PETALING JAYA: Jutawan kosmetik, Datuk Seri Hasmiza Othman berharap kemelut yang melanda berhubung dakwaan pemberian berlian palsu sebagai hadiah kemenangan penyanyi Aishah dalam Gegar Vaganza musim keempat, akan reda selepas penyerahan barangan kemas dan berlian seperti yang dikehendaki.
Dalam satu sidang media hari ini, Hasmiza atau lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida memaklumkan, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada Aishah untuk membuat pilihan barangan kemas seperti yang diinginkan.
"Kalau diikutkan, saya boleh saja pilih sendiri barang kemas itu dan serahkan kepada Aishah. Nama pun hadiah, sepatutnya begitulah caranya.
"Tetapi saya nak bagi dia puas hati, saya tak mahu timbul isu lagi. Jadi saya berikan dia sendiri buat pilihan yang mana dia berkenan. Kedai yang dipilih juga bukan sebarangan kedai," kata Vida.
Vida juga mengakui konflik yang melanda memberi kesan kepada perniagaannya, khususnya perniagaan barangan kemas.
Bukan itu sahaja, Vida juga bersetuju melunaskan kos guaman yang perlu ditanggung Aishah, seperti yang dituntut penyanyi Janji Manismu itu.
Pengasas Vida Beauty itu juga memaklumkan tidak serik untuk menaja mana-mana program selepas ini, namun mengambil apa yang terjadi sebagai iktibar.
"Saya tidak serik. Taja program itu satu strategi pemasaran untuk perniagaan saya.
"Saya pun tidak menipu. Barang kemas yang saya hadiahkan itu, memang nilainya seperti yang sebutkan dulu. Tetapi masa berlalu, nilainya semakin turun.
"Ini pengajaran untuk saya lebih berhati-hati apabila nak bagi hadiah lagi," tambahnya sambil memberitahu, bayaran untuk membeli kesemua barangan kemas yang dipilih Aishah dibuat anaknya, Cik B, melalui keuntungan jualan produk salmon king yang dipeloporinya.
"Memang saya terharu. Setiap hari saya mengadu dengan dia tentang masalah saya, rupa-rupanya dia mendengar dan nak membantu," katanya sebak.
Aishah memilih lima jenis barangan kemas dan berlian, antaranya sebentuk cincin emas dengan berlian bernilai RM20,820 dan sebentuk cincin emas putih bernilai RM7,750.
Harga keseluruhan barangan yang dipilih Aishah bernilai RM80,000, seperti yang dijanjikan Vida semasa kemenangannya sebagai juara Gegar Vaganza 4.
Aishah sebelum ini mendakwa satu penyelidikan yang dijalankan rantai yang dimenanginya mengesahkan bahawa ia tidak bernilai dan bukan berlian asli.
0 Comments