‘Ainul mungkin di London sebulan, mungkin lebih, mungkin kurang’

‘Ainul mungkin di London sebulan, mungkin lebih, mungkin kurang’

‘Ainul mungkin di London sebulan, mungkin lebih, mungkin kurang’
Kejayaan pembedahan mengeluarkan tumor seberat 200 gram daripada mulut adik Ainul Mardhiah turut diraikan oleh rakyat Malaysia yang sentiasa ternanti-nanti khabar terbaru perkembangan bayi berusia sembilan bulan itu.
Bagaimanapun, buat yang tidak sabar menyambut kepulangan adik Ainul, mungkin perlu menunggu kira-kira sebulan lagi- bergantung kedaan Ainul- seperti dikongsikan oleh ayahnya, Ahmad Safiuddin di Facebooknya.
“Berapa lama Ainul akan berada di London? Kami tidak pasti. Dengar khabar, mungkin sebulan, mungkin lebih atau mungkin kurang dari sebulan.
“Mereka di sini mahu pantau Ainul dulu. Mereka mahu pastikan bahawa ketumbuhan itu tidak akan datang semula (semoga Allah jauhkan). Jika mereka yakin yang Ainul bebas dari sebarang perkara yang tidak diingini (berulang), mungkin Ainul boleh balik,” kongsinya.
Katanya, demi kebaikan Ainul, dia dan isterinya memilih untuk membiarkan pakar untuk membuat kerja mereka dan membiarkan pakar yang memutuskan bilakah masa sesuai untuk Ainul keluar daripada hospital.
Tambahnya lagi, selepas ini, Ainul mungkin diajar makan menggunakan mulut pula, dan selepas berat badannya sesuai (sekitar 6 ke 8kg), Ainul mungkin menjalani pembedahan untuk keadaan sumbing yang dialaminya sejak lahir.
“Bila semua di atas telah selesai, kami akan bawa Ainul pulang ke tanah air berjumpa ibu dan ayahnya yang baru.



“Doakan Ainul Mardhiah ya. Saya yakin, jika Ainul boleh bercakap sekarang, mungkin dia akan ucap terima kasih kepada kalian semua. Sekarang ini, ucapan terima kasih itu ditunjukkan melalui kesihatan dan kekuatannya,” kongsinya lagi.
Sebelum hantaran tersebut, Safiuddin turut berkongsi gambar terbaru Ainul, disertakan kapsyen memaklumkan keadaan Ainul semakin baik dan mungkin akan dipindahkan ke wad biasa daripada unit rawatan rapi pediatrik (PICU) jika keadaannya bertambah baik.
“Kata jururawat yang menjaga Ainul di PICU tadi: ‘Hari ini saya nampak dia senyum. Kuatnya dia!” kongsinya.
Semalam, dia turut memuat naik satu video yang memaparkan Ainul tersenyum diagah seorang perempuan dipercayai ibunya, Nurul Erwani Zaidi, berlatarbelakangkan lagu Ainul Mardhiah dendangan kumpulan nasyid Unic.
Dua hari lepas, Safiuddin tidak lupa menitipkan terima kasih buat semua pihak yang membantu Ainul, termasuk doktor-doktor, pihak kedutaan, kru kabin dan juruterbang penerbangan MAS dan beberapa pihak lain yang membantu urusan pemindahan Ainul dari Malaysia ke London.

“Merekalah kiriman Tuhan kepada kami, sentiasa memudahkan urusan kami. Mereka hanya minta kami fikir dan fokuskan kepada Ainul sahaja, yang lain mereka uruskan. Baik sungguh hati!
“Walaupun mereka semua sibuk dengan kerja dan keluarga masing masing, tapi sentiasa curi masa untuk bersama kami dan Ainul di hospital.
“Kami sangat-sangat gembira dengan Allah bila Dia telah kirimkan kepada kami pelbagai jenis manusia yang baik hati supaya dapat memudahkan segala urusan kami di sini. Kami sangat terhutang budi dengan kalian semua!” luahnya.
Penderitaan Ainul yang menghidap kanser mulut germ cell tumor mendapat perhatian rakyat Malaysia apabila kisahnya tular di media sosial.
Banyak pihak menghulurkan sumbangan bagi membantu Ainul mendapatkan rawatan penyakitnya itu
Ainul bersama ibu dan bapanya berlepas ke London dan selamat tiba pada 24 Mei lalu bagi tujuan pembedahan tersebut yang bermula jam 11 pagi 10 Jun, waktu tempatan.

Post a Comment

0 Comments