Mencari Syurga,Tak Kira Bangsa,Semua Murid Dia Peluk

loading...
Loading...
Mencari Syurga,Tak Kira Bangsa,Semua Murid Dia Peluk


“ANDAI kata satu hari hisab saya di Padang Mahsyar nanti berat keburukan melebihi kebaikan, saya harap awak semua dapat memberatkan timbangan kebaikan saya.


“Bantulah saya di sana (akhirat) nanti, tariklah saya bersama ke syurga dengan kamu semua,” itu kata-kata keramat Cikgu Mohd Khairul Che Hassan, 35, ketika bersalaman dengan pelajar istimewanya pada hari terakhirnya berkhidmat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Kudin, Raub, Pahang.

Satu video memaparkan Mohd Khairul mencium dan memeluk pelajar istimewanya daripada Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) sekolah itu begitu meruntun jiwa netizen yang kagum dengan tindakan guru itu walaupun berlainan bangsa.

Rakan Mohd Khairul yang juga pembantu pengurusan murid berkeperluan khas, Mohd Raizuddin Abdullah, 30, berkata, dia merakam video itu pada hari terakhir perkhidmatan Mohd Khairul di sekolah itu pada 21 Jun lalu dan suasana hiba dikongsi bersama 36 pelajar istimewa mereka.

“Mohd Khairul adalah guru terbaik dan terlalu menyayangi pelajarnya sejak berkhidmat di sekolah berkenaan pada 2008.

“Dia mendidik mereka supaya dapat berdikari seperti bertani, menternak dan memasak supaya mereka boleh hidup sendiri di kemudian hari,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.



Menurutnya, selepas hampir 11 tahun berkhidmat di sekolah itu, Mohd Khairul berpindah ke SMK Bandar Chiku, Gua Musang, Kelantan.

“Terdapat 36 pelajar PPKI di sekolah berkenaan, ada antara mereka mengalami masalah pembelajaran, autism dan sindrom down.

“Ada satu peristiwa saya tidak dapat lupa ketika di kantin sekolah apabila dia menyelamatkan pelajar terkena serangan sawan dan Cikgu Khairul ada buat beberapa perkara asas untuk mengelakkan perkara lebih buruk sementara menunggu ambulans datang,” katanya.

Mohd Raizuddin berkata, ilmu rawatan awal sangat berguna bagi seorang pendidik pendidikan khas.

Katanya, Cikgu Khairul serba berpengetahuan dan mendidik pelajarnya dengan baik supaya mereka boleh hidup berdikari.

“Kita akui, ada beberapa pelajar mempunyai intelektual agak kurang berbanding pelajar normal, namun Cikgu Khairul tetap berpegang pada moto PPKI kami ‘berdikari untuk hidup’.

“Alhamdulillah, ada bekas pelajar yang sudah bekerja untuk mencari duit sendiri,” katanya.

Katanya, dia tidak sangka video yang sudah dimuat naik itu tular di media sosial.

“Namun, apa salahnya kita memberikan contoh terbaik dan pujian kepada guru sekarang selepas pelbagai isu muncul ketika ini.

“Tengoklah sendiri, Cikgu Khairul tanpa mengenal kaum dan bangsa, tetap melayan pelajarnya dengan baik, malah tidak segan silu untuk memeluk dan mencium mereka, diharap ia menjadi contoh kepada yang lain,” katanya



Post a Comment

0 Comments