Kisah Seorang Pemuda Kemalangan Dengan Bau Alkohol Semerbak Di 10 Malam Terakhir Ramadan

Kisah Seorang Pemuda Kemalangan Dengan Bau Alkohol Semerbak Di 10 Malam Terakhir Ramadan

Kisah Seorang Pemuda Kemalangan Dengan Bau Alkohol Semerbak Di 10 Malam Terakhir Ramadan:



Ramadhan adalah bulan mulia penuh dengan keberkatan yang di dalamnya dilimpahkan pahala berlipat kali ganda oleh SWT. Bulan ini melatih jiwa kita supaya sentiasa sabar dan menahan diri dari perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa.

Ia turut mendidik hati supaya bersyukur dengan nikmat yang telah diperolehi. Di samping itu,  ini merupakan masa terbaik untuk Muslim beramal dan melakukan ibadah kepada-Nya lebih-lebih lagi ketika 10 malam terakhir Ramadhan.

Kerjaya sebagai Doktor ternyata memerlukan komitmen yang tinggi tidak kira masa dan di mana. Mereka harus sentiasa bersedia berkhidmatan untuk masyarakat walaupun ketika bulan Ramadhan dan mahupun saat lebaran.

Seorang doktor, Nurilyani Bujang telah berkongsi pengalaman yang sedikit berbeza sewaktu 10 malam terakhir Ramadhan. Ia merupakan satu peristiwa yang telah menyentak dan menyedarkannya.

Kita kena selamatkan dia, supaya dia boleh bertaubat!

12 tahun dahulu, 10 Ramadhan yang terakhir. 5 pagi. Di sebuah hospital di selatan tanah air.

Aku baru sahaja meluruskan badan di atas katil di bilik on call yang tak berapa empuk itu setelah selesai sahur. Sejak jam 8 pagi aku masuk kerja, pesakit datang ke dewan bedah bertali arus. Penat. Kepala pun dah berpinar pinar.

Kring… kring…

5.15 am, aku mengerling jam dinding yang samar samar.

‘Hello Dr, Saya Dr X dari department Orthopedik nak book satu emergency AKA (above knee amputation) for very bad crush injury. Tengah transfusi darah. Dah stabil nanti kami call balik.’

‘OK’. Jawabku pendek

Aku yang baru sahaja nak lelap bangun kembali, mempersiapkan dewan bedah untuk pesakit yang akan sampai tak berapa ketika nanti.

Aku ambil kelengkapan untuk transfusi darah dengan pantas dan mempersiapkan pelbagai ubat ubatan untuk resusitasi pesakit tersebut. Dari cara penyampaian doktor ortopedik tadi, anak muda itu seperti tenat, kehilangan darah yang banyak.

Dia di jumpai di jalanan dengan badan yang luka luka, sebelah kaki yang sudah hancur, barangkali terseret di bawah kenderaan. Nyawanya panjang. Dia dijumpai oleh Pak Bilal dalam perjalanan ke masjid. Siapa yang melangar, entah lah. Tak pasti.

Gambar Hiasan

Sesampainya dia di Dewan Bedah, rawatan resusitasi di teruskan oleh team bius. Manakala doktor ortopedik sedaya upaya cuba menghentikan pendarahan. Kaki yang hancur, tulang yang berkecai, daging bercebis cebisan dan masih penuh dengan kekotoran itu perlu dibuang supaya dia tidak kehilangan darah yang lebih banyak dan badannya tidak dimasuki kuman berbahaya.

Tekanan darahnya rendah. Beberapa kali jantungnya juga seakan mahu berhenti. Berbelasa belas beg darah diperlukan.

‘Boss, penatlah nak pump darah. macam dah tak ada harapan ni.’ Nada aku keras seakan akan memprotes pada pakar ku supaya kita berhenti dan mengalah. Tapi pakarku masih lagi bertenaga dan memberikan kata kata semangat pada semua yang ada.

‘ Teruskan. Kita kena selamatkan dia, supaya dia boleh bertaubat!’

Aku tersentap dengan kata kata pakarku. Di dalam saat 10 malam terakhir Ramadhan waktu semua umat sedang mengejar kemuliannya, anak muda di hadapan aku ini dijumpai di jalanan dengan bau alkohol yang semerbak.

Apa yang dia lakukan sebelum dijumpai Pak Bilal, entahlah. Usai pembedahan jam 8 pagi, aku menghantar anak muda itu ke ICU untuk penjagaan yang seterusnya. Dia tinggal di ICU selama hampir sebulan. Selama itu jugalah aku lihat pakarku tidak pernah mengalah untuk dia.

Gambar Hiasan

Anak muda itu dijaga dengan baik. Sehingga boleh bergerak sebelum dihantar keluar dari ICU ke wad Orthopedik.

Beberapa bulan selepas itu, anak muda itu kembali ke ICU, disorong dengan wheel chair oleh tunangannnya. Dia datang membawa kad dan buah tangan sebagai ucapan terima kasih.

‘Terima kasih doktor kerana tidak pernah berhenti berusaha untuk saya. Saya pendosa dan Allah berikan saya peluang untuk bertaubat.’

Dia kemudiannya berlalu selepas berjumpa dengan staf staf lain di ICU. Entah kenapa aku terasa begitu sayu. Dan terus menangis selepas dia keluar dari situ.

Sumber : Nurilyani Bujang

Post a Comment

0 Comments