pernah mendengar bunyi letupan itu, namun di mana sebenarnya kedudukan meriam misteri tersebut? Siapa pula yang meletupkannya?
Rata-rata yang ditanya tidak tahu di mana meriam misteri itu berada. Ada yang berkata ia terletak di Lubuk Batu, tak kurang juga di Bukit Senggir, malah ada yang mengatakan ia terletak di Bukit Manduk.
Menurut cerita orang tua-tua dahulu, meriam ini tak dapat dilihat mata kasar kerana ia dari alam ghaib. Bunyinya juga tidak menentu. Kadangkala ia berdentum waktu siang, adakalanya waktu malam.
Antara catatan di Facebook tentang misteri bunyi meriam.
Menurut Mohd Esa yang merupakan penduduk jati Pogoh, bunyi meriam itu menjadi salah satu petanda sejak dahulu lagi jika ada sesuatu musibah akan menimpa Segamat.
"Jika ia berbunyi, bermakna ada musibah akan melanda Segamat. Bukan hanya banjir, tapi macam-macam perkara lain seperti kemarau atau wabak penyakit.
"Kisah ini memang diceritakan turun temurun sejak dulu. Orang-orang tua Segamat tahu kisah ini. Bukan untuk kita percaya.
"Bunyi meriam itu sekadar peringatan untuk penduduk berjaga-jaga terhadap sebarang kemungkinan yang akan berlaku,” ujar Mohd Esa yang mengetahui kisah meriam itu daripada nenek moyangnya.
Mohd Esa sendiri turut pernah mendengar bunyi meriam misteri itu pada tahun 1984 hingga rumahnya terasa bergegar. Ia meletup sebanyak tiga kali berturut-turut. Keesokan harinya, Segamat dilanda banjir.
“Tentang lokasi meriam itu, saya tidak tahu. Kalau ada yang menyebut beberapa lokasi pun, ia hanya kisah mulut ke mulut orang-orang terdahulu. Zaman dulu, ramai pawang di sekitar sini.
Gambar yang dirakamkan pada tahun 2017 menyaksikan beberapa kawasan di Segamat mengalami banjir besar.
"Kata pawang-pawang yang pandai dalam ilmu ghaib ini, meriam tersebut dalam alam ghaib. Dikatakan ia kepunyaan ketua bunian bernama Tok Kali Gentar Alam. Ramai yang kata lokasinya di atas Bukit Kubu,” ceritanya lagi.
Ada sebuah jambatan yang melintasi sebatang sungai. Penduduk sekitar memanggilnya Sungai Codan (dalam peta Google ditulis sebagai Sungai Kenawar), berdekatan jambatan itu ada sebuah bukit.
Itulah yang dipanggil Bukit Kubu. Namun bukit itu kini sudah ditarah untuk kerja-kerja pelebaran sungai.
Menurut kisah orang-orang dahulu, di bukit itu ada perkampungan bunian. Dan ‘penghuni’ di situlah yang akan meletupkan meriam tersebut, sebagai petanda amaran kepada penduduk Segamat jika ada sesuatu yang buruk akan berlaku.
Ia kisah yang diceritakan turun temurun di Segamat. Benar atau tidak, percaya atau tidak, itu hak masing-masing. Yang pasti, ramai penduduk Segamat mengakui pernah mendengar bunyi letupan meriam misteri tersebut.

Post a Comment

0 Comments