Bapa dedah Ainul tak suka dibalut, “Bukan main lagi dia meronta-ronta nak keluarkan tangan”

loading...
Loading...
Bapa dedah Ainul tak suka dibalut, “Bukan main lagi dia meronta-ronta nak keluarkan tangan”

"HARI ini Ainul betul-betul buka mata,” tulis bapa Ainul Mardhiah, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak, di laman Facebook miliknya.
Bapa berusia 24 tahun itu turut berkongsi berita gembira memberitahu anak sulungnya itu akan kembali semula ke wad biasa selepas selesai menjalani pembedahan membuang ketumbuhan di mulutnya Isnin lepas.
“Nurse-nurse (jururawat) yang menjaganya pun dah tak sabar nak tunggu Ainul balik wad,” tulisnya.
Dalam status tersebut, Ahmad Safiuddin turut berkongsikan gambar Ainul Mardhiah mengeluarkan tangannya dari balutan, tidak tersorok seperti sebelum ini.
Menurutnya, itulah Ainul Mardhiah yang sebenar, suka mengeluarkan tangannya, tidak suka dibalut.
“Dua hari lepas, setelah Ainul sedar dari pembedahan, perkara pertama yang dia buat adalah cuba nak keluarkan tangan dia dari balutan itu.
“Bukan main lagi dia meronta-ronta nak keluarkan tangan. Hari ni, nurse biarkan saja dia keluarkan tangan.
“Sebab bila dia keluar tangan macam ni, dia senyap. Kalau dibalut, memang tak tidur lah dia jawabnya,” tulisnya.
Ahmad Safiuddin turut menceritakan keletah lucu anaknya itu yang tidak gemar tidur berselimut.
“Kalau selimutkan dia, esok pagi tengok-tengok selimut dah jatuh bawah kaki,” ujarnya.
Ainul Mardhiah yang menghidap ‘Germ Cell Tumor’ selamat menjalani pembedahan untuk membuang ketumbuhan seberat 200 gram di mulutnya di sebuah hospital, di London.
Pembedahan dilakukan sekumpulan pakar bedah dan anestetik diketuai oleh Ketua Unit Craniofacial hospital berkenaan, Prof David Dunaway.
Doktor berasal dari Malaysia, Dr Amalina Che Bakri dan Dr Julian Ong turut terlibat dalam pembedahan berisiko tinggi itu. - Sinar Harian.

Post a Comment

0 Comments