BERITA perkahwinan Pencetus Ummah (PU) Abu Sufyan dengan wanita dikenali sebagai Hana Azraa di Thailand kembali menarik minat netizen yang mengikuti isu rumah tangga pendakwah bebas itu.
Bagaimanapun PU Abu atau Muhammad Abu Sufyan Mohd Mokhtar Rozaidi menafikan bahawa dia dan wanita itu dinikahkan di negara jiran seperti status yang dimuat naik di Instastory miliknya pada tengah malam Selasa.
Kata PU Abu, akaun Instagram miliknya digodam individu tidak bertanggungjawab.
PU bersumpah akaun IG miliknya telah digodam.
"Akaun Instagram saya telah digodam pada tengah malam tadi (Selasa). Bukan saya yang memuat naik status berkaitan hubungan dengan Hana.
"Ada individu yang tidak bertanggungjawab menggodam Instagram saya dan buat kenyataan tersebut," katanya ketika dihubungi mStar.
Pada awal pagi Rabu, mStar mengesan status yang dimuat naik melalui akaun Instagram PU Abu yang memberitahu hubungannya dengan wanita yang didakwa punca dia menceraikan bekas isterinya, Ain Afini kini sudah sah sebagai suami isteri selepas mereka dinikahkan pada awal bulan lalu.
Penjelasan itu sekaligus mengesahkan maklumat daripada individu yang mendakwa melihat PU Abu bersama seorang wanita dipercayai Hana berada di Satun, Thailand pada 2 Mei lalu.
Status yang dimuat naik Hana dan PU Abu pada 3 Mei lalu seakan memberi gambaran kegembiraan mereka selepas bernikah.
Menerusi penjelasan kepada mStar juga, PU Abu mengakui sudah mengahwini Hana Azraa lebih awal daripada tarikh yang dinyatakan pada posting berkenaan.
Malah penyatuan mereka juga kata Abu direstui ibu bapa masing-masing.
"Memang benar saya dan Hana sudah bernikah tapi bukan di Thailand... di Malaysia. Malah, kami berkahwin pada tarikh lebih awal daripada tarikh yang didakwa itu.
"Jadi, apa yang didakwa individu tersebut tidak benar. Perkahwinan saya dan Hana juga di bawah pengetahuan kedua-dua keluarga kami," ujarnya.
Untuk rekod pada 3 Mei lalu PU Abu dan Hana Azraa ada memuat naik posting berbunyi "Alhamdulillah" dan "Officially" melalui instastory masing-masing yang memberi bayangan mereka berkongsi kegembiraan selepas dinikahkan.
Kontroversi rumah tangga PU Abu, Hana dan bekas isterinya, Ain Afini menjadi perbualan hangat netizen.
Kontroversi rumah tangga PU Abu mula menjadi perbualan hangat pada April lalu apabila bekas isterinya Ain Afini mendedahkan telah diceraikan ketika sarat mengandung tujuh bulan.
Ain turut memberitahu punca perceraian itu disebabkan orang ketiga iaitu seorang ibu tunggal yang dikenali sebagai Hana Azraa.
Ain juga mendedahkan pendakwah itu meminta keizinan untuk berpoligami ketika dua bulan mereka mendirikan rumah tangga.
0 Comments